Tak kira betapa hebatnya kawalan keselamatan sesebuah negara itu, jenayah pastinya tidak akan dapat dibendung sepenuhnya. Ia merupakan sesuatu yang sudah menjadi lumrah kehidupan manusia.

Dengan ini, pihak pengawal keselamatan seperti polis mempunyai tugasan yang berat. Jenayah-jenayah biasa yang kita ketahui adalah seperti mencuri, merompak, membunuh dan banyak lagi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, di beberapa bahagian dunia, berlakunya kes jenayah yang sangat pelik dan aneh.

iluminasi.com kongsikan 5 kes jenayah yang paling aneh dan pelik di seluruh dunia.

5. Mencuri biawak Komodo

kes curi biawak komodo

Bagi yang tak tahu, Komodo dragon atau biawak Komodo adalah spesis biawak atau cicak yang paling besar di atas muka Bumi. Haiwan ini hanya boleh ditemui di beberapa buah pulau di Indonesia sahaja.

Ia mempunyai tubuh badan yang sangat besar dan rupa yang sangat menakutkan. Sudah pasti, ia bukanlah haiwan yang anda mahu untuk terserempak di malam hari.

Jika diberikan pilihan, pastinya anda tak mahu mendekati haiwan ini sepanjang hidup anda. Akan tetapi, terdapat sesetengah manusia pelik yang bukan sahaja sanggup mendekati haiwan ini tetapi juga mencuri biawak komodo ini!.

Kes kecurian biawak Komodo telah menjadi satu masalah besar kepada pihak berkuasa sehingga mereka terpaksa mengenakan larangan kepada pelancong daripada melawat pulau Komodo bermula Januari 2020.

Tarikh untuk membenarkan pelancong melawat semula ke pulau ini masih belum ditetapkan. Agak pelik mengapa ada orang mahu mencuri biawak ini. 

Ianya dianggap sangat pelik kerana haiwan ini tidak memiliki kulit yang cantik untuk dijual atau dijadikan apa-apa produk.

Namun sesetengah orang berpendapat bahawa haiwan ini berguna dalam perubatan tradisional Timur, yang mana salah satu sebab mengapa harganya boleh mencapai RM145,000.

4. Jual mayat di pasar gelap

jual mayat di pasar gelap

Kita semua berhadapan dan menguruskan kematian orang tersayang dengan cara tersendiri, bergantung di mana kita tinggal dan tradisi sesebuah masyarakat.

Upacara kematian berbeza-beza di seluruh dunia, dan yang anehnya di China, jenis upcara tertentu menyebabkan orang ramai menggali mayat dan menjualnya di pasaran hitam.

Perkara ini dipanggil sebagai perkahwinan hantu. Di China (serta Taiwan dan masyarakat Cina yang lain) berkahwin dengan orang yang mati adalah cara untuk menenangkan hati mereka, dan ada di antara mereka yang telah "merompak kubur" dan menjual mayat di pasaran gelap.

Sekiranya anda tertanya-tanya berapa harga untuk satu mayat, ia adalah sekitar RM63,000.

3. Mencuri jambatan

kes curi jambatan

Apa yang anda fikirkan bila terlihat sebuah jambatan. Pastinya ramai yang akan menjawab. "Tak akan lakukan apa-apa. Ia hanya sebuah jambatan,", kan?

Paling tidak pun anda akan terkesima melihat bagaimana ia dibuat. Tak ada yang akan mengatakan, "Cantiknya jambatan ini, bagaimana cara untuk mencurinya,".

Ini kerana mencuri sebuah jambatan kelihatan seperti sesuatu yang sangat mustahil. Akan tetapi, jambatan-jambatan di seluruh dunia telah dilaporkan dicuri pada waktu malam.

Kes kecurian jambatan berlaku di negara seperti Republik Czech, England dan Turki serta banyak lagi. Kes di Republik Czech berlaku pada tahun 2012, melibatkan perombakan jambatan seberat 10 tan yang bersaiz 198 meter. 

Ini sesuatu yang sangat membingungkan kerana ia adalah objek yang tersangat besar dan proses mencurinya sudah tentu memerlukan kepakaran serta jumlah tenaga yang besar.

Bagaimana pula anda mahu memindahkannya dan persoalan terbesar, bagaimana anda ingin melakukannya tanpa disebdari oleh orang di sekitar?

Dalam kes di Republik Czech, para pencuri jambatan tersebut menyamar sebagai orang diupah untuk merobohkan jambatan.

2. Kes kecurian ais

kes curi ais glasier

"Kecurian ais" mungkin tak memberikan apa-apa makna bagi kebanyakan daripada kita kerana tiada siapa yang kisah dan peduli sesuatu seperti ais yang banyak dicuri kan?

Namun pada tahun 2012, seorang lelaki ditangkap kerana mencuri ais. Ais sebanyak 5 tan ditemui di dalam traknya di bandar Cochrane.

Kecurian sebegini sudah tentu tidak membantu apa-apa kerana wilayah ini sudah mempunyai beberapa glasier yang lebur paling pantas di seluruh Chile.

Pihak polis mengesyaki bahawa ais ini digunakan untuk restoran dan kelab malam kelas atasan yang terletak di Santiago, ibu kota Chile dan mungkin dilakukan oleh kongsi gelap.

1. Penghalang nombor plat profesional

lingdung no plat

Oleh kerana menjadi salah satu bandar berkembang pesat di Asia, Tehran telah memperkenalkan beberapa undang-undang jalan raya dalam beberapa tahun kebelakangan untuk menguruskan bandar dengan lebih baik.

Sama seperti bandar-bandar besar lain di dunia, Tehran juga telah menetapkan zon trafik khas dengan peraturan mereka sendiri yang harus anda ikuti dan yuran yang harus dibayar jika anda ingin mendapatkan akses, terutamanya di pusat bandar yang lebih sesak.

Walaubagaimanapun, tidak seperti mana-mana bandar lain di dunia, orang Iran telah menemui cara yang bijak untuk memintas peraturan tersebut dan melakukan apa sahaja yang mereka mahu.

Mereka mencipta satu kerjaya baru, iaitu penghalang nombor plat.

Untuk "menewaskan" undang-undang trafik yang ketat ini, para pemandu kenderaan di Tehran menggunakan khidmat pejalan kaki atau penunggang motosikal untuk berada di belakang kereta mereka bagi mengelakkan nombor plat mereka dilihat CCTV.

Walaupun kegiatan jenayah ini hanyalah satu cara untuk mendapatkan wang yang cepat, namun ada yang menjadikannya sumber pendapatan tetap sama ada berjalan kaki atau menggunakan motosikal.

Rujukan:

1. Observers

2. Washington Post

3. BBC




Hakcipta iluminasi.com (2017)