Secara semula jadinya, setiap haiwan tinggal di habitat semula jadinya. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa jenis haiwan yang jinak dengan manusia dan telah dijadikan haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing. 

Sekiranya anda pernah menonton secara langsung persembahan sarkas, anda mungkin akan kagum bagaimana haiwan buas dan liar seperti harimau dan singa kelihatan sangat jinak dan mampu mengikut setiap arahan yang diberikan. Malah, gajah yang selalunya digunakan dalam persembahan sarkas juga dilihat bijak kerana mampu melakukan beberapa perkara yang tidak mampu dilakukan gajah liar.

Realitinya, haiwan-haiwan ini bukanlah dilatih dengan penuh lemah-lembut sebaliknya menggunakan kekerasan, ugutan dan unsur menakut-nakutkan mereka. Perkara ini ada kami dedahkan dalam artikel 5 Fakta Menyedihkan Mengenai Haiwan Yang Digunakan Dalam Pertunjukan Sarkas.

Dalam sejarah, terdapat banyak kes dimana haiwan-haiwan yang digunakan dalam pertunjukan sarkas ini telah dikorbankan atas sebab-sebab yang tidak munasabah. Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi 5 kisah tragis berkaitan pembunuhan haiwan yang pernah terlibat dalam pertunjukann sarkas.

1. Pembunuhan gajah bernama Mary

gajah digantung 931

Seekor gajah seberat 5 tan yang dikenali sebagai Mary telah digantung sampai mati pada tahun 1916 akibat tindakannya membunuh pelatihnya bernama Red Eldridge. Red Eldridge asalnya merupakan seorang gelandangan dan beliau langsung tidak mempunyai kelayakan untuk melatih gajah bagi pertunjukan sarkas.

Ketika kejadian itu, Red Eldridge telah memukul telinga Mary menggunakan pencangkuk ketika haiwan itu sedang makan buah tembikai. Tindakan tersebut telah menaikkan darah Mary sehingga menyebabkan haiwan tersebut bertindak melanggar dan memijak kepala pelatihnya itu sehingga mati.

Sehari kemudian, Mary telah diikat dan digantung menggunakan sebuah kren sehingga mati. Kejadian itu berlaku dan disaksikan kira-kira2 2500 orang awam yang hadir menyaksikan hukuman kepada Mary kerana kesalahannya membunuh pelatihnya itu.

2. Tyke, dibunuh ketika cuba melarikan diri

tyke

Pada tahun 1994, seekor gajah bernama Tyke dijadualkan akan membuat sebuah pertunjukan sarkas di Honolulu, Hawaii. Tyke merupakan seekor gajah yang berasal daripada Mozambique dan mengikut rekod, telah 2 kali melakukan percubaan melarikan diri kerana didakwa sering diseksa oleh pelatihnya.

Ketika sedang membuat pertunjukan di Neal S. Blaisdell Center di Honolulu, Tyke telah bertindak melarikan diri melalui pintu setelah terlebih dahulu membunuh pelatihnya. Selama lebih 30 minit, Tyke berlari bebas di jalan raya sehingga haiwan tersebut akhirnya dibunuh oleh pihak polis yang telah melepaskan keseluruhan 86 das tembakan terhadapnya.

Warga Honolulu, terutamanya ibu bapa dan kanak-kanak yang trauma melihat pembunuhan kejam tersebut telah bertindak menyaman pihak penganjur pertunjukan sarkas tersebut kerana mendakwa mereka mengalami gangguan psikologi kerana melihat peristiwa pembunuhan haiwan tersebut.

3. Pembunuhan seekor harimau bernama Suzy

pembunuhan harimau

Pada tahun 2017, seekor harimau Bengal bernama Suzy telah ditembak mati di Atlanta setelah berjaya melarikan diri daripada trak yang membawanya daripada Florida ke Tennessee. Trak tersebut yang dimiliki oleh syarikat Feld Entertainment membawa 14 ekor harimau yang dimiliki oleh seorang pelatih bernama Alexander Lacey.

Tanpa berfikir panjang, Suzy telah ditembak mati. Mengikut jurucakap PETA, iaitu sebuah organisasi pencinta haiwan, ini bukanlah kali pertama syarikat Feld Entertainment bertindak sedemikian. Syarikat ini juga dikatakan pernah menembak mati harimau daripada jarak dekat sewaktu haiwan tersebut dalam kurungan.

4. Pembunuhan gajah melalui renjatan elektrik

gajah renjatan elektrik

Pada tahun 1903, seekor gajah bernama Topsy telah dikenakan hukuman renjatan elektrik. Menurut akhbar The New York Times, Topsy didapati bersalah kerana membunuh seorang lelaki dan tindakan renjatan tersebut diambil kerana pelatihnya khuatir Topsy turut akan membunuhnya.

Pada awalnya, Topsy dicadangkan untuk dibunuh dengan hukuman gantung sampai mati tetapi organisasi The Society for the Prevention of Cruelty to Animals menganggapnya hukuman tersebut terlalu kejam.

Ketika zaman tersebut, terdapat perdebatan hebat antara dua orang saintis iaitu Nikola Tesla dan Thomas Edison. Penyokong Thomas Edison tidak sabar-sabar untuk menunjukkan bahawa arus ulang-alik adalah lebih berbahaya daripada arus terus lalu menjadikan Topsy sebagai bahan ujikaji.

5. Renjatan elektrik yang membunuh seekor kuda

kuda renjatan elektrik

Pada tahun 2013, seekor kuda bernama Duke yang hanya berusia 9 tahun mati akibat dikenakan renjatan elektrik sebelum melakukan persembahan. Pada awalnya, pihak penganjur mengaku tidak ada kesalahan yang dilakukan pihaknya dan mendakwa haiwan itu mati kerana saluran darahnya tersumbat.

Walau bagaimanapun, aktivis pencinta haiwan mendakwa terdapat bukti terdapat salah laku yang dilakukan oleh pihak penganjur. Melalui sebuah rakaman video, mereka mendakwa haiwan tersebut telah dikenakan sedikit renjatan elektrik sebelum kuda sebelum pintu pagar dibuka dan haiwan tersebut dilepaskan.

Tindakan memberikan sedikit renjatan elektrik kepada haiwan biasanya dilakukan oleh penganjur persembahan yang tidak bertanggungjawab kerana ianya didakwa dapat memberi tenaga dan menjadikan haiwan tersebut lebih agresif ketika melakukan persembahan. Tindakan ini bagaimanapun dilarang keras oleh organisasi Professional Rodeo Cowboys Association (PRCA).

Kredit:

  1. Daily Mail Online
  2. TMZ
  3. NY Post
  4. Smithsonian Mag


Hakcipta iluminasi.com (2017)