Oleh pada 14 Dec 2022 kategori

Masyarat Arab tak kiralah yang duduk di benua Asia ataupun di sebelah Afrika, mempunyai identiti yang mirip walaupun berbeza negaranya. 

Salah satu persamaan yang cukup ketara adalah bagaimana majoriti negara Arab mempunyai keselarian dalam merekabentuk bendera negara. Kecuali beberapa negara, majoritinya mengadunkan warna merah, putih dan hitam sebagai asas dengan campuran hijau sebagai warna keempat bendera.

Kenapa persamaan ini wujud dan apakah simboliknya warna-warna itu dengan masyarakat mereka?

Revolusi Arab menentang kerajaan Uthmaniyah

revolusi orang arab

Satu peristiwa dalam sejarah masyarakat Arab yang sangat penting, melibatkan era kebangkitan kumpulan nasionalis di kalangan orang Arab bangkit menentang penguasaan kerajaan Uthmaniyah di tanah air mereka.

Peristiwa yang dikenali sebagai 'Revolusi Arab' melibatkan dua buah pihak bertelagah; kumpulan pejuang dikenali sebagai gerakan Hijaz yang bangkit menuntut pembebasan daripada kerajaan Uthmaniyah, pada ketika itu diperintah oleh Sultan Mehmed ke 5 awal abad ke 20.

Kumpulan pemberontak Hijaz disokong kuat kerajaan Britain, yang berjanji akan mengiktiraf kedaulatan sebuah negara baru orang Arab sekiranya gerakan Hijaz berjaya mencapai matlamatnya. Selain Britain, Hijaz juga disokong oleh kerajaan Perancis.

Di pihak kerajaan Uthmaniyah, empayar itu disokong Empayar Jerman dengan bantuan kerajaan kecil Khalifah Rashidi dinamakan sebagai kerajaan Jabal Shammar, ketika itu mentadbir beberapa kawasan sekitar Arab Saudi, Iraq dan Jordan sekarang.

Sebagai simbolik rasmi permulaan penentangan ini, gerakan Hijaz mengisytiharkan penubuhan Kerajaan Hijaz yang bertapak di kawasan Semenanjung Arab dengan Mekah menjadi pusat pentadbiran kerajaan baru itu, pada bulan Jun tahun 1916; menjadi titik tolak bermulanya revolusi masyarakat Arab bangkit atas semangat penyatuan kebangsaan.

Pembentukan dinasti baru 

hussin al hashimi pentadbir kota mekah

Kerajaan Hijaz diketuai seorang pemimpin bernama Hussin bin Ali al-Hashimi, pemimpin kanan yang menjawat jawatan Ketua Kota Mekah sejak tahun 1908.

Seorang yang dihormati kerana keturunannya, Hussin berasal dari suku bani Hashim yang dihormati serta cucu cicit Rasulullah saw. dalam generasi ke 37.

Bertindak sebagai komander perang, penggempuran ke atas kawasan strategik yang ditadbir Uthmaniyah dimulakan Hussin sejak 5 Jun 1916 lagi, menerusi angkatan perang kendalian dua anaknya Ali dan Faisal yang menggempur kota Madinah.

Bagaimanapun cubaan menakluk kota suci itu digagalkan selepas 3 hari bertempur, memaksa Ali dan Faisal berundur.

Pada tanggal 10 Jun 1916 selepas pengisytiharan pembentukan kerajaan Hijaz, mereka mengubah strategi bergerak menyerang beberapa kawasan lebih kecil. Hasil perubahan taktikal ini, beberapa jajahan Uthmaniyah mula dapat mereka kuasai.

Kumpulan-kumpulan gerakan pembebasan lebih kecil yang bekerjasama dengan Hijaz turut melakukan serangan serampang dua mata, menceroboh kawasan pelabuhan-pelabuhan strategik bagi melemahkan pengaruh empayar Uthmaniyah dalam aspek laluan maritim.

Dengan bantuan pesawat pengebom Britain yang menggempur dari udara, bandar pelabuhan utama seperti Rabigh, Yanbu dan Jeddah berjaya dirampas sekitar bulan Julai tahun sama; membolehkan bekalan perang angkatan Hijaz dapat disalur ke lokasi tertentu dengan lebih berkesan.

Kejayaan revolusi yang akhirnya digagalkan taktik licik Britain

projek jalan keretapi yang gagal

Projek jalan keretapi kerajaan Hijaz yang terbengkalai selepas hilang kuasa

Selepas siri pertempuran di antara kedua-dua pihak, tentera Uthmaniyah akhirnya gagal menandingi kemampuan tentera Hijaz dengan sokongan kuat Britain; banyak lokasi strategik mereka telah dirampas dan dikuasai lawan.

Faisal berjaya meluaskan pengaruh selepas merampas Aqaba (kini sebuah bandar pelabuhan di Jordan) dengan bantuan Jeneral British bernama Sir Edmund Allenby.

Dengan penaklukan Aqaba, Faisal bertindak menyatukan pelbagai kumpulan pejuang revolusi di bawah satu unit bernama Angkatan Tentera Arab Utara, bagi membolehkan taktik perang lebih jitu dijana.

Angkatan Tentera Arab Utara terus mara dari satu lokasi ke lokasi, tiba ke pusat pentadbiran empayar Uthmaniyah di Damascus dengan bantuan tentera berkuda dari Australia pada 1 Oktober 1918.

Sebulan kemudian akibat risiko tewas, kerajaan Uthmaniyah menawarkan gencatan senjata dan rundingan di atas meja. Kerajaan Hijaz berjaya mencapai matlamat mereka untuk ditubuhkan. Namun perjanjian rasmi di antara Britain dan Perancis yang dimeterai tahun 1919, meminimakan kawasan taklukan Hijaz.

Britain dan Perancis sama-sama berbincang hanya sesama mereka, mengagihkan Iraq, Palestin dan Transjordan (gelaran Jordan ketika dibawah perlindungan Britain) kepada Britain sementara Perancis pula menguasai Syria. 

Penyatuan masyarakat Arab di bawah satu panji kepimpinan Hijaz walaupun berjaya berlaku berakhir dengan rasa kurang gembira. Raja Hussin yang ditabalkan sebagai raja kerajaan Hijaz terpaksa berpuas hati dengan jajahan yang lebih kecil saiznya berbanding apa yang dijangka.

Naik ke takhta mentadbir jajahan takluknya, Raja Hussin menyaksikan sendiri jatuhnya kawasan-kawasan jajahan Uthmaniyah ke tangan orang barat. Dia juga bersengketa dengan Britain tatkala Britain merencanakan perpindahan orang Yahudi ke Palestin. 

Sedar dirinya telah diperguna, Raja Hussin sedar lama-kelamaan pengaruhnya sudah tiada dek dipermainkan kuasa barat.

Rampasan kuasa yang dilakukan oleh orang Bani Saud ke atas jajahan Hijaz memaksa Raja Hussin dan kerajaannya melarikan diri mencari suaka di mana anak-anaknya memegang kuasa.

Lebih meruntun hati, Britain dan Perancis yang sebelum itu bergelar sahabat hanya melihat saja.

Kerajaan Hijaz hilang penguasaan ke atas lokasi penting kota suci Mekah dan Madinah, sementara Hussin pula dibuang ke Cyprus di mana dia menghabiskan hari-hari tua sebelum meninggal dunia di Amman, Jordan dalam tahun 1931.

Simbol penyatuan orang Arab yang tak sempurna

bendera kain revolusi arab semasa perang

Gambar bendera Hijaz yang diguna semasa perang tahun 1918

Di tengah-tengah semua konflik melibatkan kerajaan Hijaz, terdapat satu simbol yang dijulang sebagai penyatu identiti mereka iaitu bendera Revolusi Arab atau lebih dikenali sebagai bendera Hijaz, menggunakan warna merah, hitam, hijau dan putih.

Direka secara kerjasama oleh pegawai diplomat Britain dengan pemimpin gerakan Hijaz, empat warna yang diadunkan dipilih bagi mewakili makna simbolik masyarakat Arab di sana.

Warna hitam mewakili panji hitam yang diguna kerajaan Islam terdahulu ketika era Rasulullah saw. dan khalifah seterusnya, putih mewakili panji putih era Khalifah Umayyah dan merah mewakili warna Bani Hashim, yang diwarisi susur galur keluarga Hussin.

Warna hijau pula menjadi pelengkap bagi mewakili agama Islam yang dipegang mereka.

bendera revolusi arab

Bendera Revolusi Arab awal

Bendera Reolvusi Hijaz yang asal mempunyai bentuk segitiga berwarna merah dengan tiga jalur berwarna hitam, hijau dan putih, disusun mengikut turutan atas ke bawah.

Selepas kerajaan Hijaz naik secara rasmi mentadbir, bendera mereka ditukar kedudukan jalurnya. Warnanya disusun mengikut tertib hitam, putih dan hijau pula sama seperti bendera negara Palestin sekarang.

bendera kerajaan hijaz

Bendera kerajaan Hijaz

Simbolik warna itu mula mengalami perubahan selepas tercetusnya Revolusi Mesir pada tahun 1952, yang membawa kepada kejatuhan Raja Farouk I dan pemerintahan monarki di sana.

Insiden itu mencetuskan gerakan liberalisasi Arab, membawa kepada pengenalan panji berwarna merah, putih dan hitam yang menjadi acuan kepada beberapa simbol baru termasuklah bendera negara Mesir sekarang.

Oleh sebab itulah di kalangan negara-negara Arab zaman moden, mana-mana negara yang bangkit semasa Revolusi Arab memilih untuk mengekalkan warna dan rekabentuk mirip bendera gerakan Hijaz sebagai warna rasmi mereka.

Pengaruh ini dapat kita lihat sehingga kini.

shutterstock 181291460

Bagi kerajaan Arab Saudi yang naik selepas menjatuhkan kerajaan Hijaz, mereka tidak ada pertalian dengan gerakan revolusi yang dilaksana jadi memilih untuk hanya menggunakan warna hijau sebagai bendera rasmi negara.

Sekiranya selama ini anda tertanya-tanya kenapa bendera Palestin dan negara Arab mirip rekaannya, kami harap artikel ini dapat menjawab persoalan anda.




Hakcipta iluminasi.com (2017)