Oleh pada 02 Mar 2018 kategori

Tiada apa yang lebih menghancurkan harga diri dan keyakinan seseorang seperti ketika berada dalam perhubungan bersama pasangan yang 'mendera' emosi anda. Sesetengah orang mungkin menganggap penderaan emosi ini lebih merosakkan daripada penderaan fizikal kerana ia memakan diri secara perlahan-lahan dengan menghilangkan keyakinan, rasa selamat dan juga harga diri seseorang.

penderaan emosi dalam perhubungan

BESARKAN TEKS     A-  A+

Penderaan emosi berlaku apabila anda sering menerima cacian secara lisan, dibuli, dikritik secara berterusan, menerima sebarang bentuk ancaman dan dikawal dari segi kewangan. Ia juga boleh hadir dalam cara yang lebih halus seperti manipulasi dan ejekan. Namun, tahukah anda, mangsa penderaan emosi bukan saja terdiri di kalangan wanita bahkan kaum lelaki turut sama didera? Baca 11 tanda berikut untuk mengetahui sekiranya anda sedang berada dalam perhubungan yang membuatkan anda derita dalam diam:

1. Anda sering diejek

Pasangan akan mudah berasa lucu dan terhibur sekiranya anda tersepit dalam apa-apa situasi yang memalukan. Apabila anda menyuarakan ketidakselesaan dengan 'lawak' yang menjadi bahan ketawanya itu, dia ejek pula anda mudah tersinggung, terlalu sensitif atau tidak pandai berjenaka.

2. Pasangan menjadi terlalu melindungi

Pasangan menjadi sangat 'overprotective' sehinggakan anda tidak dibenarkan pergi ke mana-mana tanpa dirinya atau dia berada berhampiran. Jika anda keluar, kemungkinan dia akan sentiasa menelefon atau meminta anda menghantar 'bukti' apakah yang anda sedang lakukan atau di mana lokasi terkini anda. Apabila anda mula berasa rimas, dia menyatakan itu semua dilakukan kerana rasa ambil berat dan sayang.

penderaan emosi mental dalam perhubungan

3. Melibatkan pihak lain

Dia mula memaksa anda membuat pilihan antara dia atau seseorang yang lain, misalnya ahli keluarga atau sahabat handai. Drama ini akan berterusan dan sering membuatkan anda berasa tersepit atau serba salah.

4. Sentiasa membuatkan anda berasa bersalah

Anda berasa seolah-olah berjalan di atas kulit telur. Anda perlu menjaga kelakuan kerana tidak mahu dikritik atau dimalukan oleh pasangan. Kebiasaannya, anda tidak tahu pun mengapa anda perlu berasa bersalah atau malu. Adakalanya, sesuatu perkara itu sememangnya jelas kesalahannya namun dia berjaya mengelak dengan menjadikan anda mangsa keadaan.

penderaan emosi mental dalam perhubungan 5

5. Membuatkan anda keliru

Pasangan sering membuatkan anda berasa ragu-ragu dengan kesihatan akal, logik dan fikiran sendiri. Anda mungkin mengingati dengan jelas sesuatu yang pernah terjadi atau yang diberitahu tetapi dia akan menafikan sekeras-kerasnya sehingga anda pula berasa kurang yakin dengan perkara tersebut.

6. Tiada rasa empati

Pasangan yang suka mendera emosi tidak membenarkan anda bersedih atau berasa geram terhadap sesuatu isu kerana dia akan meminta anda melupakan perkara tersebut dengan segera. Ada juga situasi di mana pasangan pendera ini hilang tanpa kesan pada saat-saat anda memerlukannya.

penderaan emosi mental dalam perhubungan 3

7. Pasangan sering berfikiran negatif

Apabila anda ingin bercerita tentang perkara yang menggembirakan seperti kenaikan pangkat, pasangan tidak turut berkongsi kegembiraan yang sama. Malah, dia akan berfikiran negatif dan memberitahu anda yang sesuatu perkara buruk boleh terjadi hasil daripada berita gembira itu. Ini boleh menjadi punca pergaduhan seterusnya menenggelamkan perasaan gembira anda sebentar tadi.

8. Anda sentiasa salah

Pasangan yang sering mendera emosi anda tidak akan pernah melihat kebaikan anda. Dia akan sentiasa mencari dan mengingati kesalahan anda. Semua benda yang anda perkatakan akan diputar belit. Anda juga akan dipujuk untuk menjadi jujur dan bercakap benar mengenai kisah silam anda. Kelak, maklumat itu akan digunakan pada kemudian hari untuk diungkit-ungkit kembali.

penderaan emosi mental dalam perhubungan 4

9. Mengawal kewangan anda

Penderaan dari segi kewangan adalah salah satu tanda klasik bagi seorang pasangan yang suka mendera emosi. Antara anda berdua, anda seorang saja yang acap kali perlu mengurangkan perbelanjaan, mengira bajet dan meningkatkan pendapatan. Pada masa yang sama, si dia pula tidak pernah berbincang dengan anda apabila ingin membelanjakan wang.

10. Perubahan dalam personaliti anda

Mungkin rakan-rakan dan ahli keluarga mula dapat melihat yang anda berubah sikap dan tidak menjadi diri anda sendiri. Anda pula tidak dapat menjelaskan kepada mereka apakah perubahan yang sedang berlaku kerana anda juga mungkin rasa biasa-biasa saja tanpa menyedari yang anda sedang didera secara emosi.

penderaan emosi mental dalam perhubungan 6

11. Ternanti-nanti masa untuk bersendiri

Anda mendapati ada hari di mana segalanya rasa seperti baik-baik sahaja. Hari-hari itu adalah apabila pasangan tidak bersama anda atau anda berseorang diri. Setiap kali pasangan memberitahu yang dia perlu ke mana-mana, anda berasa tidak sabar menanti masa itu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)