Tahukah anda, sebenarnya amat mudah untuk kita berasa kecewa dan begitu pesimistik dengan perangai manusia pada zaman ini? Buka sahaja Facebook, Instagram atau mana-mana laman berita yang popular, anda boleh lihat sendiri lambakan komen berbaur ugutan, kecaman di samping cacian dan ejekan yang dihamburkan sesuka hati tanpa menghiraukan perasaan sesiapa yang membaca. Adakalanya kita nampak seolah-olah manusia kian berubah menjadi terlalu ego dan mementingkan diri sendiri hingga hilang sifat perikemanusiaan.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun demikian, kami ingin kongsikan 5 kajian psikologi penting ini yang bakal mengubah persepsi anda.
1. Kalau banyak beri sedekah, automatik kita akan bersyukur
Anda mesti biasa dengar berita berkenaan makanan percuma seperti nasi lemak bungkus, kopi atau kuih yang telah dibayar oleh mana-mana hamba Allah. Atau anda pernah melalui sendiri pengalaman seperti ketika ingin membuat bayaran di kedai makan namun mendapat tahu yang bil meja anda sudahpun dijelaskan.
Tahukah anda penerima 'sedekah' seperti ini akan mula membuat perkara yang sama kepada orang lain?
Satu kajian oleh para penyelidik dari Northeastern University mendapati manusia akan lebih cenderung untuk bersedekah apabila menerima bantuan seumpamanya daripada orang lain. Ini disebabkan timbul rasa kesyukuran dalam diri mereka.
Eksperimen itu dijalankan di mana para peserta telah dibiarkan mengalami masalah komputer di pertengahan jalan. Apabila ada seseorang membantu peserta yang bermasalah dengan komputernya, peserta itu kemudian akan meluangkan masa membantu peserta lain pula yang mengalami masalah serupa.
Dalam erti kata lain, apabila kita bersyukur dengan kebaikan orang lain, ia mendorong kita untuk melakukan kebaikan dengan membantu orang lain.
2. Apabila kita membantu orang lain, ia membuatkan kita lebih gembira
Dalam satu kajian yang dijalankan oleh ahli psikologi Elizabeth Dunn dan rakan sejawatnya, para responden diberikan sejumlah wang iaitu 5 dolar untuk dibelanjakan pada hari tersebut. Mereka dibenarkan membelanjakan apa sahaja yang mereka mahu. Apa yang mereka tidak tahu, separuh daripada peserta diberitahu untuk membelanjakan wang tersebut untuk diri sendiri manakala separuh lagi perlu membelanja orang lain.
Apabila disoal siasat pada penghujung hari, mereka mendapati kesemua peserta yang membelanjakan wang tersebut untuk orang lain adalah lebih gembira berbanding orang yang berbelanja sendiri.
3. Perhubungan kita dengan orang lain membuatkan kehidupan lebih bermakna
Seorang pakar psikologi, Carol Ryff dikenali kerana menjalankan satu kajian yang dipanggil 'kesejahteraan eudaimonic' iaitu perasaan mengenai kehidupan yang bermakna dan mempunyai arah tuju. Menurut Ryff, perhubungan kita dengan orang lain merupakan komponen utama bagi kesejahteraan eudaimonic. Satu kajian pada tahun 2015 telah berjaya membuktikan perkara ini. Dalam kajian tersebut, peserta yang meluangkan lebih masa untuk membantu orang lain dilaporkan merasai kehidupan mereka adalah lebih bermakna.
Kajian yang sama juga mendapati para peserta merasakan seperti hidup mereka lebih sempurna selepas menulis sepucuk surat penghargaan kepada seseorang. Ini bermakna, apabila kita mengambil sedikit masa untuk membantu orang lain atau mengucapkan terima kasih, hidup kita boleh menjadi lebih penuh bermakna.
4. Sokongan terhadap orang lain berhubung kait dengan usia yang lebih panjang
Pakar psikologi, Stephanie Brown dan pasukan penyelidiknya mengkaji hubung kait antara membantu orang lain dengan usia yang lebih panjang. Dalam kajian yang dijalankan sepanjang lima tahun, peserta yang banyak menolong orang didapati mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mati awal. Jika seseorang membantu jiran atau rakan-rakan, mereka juga membantu diri sendiri untuk kekal sihat pada masa yang sama.
5. Empati membuatkan seseorang lebih berkebolehan dalam pelbagai aspek
Seorang penyelidik dari Stanford University, Carol Dweck, telah menjalankan pelbagai kajian berkaitan penetapan minda (mindset). Beliau mendapati, individu dengan "penetapan minda berkembang" percaya yang mereka boleh memperbaiki sesuatu dengan daya usaha, manakala individu dengan "penetapan minda tidak berubah" pula merasakan keupayaan mereka adalah tetap dan tidak boleh berubah.
Dweck mendapati sikap empati juga dipengaruhi oleh penetapan minda manusia. Dalam kajian yang dijalankan, peserta yang mempunyai penetapan minda berkembang dan percaya mereka boleh menjadi lebih empatetik akan meluangkan lebih masa untuk mencuba berasa empati dengan orang lain. Menurut Dweck, empati sebenarnya merupakan satu pilihan dalam hidup. Ia bukanlah anugerah kepada insan-insan terpilih sahaja. Semua orang berpeluang untuk menjadi seorang yang lebih empati - anda hanya perlu ubah mindset!
Bagi yang tak tahu apa itu empati, empati ialah daya menyelami dan memahami perasaan atau emosi orang lain.
Walaupun ada masanya kita berasa putus asa dengan sifat kemanusiaan (terutama sekali selepas membaca kisah perang dan jenayah) bukti-bukti kajian psikologi menunjukkan yang kes-kes seumpama itu tidaklah memberikan gambaran yang buruk sepenuhnya.
Banyak lagi kajian yang membuktikan masih wujud ramai manusia yang sanggup membantu orang lain dan bersedia untuk menjadi lebih empatetik. Malah, anda juga boleh tergolong dalam kumpulan yang hidup penuh dengan kebahagiaan ini sekiranya anda mula mengambil inisiatif untuk menjadi lebih pemurah, penyabar dan prihatin.