Kini, memiliki domain bagi sebuah laman sesawang di internet bukanlah sesuatu yang sukar. Anda boleh boleh membelinya daripada beberapa laman web daripada dalam dan luar negara.

Bagi domain universal seperti .com, .net dan .org, harganya pula tidak terlalu mahal dan boleh dibeli semurah RM40 atau lebih murah lagi sekiranya ada promosi. Bagi domain yang khusus buat sesebuah negara seperti domain .my (bagi Malaysia), harganya lebih mahal dan memerlukan pembeli memenuhi syarat-syarat tertentu sebelum boleh membelinya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Menurut rekod, domain mula diwujudkan sekitar tahun 1980-an. Pada ketika ini, domain merupakan sesuatu yang sangat ekslusif dan sangat sukar untuk diperolehi. Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi 7 domain terawal di dunia.

1. Darpa.mil

domain tertua di dunia

Domain darpa.mil dipercayai merupakan domain terawal didaftarkan di dunia. DARPA merupakan singkatan kepada organisasi Defense Advanced Research Projects Agency (DARPA). Domain ini didaftarkan pada tarikh 1 Januari 1985. Selain darpa.mil, pihak DARPA turut mendaftarkan domain .net, .org, .gov., .edu dan .arpa. 

DARPA merupakan sebuah agensi khas di bawah Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat yang berfungsi melakukan pelbagai kajian dan membangunkan teknologi yang digunakan pasukan tentera Amerika Syarikat. Kini, hanya domain darpa.mil yang masih aktif sementara darpa.org sudah dimiliki oleh syarikat lain. Walaupun domain lain tidak digunakan, ianya masih dimiliki oleh pihak DARPA.

2. Symbolics.com

domain dotcom tertua

Menurut rekod pendaftaran, domain Symbolics.com merupakan domain kedua tertua di dunia yang didaftarkan pada 15 Mac 1985. Domain ini juga merupakan domain komersial pertama di dunia dimana ia didaftarkan oleh Symbolics Computer Corporation, iaitu syarikat yang menghasilkan komputer komersil pertama yang dikenali sebagai Lisp Machine.

Kini, syarikat Symbolics Computer Corporation tidak lagi wujud dan domain ini kini dimiliki oleh sekumpulan pelabur yang membeli domain ini daripada syarikat Symbolics Computer Corporation pada tahun 2009.

3. Bbn.com

sejarah domain

Domain bbn.com merupakan domain ketiga tertua di dunia yang didaftarkan dan domain komersial kedua tertua di dunia. Ianya telah didaftarkan pada 24 April 1985. Menariknya, domain ini masih akfif dan dimiliki oleh syarikat sama yang mendaftarkannya dahulu, iaitu BBN Technologies.

BBN Technologies yang pada awalnya dikenali sebagai syarikat Bolt, Beranek, and Newman merupakan sebuah syarikat teknologi daripada Amerika Syarikat yang membuat servis pembangunan dan kajian terutamanya untuk pihak ketenteraan Amerika Syarikat dan DARPA.

Setelah syarikat ini diambil alih oleh syarikat Raytheon pada tahun 2009, domain bbn.com ini masih kekal aktif tetapi pengguna yang membuka domain ini akan dihantar (redirect) ke laman sesawang baru mereka di Raytheon.com.

4. Think.com

domain think

Domain think.com merupakan domain keempat tertua di dunia yang didaftarkan pada 24 Mei 1985. Domain ini didaftarkan oleh syarikat Thinking Machines Corporation, sebuah syarikat pembuat supercomputer yang berpangkalan di Massachusetts.

Thinking Machines Corporation meruapakan sebuah syarikat yang berjaya suatu ketika dahulu kerana memperoleh kontrak dan kerjasama dengan DARPA. Malangnya, syarikat ini telah diisytiharkan bankrap pada tahun 1994. Walaupun laman sesawang domain ini sudah tidak lagi wujud, domain ini masih lagi aktif.

5. Mcc.com

microelectronics and computer technology corporation

Menurut rekod, mcc.com merupakan domain kelima tertua di dunia dan didaftarkan pada 11 Julai 1985. Domain ini asalnya didaftarkan oleh syarikat Microelectronics and Computer Technology Corporation (MCC).

MCC merupakan syarikat pertama dan pernah menjadi syarikat terbesar dalam bidang pembinaan dan pembangunan komputer di Amerika Syarikat. Syarikat ini telah ditutup pada awal 2000-an dan laman sesawangnya juga tidak lagi aktif sudah bertahun lamanya.

6. Northrop.com

northrop corporation

Domain northrop.com telah didaftarkan pada 7 November 1985 dan merupakan domain komersial keenam tertua di dunia. Domain ini didaftarkan oleh syarikat Northrop Corporation, syarikat pembuatan bahagian aircraft. Antara produknya yang popular adalah bahagian sayap untuk pesawat pengebom B-2 Spirit.

Pada tahun 1994, syarikat Northrop telah bergabung dengan syarikat Grumman dan membentuk sebuah syarikat baru diberi nama Northrop Grumman. Kini, domain northrop.com tidak lagi aktif tapi tidak dibuka untuk jualan. Sementara itu, syarikat Northrop Grumman pula telah menggunakan domain baru yang dapat diakses di northropgrumman.com .

7. Xerox.com

xerox

Xerox.com pula merupakan domain komersial ketujuh tertua di dunia. Domain ini didaftar pada 9 Januari 1986 dan masih lagi dipegang oleh syarikat Xerox Corporation. Xerox Corporation sudah wujud sejak 1906 dan produknya kini telah digunakan oleh orang ramai dari seluruh dunia.

Domain ini masih lagi aktif dan merupakan halaman utama bagi laman web xerox.com. Dalam dunia perkomputeran, xerox.com telah mencipta beberapa produk penting seperti tetikus dan juga komputer riba.

Kredit:

  1. WikiPedia
  2. Quora
  3. Computer Weekly



Hakcipta iluminasi.com (2017)