Oleh pada 02 Oct 2022 kategori

Kumpulan rock Melayu atau rock kapak terus kekal menjadi antara kategori pemuzik yang dilihat tunjang industri negara, walaupun kini sedang melalui zaman suram.

Kehadiran mereka dalam industri muzik telah terpahat sebagai legenda, tidak lagi boleh dipisahkan daripada identiti masyarakat kita.

Di sebalik era kemerosotan kumpulan rock kapak Melayu, wujud juga banyak kumpulan muzik yang tidak lagi didominasi anggota berbangsa Melayu sebaliknya turut sama mula mengenengahkan anggota bukan Melayu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Terkenal dengan pembawaan lagu dalam bahasa Inggeris, impak lima kumpulan bersifat pelbagai bangsa ini tetap terasa. 

1. Poetic Ammo

poetic ammo 2

Jika OAG dan Butterfingers dilihat sebagai gergasi muzik rock bawah tanah, bagi muzik rap dan hip-hop pula ada dua nama menjadi sebutan; sama ada Too Phat atau Poetic Ammo.

Membawakan lagu-lagu yang menggabungkan elemen pelbagai bahasa, Poetic Ammo bermula sebagai sebuah projek vokalis bernama Yogeswaran Veerasingam dan seorang rakannya.

Selepas gagal mengekalkan konsep duo yang dibawakan, Yoges atau Yogi.B melakukan pencarian bakat - memasukkan dua adik beradik iaitu Chandrakumar Balakrishnan dan Sashi Kumar Balakrishnan serta seorang pemuzik Cina dari Ipoh bernama Nicholas Ong.

Album pertama mereka It's a Nice Day to Be Alive diterbitkan pada tahun 1998, mendapat sambutan hangat sehingga bergelar album terbaik Inggeris tempatan tahun tersebut.

2. Love Me Butch

love me butch

Siapa yang meminati kumpulan Love Me Butch pasti sudah tahu betapa keras muzik yang mereka bawa.

Sebuah kumpulan post-hardcore yang terkenal, Love Me Butch adalah jawapan anak muda kita jika mereka tercari-cari 'Deftones Malaysia.' 

Membariskan vokalis Syahrul Reza, pemain gitar Wing Meng, pemain bass Kevin Kong dan Winder Singh sebelum digantikan Jana Nair sebagai pengetuk dram, genre lagu yang dibawakan oleh Love Me Butch kompleks berikutan kemahiran Wing Meng yang  terkenal dengan riff-riff gitar padu.

Aktiviti kumpulan ini mula perlahan selepas pengunduran Syahrul, yang mendirikan rumah tangga dan mahu memberikan fokus sepenuhnya kepada keluarga.

Walaupun begitu, muzik yang dibawakan kumpulan ini tetap dikenang sebagai salah satu cubaan terbaik anak tempatan menggarap lagu yang berat tetapi dalam masa sama mampu diterima ramai.

3. Naked Breed

naked breed

Ketika zaman kegemilangan muzik indie berbahasa Inggeris di Malaysia, sebuah kugiran bernama Naked Breed tampil dengan muzik post-grunge yang memikat hati banyak pihak. 

Ditubuhkan pada tahun 1998 oleh Justin Pang (vokalis), Sara (dram), Jack (gitar) dan Ian (bass), terbitan pertama mereka yang diberikan judul 'Breeding Ground' memperkenalkan peminat muzik Malaysia kepada lagu berhantu 'Tribute.' 

Populariti 'Tribute' membawa kepada lebih banyak pendedahan. Lagu tersebut terpilih menjadi antara lagu yang disenaraikan dalam kompilasi Pheaw! Vol. 1, yang turut membariskan nama-nama besar seperti Cromok, OAG, FTG dan Butterfingers.

'Tribute' unggul dicarta radio berbahasa Inggeris tempatan, kekal dalam senarai untuk satu tempoh yang panjang.

Nakedbreed masih aktif sehingga ke hari ini dengan beberapa perubahan pada barisan anggota.

Lagu 'Teething' yang menampilkan Emmett dari kumpulan Butterfingers diterbitkan tahun 2016 mendapat sambutan baik peminat yang masih mengikuti perjalanan kumpulan ini.

4. Kyoto Protocol

kyoto protocol

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan muzik bebas di Malaysia, sudah pasti kenal kugiran Kyoto Protocol yang membawakan muzik rock.

Jika anda belum kenal mereka, kami yakin anda pasti pernah menonton muzik video mereka yang agak berbeza berbanding biasa.

Dinamakan sempena persetujuan yang dicapai oleh PBB bagi menangani masalah pemanasan global, kugiran Kyoto Protocol bermula dengan langkah kanan.

Album mini terbitan pertama mereka mendapat sambutan menggalakkan sehingga bergelar artis baru terbaik dalam Anugerah Industri Muzik Malaysia 2011.

Mereka meneruskan aktiviti muzik mereka, turut menyertai pertandingan realiti TV 'Versus' yang ditayangkan di TV9 membawa mereka kepada pendedahan yang lebih besar.

Menampilkan Fuad Alhabshi selaku vokalis dan pemain gitar, Shakeil Bashir sebagai pemain bass, Hairi Haneefa selaku gitar utama, Gael Oliveres memainkan keyboard dan Shan Reddy selaku pengetuk dram, Kyoto Protocol kekal aktif dalam gerakan muzik.

Persahabatan yang terjalin juga kukuh, mereka berjaya mengekalkan barisan anggota yang sama walaupun telah lebih sedekad menjadikan muzik sebagai karier kedua.

5.  Son of a Policeman

son of a policeman

Ditubuhkan pada tahun 2012, muzik yang dibawakan oleh Son of A Policeman atau SOAP adalah paling ringan dalam senarai ini. 

Membawakan muzik fusion gabungan jazz, soul, funk yang turut diadunkan dengan elemen muzik folk, SOAP ditubuhkan pada tahun 2012 hasil kerjasama 6 orang anak muda yang lebih gemar menamakan genre muzik mereka sebagai 'indie rojak.'

Pengasas SOAP adalah Joshua Ganesan, bermula secara sendirian sebelum mula menambah keanggotaan. Barisan anggota SOAP mengalami beberapa pertukaran keluar masuk, namun identiti anggota yang diambil tetap sama.

Mereka mementingkan kebolehan untuk setiap anggota mampu memainkan beberapa instrumen berbeza, membolehkan anggota kugiran SOAP bebas bertukar-tukar peranan.

Ini memberikan irama yang mereka mainkan warna yang berbeza dan dimensi yang lebih luas, bergantung kepada karya yang terhasil. Sekiranya anda meminati muzik yang agak retro serta unik, SOAP mungkin kena dengan selera tekak anda.

Muzik mereka tidak terlalu berat, tidak terlalu ringan. Sesuai untuk anda berehat atau ketika anda mahu berdansa.




Hakcipta iluminasi.com (2017)