Kuala Lumpur merupakan ibu negara kita yang penuh dengan manusia, saban hari sibuk ke sana sini melakukan rutin harian mereka.

Ke mana-mana sahaja tak susah untuk kita nampak orang lain. Tetapi untuk beberapa negara unik, ibu negara mereka mempunyai jumlah penduduk yang sangat rendah sama ada disebabkan faktor geografi atau sebab-sebab unik yang lain.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda lima ibu negara manakah mempunyai jumlah populasi paling sedikit di dunia? Berikut adalah lima lokasi yang dilaporkan paling rendah bilangan penghuninya.

5. City of San Marino, San Marino (4,044 orang)

city of san marino

Sebuah negara enklaf yang terletak di dalam negara Itali, penduduk Republik San Marino seramai 33,600 mempunyai tahap kebergantungan yang tinggi dalam menjalankan urusan seharian dengan negara yang mengepungnya.

Dinamakan sempena nama Saint Marinus yang bertanggungjawab memulakan penempatan di situ sejak tahun 301, sehingga membolehkan tertubuhnya negara berdaulat San Marino.

Bentuk muka buminya mencabar untuk didiami disebabkan oleh kawasan yang berbukit bukau tanpa ada tanah rata yang banyak. Jika ada pun akan dipastikan digunakan untuk tujuan pertanian.

Mempunyai keluasan 61.2 km persegi, bandar City of San Marino terpilih sebagai ibu negara tersebut yang digerakkan keseluruhan aktivitinya, oleh 4,044 orang penduduk tetap.

4. Funafuti, Tuvalu (6,152 orang)

funafuti tuvalu paling sikit penduduk

Tuvalu adalah sebuah negara atol (gabungan pulau berbentuk cincin) dibentuk gabungan 9 pulau-pulau berbeza yang terpecah antara satu sama lain.

Oleh kerana bentuknya yang agak mencabar dari segi geografi, penduduk Tuvalu cenderung untuk menjadikan pulau terbesar di Tuvalu iaitu Pulau Funafuti sebagai pusat kegiatan masyarakat, yang akhirnya menjadi ibu negara tersebut.

Funafuti menempatkan bangunan pentadbiran kerajaan mereka, mahkamah tinggi dan bangunan parlimen mereka. Tuvalu mempunyai 11,646 jumlah populasi, majoritinya tinggal di Funafuti seramai 6,152 orang.

3. Vatican City (801 orang berdaftar)

vatican city populasi terendah

Vatican City merupakan negara terkecil di dunia, hanya mempunyai keluasan 0.44 km persegi dikelilingi dinding sepanjang 3.2 km yang memisahkannya dengan Itali.

Diperintah secara mutlak oleh Pope yang dilantik, pentadbiran Vatican City dinamakan sebagai Holy See yang menjalankan urusan kerajaan serta semua urusan rangkaian gereja Katolik Rom di seluruh dunia.

Oleh kerana kerajaan Vatican City tidak mengenakan cukai ke atas penduduknya, semua dana yang digunakan kerajaan datang daripada jualan cenderahati orang ramai untuk mentadbir 801 orang penduduk di sana.

Tidak ada istilah kewarganegaraan automatik di Vatican City. Taraf kewarganegaraan hanya diberikan secara sementara kepada semua individu yang perlu berkhidmat di dalam Vatican City.

2. Yaren, Nauru (747 orang)

yaren nauru populasi terendah

Republik Nauru merupakan sebuah negara kepulauan serta bergelar negara ketiga terkecil dunia dari segi saiz. Itu menyumbang kepada jumlah populasi yang sangat kecil, sekitar 10,670 orang ketika dibanci tahun 2018.

Tidak menghairankanlah ibu negara Nauru iaitu Yaren (boleh juga dieja sebagai Jaren atau Yarren) layak disenaraikan dalam artikel ini.

Dikenali dengan nama lama Makwa, bandar Yaren bukanlah ibu negara rasmi Nauru kerana tidak disebutkan dalam perlembagaan negara mereka - tetapi majoriti penduduk di sana menganggap Yaren adalah pusat pentadbiran negara.

Bangunan Parlimen di Nauru terletak di Yaren, memberikan kelebihan kepada Yaren untuk bergelar 'ibu negara tidak rasmi' walaupun hanya mempunyai 747 orang penduduk tetap.

1. Ngerulmud, Palau (271 orang)

ngerulmud ibu negara paling kurang penduduk

Palau merupakan sebuah negara kepulauan yang dibentuk oleh gabungan lebih 340 pulau dan terumbu, terletak 890km dari Filipina.

Palau menjadi sebuah negara bebas selepas menamatkan perjanjian dengan Amerika Syarikat sekitar tahun 1994, membolehkan sistem pentadbiran Palau berasaskan warga tempatan dibentuk dengan Bandar Koror menjadi ibu negaranya buat sementara.

Ini ekoran dasar perlembagaan negara itu yang mewajibkan ibu negara mereka dipindahkan ke pulau terbesar di Palau iaitu Pulau Badeldaob, yang dirancang sepatutnya berlaku 10 tahun selepas perlembaagaan negara itu dibentuk.

Rancangan itu bagaimanapun terpaksa ditangguhkan untuk beberapa kali disebabkan masalah logistik serta kewangan. Projek perpindahan ini hanya mula berlaku pada awal dekad 2000 selepas kerajaan Palau menamakan Ngerulmud yang terletak dalam Pulau Badeldaob sebagai ibu negara mereka pada tahun 2006.

Kini Ngerulmud terus kekal sebagai ibu negara Palau, walaupun jumlah populasinya hanyalah 271 orang berdasarkan sensus terbaru - meletakkan Ngerulmud sebagai ibu negara paling sikit jumlah bilangan penduduknya; hanya merangkumi 1.5% keseluruhan penduduk Palau.




Hakcipta iluminasi.com (2017)