Pernahkah anda terfikir dari mana datang perkataan 'ballot', yang diguna dalam bahasa Inggeris; merujuk proses atau kaedah pengundian dalam menentukan sesuatu keputusan atau pemilihan?

'Ballot' berkait dengan sistem pemilihan masyarakat zaman dahulu mengundi menggunakan guli kaca, berbeza dengan kita yang sudah bertukar kepada kertas undi.

Lebih unik, di antara semua negara yang menganjurkan proses pilihanraya hanya negara Gambia yang masih mengekalkan penggunaan guli kaca, dalam proses memilih ketua kerajaan mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

'Ballot' dari aspek bahasa

undian ballot menggunakan guli

'Ball' dalam istilah 'ballot' berkait dengan bentuk bola. Ini kerana sistem undian masyarakat terdahulu biasanya dijalankan dengan menggunakan alat berbentuk bola kecil, seperti guli yang akan diletakkan dibekas tertentu - bagi menentukan undian kita.

Daripada aspek bahasa, 'ballot' sebuah istilah bahasa Inggeris dipinjam daripada istilah Itali 'pallotte', yang membawa makna bola kecil.

'Ballot' atau bola kecil digunakan untuk undian sejak abad ke 16 oleh masyarakat Eropah yang menetap di Venice, tetapi istilah yang digunakan dikekalkan walaupun berlaku perubahan besar-besaran kaedah undian mula menggunakan kertas sebagai cara masyarakat mereka mengundi pada sekitar abad ke 18.

Perkataan 'ballot' yang sepatutnya mewakili bola-bola kecil yang digunakan, mula digunakan sebagai satu kata kerja yang merangkumi apa saja proses pemilihan atau undian yang dilakukan oleh peserta, walaupun proses itu berlangsung tanpa penggunaan bola-bola kecil itu lagi.

Tradisi lama dihidupkan semula penjajah British

kemerdekaan gambia

Sekitar dekad 1960-an, gerakan kemerdekaan Gambia daripada penjajahan British mula digerakkan pemimpin tempatan.

Keperluan untuk mengadakan pilihanraya bagi membolehkan kerajaan Gambia ditubuhkan, berdepan satu halangan yang besar. Kadar buta huruf yang terlalu tinggi di kalangan masyarakat Gambia menjadi isu besar, menghalang ramai individu yang bakal mengundi daripada mengundi dengan sempurna.

Situasi ini pernah berlaku dalam dekad 1950-an, apabila rakyat The Gambia diberikan peluang mengundi majlis kerajaan mereka semasa masih dijajah. Sistem undian yang dilakukan dengan kertas undi mendapati terlalu banyak kertas undi rosak.

Bagi menyelesaikan masalah ini, rakyat Gambia kembali menggunakan sistem lama yang diamalkan satu masa dahulu, di mana setiap pengundi akan dibekalkan dengan satu biji guli. Satu guli, satu undi.

Semua pengundi yang sudah didaftarkan akan ke ruangan mengundi, di mana tersedia dua atau lebih tong dram (bergantung kepada jumlah calon/parti) yang telah diubahsuai.

Setiap satu tong mewakili satu wakil, dengan wajah dan warna partinya dipamerkan.

Bagaimana mengundi dengan guli?

sistem pilihanraya gambia berasaskan kiraan guli

Sebuah corong diperbuat daripada plastik dipasang pada bukaan tong itu, yang akan menjadi salur di mana guli perlu dimasukkan. Setiap kali sebiji guli melalui corong tersebut, sebuah loceng yang dipasangkan di dalam corong itu akan berbunyi menandakan satu undian telah selesai dibuat.

Semua tong dram yang akan digunakan dalam pilihanraya mereka, akan dibuka terlebih dahulu untuk diperiksa mana-mana pengundi yang hadir awal bagi memastikannya kosong. Selepas dipersetujui, habuk kayu atau pasir akan diisi bagi memastikan guli yang akan dijatuhkan tidak pecah semasa undian dibuat.

Selesai proses undian, tong itu akhirnya akan dibuka juga didepan orang ramai, dengan kiraan jumlah guli yang ada dalam setiap tong akan menentukan pemenangnya.

kiraan undian guli gambia

Kiraan yang dibuat secara terbuka menggunakan sejenis papan yang dilubangkan pada permukaannya, mampu menempatkan 100, 200 atau 500 guli serentak. Guli-guli yang sudah digunakan untuk undian akan ditebarkan di atas papan tadi dan kiraannya direkodkan.

Sistem ini walaupun berbunyi agak tradisional sangat diyakini masyarakat Gambia, kekal digunakan dalam sistem pilihanraya demokrasi negara mereka sejak diperkenalkan.

Pilihanraya tahun 2021 yang masih menggunakan guli

gambia kiraan undi tempat awam

Walaupun ada cadangan supaya sistem tradisional ini diubah kepada penggunaan kertas undi, masyarakat Gambia kekal dengan kaedah sama dalam pilihanraya pemilihan presiden yang selamat berlangsung pada 4 Disember 2021.

Sebanyak 1,554 pusat mengundi dibuka bagi membolehkan lebih 962 ribu pengundi menentukan pilihan mereka, berdasarkan kepada guli di tangan.

Pilihanraya tersebut yang turut disertai wakil daripada Kesatuan Eropah dan negara-negara Komanwel, yang hadir sebagai pemerhati mendapat pujian atas sistem undian dan kiraan berasaskan guli yang diamalkan, layak dikategorikan sebagai telus.

Bagaimanapun masih ada ruang untuk sistem ini diperbaiki.

Mana-mana pengundi yang hadir tetapi enggan mengundi mudah dikenalpasti, disebabkan oleh ketiadaan bunyi loceng yang hanya akan berlaku selepas undian dibuat.

Selain itu pihak yang mengendalikan pilihanraya juga berdepan kesukaran untuk menyimpan guli dan tong seperti mana dalam kondisi undian telah tamat, sekiranya ada pihak yang kalah bertanding berjaya mencabar keputusan yang telah diisytihar selepas pilihanraya dilangsungkan.

Bagaimanapun dengan kadar celik huruf yang masih rendah, sekitar 63.9% untuk lelaki dan 47.6% untuk wanita - sistem menggunakan guli ini berkemungkinan besar perlu dikekalkan untuk satu tempoh panjang bagi menyesuaikan proses pilihanraya dengan kemampuan kendiri masyarakat mereka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)