Oleh pada 12 Mar 2019 kategori

Situasi dikelilingi oleh ikan jerung dan diserang buaya adalah perkara biasa bagi pengembara berjiwa kental. Namun dalam situasi di mana kita ditenung oleh seekor singa, kebanyakan daripada kita mungkin akan pengsan, atau lari.

Tahukah anda, kedua-dua perkara ini adalah reaksi yang paling teruk boleh dilakukan. Jadi bagaimana anda perlu bertindak balas? iluminasi.com kongsikan 8 tips berhadapan dengan haiwan liar ketika melancong.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ini berdasarkan perkongsian 2 pengembara yang mempunyai pengalaman sendiri dikesan dan diserang oleh beberapa haiwan paling dahsyat di dunia, iaitu Levison Wood dan Michelle Jana Chan.

levison wood

(Levison Wood)

Lewison Wood adalah pengembara dan penulis buku yang telah menjelajah ke lebih daripada 100 buah negara. Beliau telah sampai ke Nil, Himalaya dan menjelajah Amerika serta yang terbaru dari Rusia ke Iran.

Lewison pernah berhadapan dengan situasi yang boleh membawa maut di mana pengembaraannya kerap kali berhadapan dengan haiwan ganas seperti buaya, badak sumbu, gorila dan ular berbisa.

michelle jana chan

(Michelle Jana Chan)

Michelle Jana Chan merupakan seorang penyampai BBC, wartawan dan penulis pengembara yang menerima anugerah. Beliau pernah berenang merentasi selat Bosphorus, mendaki Gunung Gulap Kangri di India dan banyak lagi.

Beliau juga mengfilemkan pelbagai dokumentari tentang haiwan liar dengan babak-babak menakutkan seperti berhadapan dengan jerung, badak sumbu dan kalajengking berbisa.

1. Buaya

buaya nil

Buaya Nil adalah salah satu daripada haiwan yang paling dahsyat dan paling ditakuti di Afrika. Haiwan ini boleh mencapai panjang maksimum 6 meter dan bertanggungjawab ke atas beratus-ratus kehilangan dan kematian manusia setiap tahun.

Dalam buku Lewison Wood, "Walking the Nile", beliau menceritakan tentang seorang lelaki yang ditemui di sebuah perkampungan nelayan kecil di Sudan Selatan, Sirillo dari suku Mundari, yang memberitahu bahawa adiknya telah dimakan buaya pada jam 11 pagi hari yang sama.

"Melakukan perkara harian seperti berjalan di Nil, anda perlu berhati-hati, walaupun untuk mengambil air atau mandi. Buaya adalah haiwan yang sangat kuat nalurinya namun ia akan menyerang selepas melihat anda untuk tempoh beberapa hari," kata Lewison. 

Lewison memberitahu beliau pernah dikerumuni buaya di laluan sempit di antara hutan dan sungai. Ketika berjalan, dia berbuat bising dan tiba-tiba semua buaya menghala ke arahnya untuk masuk ke dalam air.

Menurut Lewison lagi, jangan pergi ke lubang air atau sungai yang diketahui penuh dengan buaya. Ambil air daripada tempat yang mana biasanya tidak menjadi tempat minum haiwan ganas.

2. Badak air

badak air 584

Haiwan yang paling berbahaya di Nil adalah badak air kerana haiwan ini membunuh lebih ramai daripada haiwan lain.

Di Afrika, badak air adalah pembunuh manusia terbesar, malah lebih banyak daripada singa. Lewison hampir maut diserang oleh seekor badak air yang marah kerana beliau dan kumpulannya secara tak sengaja mengganggu haiwan tersebut.

"Tempat paling bahaya di Afrika adalah di antara badak air dengan air. Ketika anda berjalan, jika badak air ingin masuk ke dalam air, terutamanya jika ia mempunyai anak, ia akan menghala terus ke arah anda. Dan haiwan ini boleh berlari sepantas kuda," jelas Lewison.

Untuk mempertahankan diri daripada badak air, anda perlu memanjat pokok atau halang dengan sesuatu yang tidak boleh dicapai haiwan ini. Tak kisahlah sama ada tembok atau apa-apa, kerana haiwan ini mampu mengejar anda.

3. Badak sumbu

badak sumbu afrika

Seperti badak air, anda dinasihatkan untuk bersembunyi di belakang tembok atau memanjat pokok jika diserang badak sumbu kerana haiwan ini mempunyai penglihatan yang kurang baik dan anda mempunyai peluang baik untuk menyelamatkan diri.

Perkara ini dipersetujui oleh Michelle melalui pengalamannya. Ketika melakukan penggambaran untuk BBC di Namibia, beliau dan kumpulannya terserempak dengan 2 ekor ibu badak dan 2 anaknya. Tiba-tiba, badak-badak tersebut menyerang. 

"Kami melarikan diri ke arah yang berlainan, kerana tiada tempat untuk bersembunyi dan tiada kenderaan untuk kami naik," jelas Michelle.

Beliau kemudiannya bersembunyi di sebalik pokok dan terselamat.

4. Gorila

gorila

Anda perlu melakukan sebaliknya jika berhadapan dengan gorila. Lewison Woods memberitahu bahawa tak kira apa pun yang berlaku, anda tak sepatutnya lari jika berhadapan dengan gorila.

"Seekor gorila silverback datang dan menepuk-nepuk dadanya. Saya lakukan apa yang diberitahu. Apabila saya lihat ke belakang, kumpulan saya telah melarikan diri!".

Apa yang perlu dilakukan adalah anda perlu berkelakuan seperti gorila kerana gorila bertindakbalas terhadap hierarki sosial.

Berhadapan dengan gorila, segalanya perlu dilakukan dengan menunduk. Jangan pandang mata gorila, jangan berundur dan jangan lari. 

Apa pun yang anda lakukan, mata anda harus memandang ke tanah kerana gorila akan melayan anda seperti dari kalangannya.

5. Jerung

diserang jerung

Pakar menasihatkan bahawa mereka yang menghadapi serangan jerung harus berusaha untuk tidak panik dan tidak berpura-pura mati.

Sebaliknya, cuba untuk bersembunyi di belakang sesuatu objek padat atau gunakan senjata jika ada. Jika keadaan benar-benar di luar kawalan, cuba untuk tumbuk jerung tersebut di bahagian hidung atau cakar mukanya.

Michelle menceritakan pengalamannya berhadapan dengan jerung di mana beliau tidak mengetahui cara untuk mengatasinya. 

"Dalam kepala saya berfikiran untuk berenang sepantas mungkin, tetapi ia kedengaran seperti gila. Jadi saya kekal di situ untuk beberapa minit. Kemudian, dengan masih memakai topeng dan masih melihat ke arah jerung tersebut, saya mula berundur ke belakang. Akhirnya, jerung tersebut hilang dari pandangan saya," kata Michelle.

6. Singa

diserang singa

Singa adalah spesis kucing besar yang paling malas menghabiskan sehingga 20 jam sehari untuk tidur. Tetapi ia juga sangat pantas berlari, memburu dalam kumpulan dan bertanggungjawab membunuh 250 manusia setiap tahun.

"Singa sangat besar, dan ia akan mengejar anda jika anda lari. Jadi anda perlu lawan rasa takut untuk tidak lari kerana sebaik sahaja anda membelakangkannya, singa akan mengejar anda," kata Lewison.

Apa yang harus dilakukan adalah berjalan ke belakang perlahan-lahan, buat bunyi bising dan bukakan badan anda supaya kelihatan besar.




Hakcipta iluminasi.com (2017)