Manusia jarang belajar daripada sejarah dan kesilapan yang telah pun dilakukan oleh generasi-generasi terdahulu.

Kita kerap mengulangi tabiat yang sama seolah kita tidak peduli tentang bahaya sesuatu tindakan itu pada kita kelak.

Itulah yang berlaku pada lima tempat ini yang dinobatkan antara kawasan paling teruk tahap keracunannya akibat kecuaian manusia sendiri, menukarkan kawasan tersebut tanpa mempedulikan kesannya pada generasi akan datang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Norilsk, Rusia

sungai berdarah

Di kenali sebagai bandar paling teruk tercemar di Rusia, air Sungai Daldykan di bandar Norilsk pernah bertukar warna merah pekat akibat kebocoran bahan yang memasuki air.

Bandar itu menjadi lokasi perusahaan logam nikel sejak tahun 1947 untuk digunakan sebagai perisai kepada kereta kebal, mengakibatkan kadar pencemaran di Norilsk sangat tinggi.

Norilsk menjadi pembekal dunia bagi bahan-bahan seperti palladium, platinum, nikel dan juga tembaga, dengan industri perlombongan menjadi sumber pendapatan utama penduduk Norilsk.

Hanya selepas pencemaran menjadi terlalu teruk pada tahun 2016, kerajaan Rusia mengarahkan kilang tersebut ditutup untuk dinaik taraf sistemnya dengan sasaran mula operasi semula pada tahun 2020.

Kajian yang dilakukan terhadap sampel air di kawasan tersebut mendapati terdapat banyak kandungan bahan tercemar dalam air, yang masih digunakan penduduk bandar tersebut.

2. Sungai Ci Tarum, Indonesia

indonesia sungai penuh sampah

Sungai Ci Tarum merupakan sungai terbesar dan terpanjang di Jawa Barat, Indonesia. Seramai 15 juta penduduk Indonesia bergantung harap kepada sungai.

Namun di sepanjang tebing sungai tersebut telah dibuka lebih kurang 2000 kilang perindustrian, menyebabkan bahan-bahan sisa buangan seperti aluminum, manganese, besi dan plumbum disalurkan ke dalam sungai tersebut.

Ini mengakibatkan air daripada sungai tersebut tidak selamat untuk digunakan.

Bagaimanapun bagi mereka yang terpaksa juga bergantung dengan sumber airnya, mereka terpaksa menggunakannya sejak tahun 1976 lagi.

Apa yang lebih menakutkan, kurangnya kesedaran sivik masyarakat di sekitar sungai tersebut yang menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sampah, memburukkan lagi keadaan yang sudah sememangnya buruk.

3. Kabwe, Zambia

kabwe pekan bukit hitam

Selama berpuluh-puluh tahun lamanya pekan Kabwe di Zambia membunuh penghuninya secara senyap-senyap.

Kabwe mempunyai penduduk seramai 220 ribu orang, merupakan antara pusat pembuatan besi paling aktif di dunia satu masa dulu dengan sisa-sisa melombong yang masih mempunyai kadar plumbum tinggi dikumpulkan menjadi satu bukit yang digelarkan 'Black Mountain.'

Kanak-kanak merupakan golongan yang sering menjadi mangsa ekoran kerap bermain di kawasan tersebut sehingga terlalu ramai mencatatkan kadar pencemaran dalam darah 5 ke 10 kali ganda, yang meningkatkan risiko kecacatan otak atau lebih teruk kematian pada usia muda.

4. Kereng Pangi, Kalimantan

perlombongan emas

Merkuri merupakan salah satu bahan paling beracun apabila terdedah kepada manusia.

Namun bagi segelintir penduduk Kalimantan, Indonesia yang terlibat dalam perlombongan dan perniagaan emas - merkuri merupakah bahan paling penting perlu mereka gunakan dalam proses mengekstrak emas secara kecil-kecilan.

Ekoran daripada penggunaan merkuri secara haram, kandungan merkuri yang terbuang meningkat sehingga mencemarkan tiga sungai yang ada di situ iaitu Sungai Barito, Sungai Kahayan dan Sungai Kapuas.

Ramai penduduk di situ kini hidup dalam keadaan kondisi keracunan dan berdepan kemungkinan mengalami kerosakan otak, berpunca daripada reaksi merkuri menyerang bahagian cerebellum otak yang mengawal pergerakan anggota badan.

5. Hazaribargh, Bangladesh

warna air di bangladesh

Bandar Hazaribargh menempatkan lebih 270 syarikat yang mengendalikan proses merawat kulit binatang untuk dijadikan produk hanya dalam dalam lingkungan 2 kilometer persegi kawasan, menyebabkan Hazaribargh mempunyai masalah pencemaran bahan chromium yang teruk.

Garam yang mengandungi chromium dan beberapa jenis asid yang diguna bagi merawat kulit-kulit haiwan dibuang tanpa melalui proses yang betul, dengan sisa-sisanya disalurkan terus kepada Sungai Buriganga yang berada di situ.

Dianggarkan 21,600 kubik meter sisa bahan beracun dibuang setiap hari, menyusahkan penduduk kerana sungai itu juga merupakan salah satu sumber air utama bagi penduduk Bangladesh.

Beribu orang bekerja di kilang-kilang tersebut termasuklah kanak-kanak, turut bekerja tanpa dilatih untuk mematuhi prosedur keselamatan yang betul.

Selain daripada sisa pencemaran dari kilang-kilang ini, penduduk Dhaka juga melepaskan 4500 tan bahan buangan ke dalam Sungai Buriganga setiap hari.

Dikatakan bau disekitar kawasan tersebut menyerupai bau sulfur dan mayat manusia mereput. Ironinya, nama Hazaribargh membawa maksud 'seribu taman yang terbentang luas.'




Hakcipta iluminasi.com (2017)