Oleh pada 06 Jul 2019 kategori

Di kalangan ahli masyarakat kita, wujud satu persepsi yang kerap kali diperkatakan tetapi tidak ada pihak yang melakukan kajian lebih menyeluruh - sekolah asrama khasnya sekolah asrama satu jantina dikatakan punca kegiatan homoseksual bermula.

Benarkah dakwaan itu atau hanya sekadar satu persepsi saja?

Agak sukar untuk kita menjawab soalan tersebut berdasarkan fakta - ini kerana di negara kita golongan LGBT dianggap tidak wujud secara rasmi, hanya ada lelaki, wanita atau khunsa dalam beberapa kes unik jadi tidak ada sebarang rekod diambil bagi membantu kita melakukan kajian lebih mendalam.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pasti ramai yang mempunyai tanggapan serupa bahawa sekolah asrama, khasnya sekolah asrama lelaki memberikan kesan yang besar pada perubahan tingkah laku pelajar yang ada di dalamnya. Benarkah dakwaan ini? Untuk menjawab soalan ini, penulis akan membincangkan topik ini berdasarkan satu kajian yang dijalankan di Kenya melibatkan kehidupan di asrama dan hubungannya dengan homoseksualiti.

Penyelidik Kenya cuba merungkai masalah homoseksualiti

lgbt pride di kenya

Kenya merupakan antara negara di mana penerimaan terhadap homoseksualiti masih lagi berada pada tahap rendah. Kerajaan Kenya sendiri masih lagi meletakkan hubungan sejenis sebagai satu bentuk jenayah yang melayakkan seseorang didenda atau dipenjarakan atas kesalahan mereka. Perkahwinan sama jenis juga tidak dibenarkan sama sekali. 

Atas sebab itu, penulis merasakan kajian ini sesuai untuk kita gunakan sebagai gambaran kasar dalam percubaan kita menjawab hubungan di antara sekolah asrama dengan homoseksualiti.

Seramai 1,250 pelajar sekolah tinggi daripada 3 buah sekolah dipilih sebagai peserta kajian, dibahagikan kepada 484 pelajar sekolah asrama perempuan, 339 pelajar sekolah asrama lelaki dan 427 daripada sekolah harian campur.Kesemua pelajar berusia lingkungan 13 ke 19 tahun.

Untuk dua sekolah asrama yang dijadikan subjek kajian - sekolah itu merupakan sekolah berstatus terpilih di mana keputusan sekolah itu akan dibandingkan dengan sekolah berstatus sama di peringkat kebangsaan dan pelajar yang datang pula, datang dari seluruh Kenya. Sama seperti sistem SBT atau MRSM di negara kita.

Dengan menggunakan soal selidik, penyelidik cuba untuk memahami pemahaman serta statistik kumpulan pelajar berkait dengan isu homoseksualiti. Apakah hasil keputusan yang mereka perolehi?

Hasil keputusan yang membuktikan pemahaman pelajar

gatal punggung

Hasil soal selidik yang dijalankan menunjukkan 97% daripada keseluruhan peserta faham apa yang dimaksudkan dengan istilah 'homoseksualiti.' Ini menunjukkan pelajar-pelajar sekolah tinggi di Kenya menyedari realiti sebenar gejala buruk ini yang sedang melanda dunia.

Apa yang menarik untuk dibicarakan daripada hasil tinjauan itu mendapati 40% daripada semua pelajar tahu amalan homoseksualiti diamalkan di sekolah mereka. Ini satu angka yang agak tinggi untuk peringkat sekolah menengah/tinggi.Diajukan soalan sekolah jenjs mana yang dirasakan berlakunya kes homoseksual lebih kerap, 61% bersetuju sekolah asrama merupakan sarang gejala ini.

Jawapan mereka apabila dipecahkan lebih terperinci, menunjukkan 41% percaya sekolah asrama semua lelaki lebih berisiko, sementara hanya 21% percaya sekolah asrama semua perempuan terlibat dalam aktiviti ini.

Faktor umur juga menunjukkan perbezaan ketara dalam hasil kajian. Pelajar yang lebih muda berusia di antara 13 ke 16 melaporkan pengetahuan tentang aktiviti homoseksual yang lebih rendah hanya pada kadar 23%, sementara angka ini meningkat kepada 40% apabila maklumbalas pelajar lebih berusia (17-19 tahun) diambil kira.

Satu keputusan yang menunjukkan persepsi kita selama ini ada asasnya - adalah apabila 54% pelajar lelaki yang bersekolah di sekolah asrama lelaki mengakui mereka tahu berlakunya kegiatan homoseksual di antara rakan-rakan sebaya mereka.

Kita perlukan kajian sebegini di negara kita

gay pegang tangan

Bagi negara seperti kita di mana homoseksualiti masih dianggap sebagai sesuatu yang tidak perlu diiktiraf serta dibincangkan secara terbuka - kajian-kajian ini sepatutnya masih dijalankan, walaupun dalam cara yang tertutup dan sulit.

Ini kerana hasil kajian seperti ini dapat memainkan peranan yang sangat besar khasnya kepada pihak kerajaan dan ibu bapa dalam merungkai masalah homoseksualiti yang dilihat semakin popular di kalangan ahli masyarakat kita.

Pada tahun 2013, Prof. Dr. Azizan Baharuddin daripada Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengeluarkan pendapat bahawa sekolah-sekolah berasrama penuh di negara kita sebenarnya berpotensi melahirkan golongan LGBT kerana budaya hidup yang diamalkan di sekolah-sekolah itu.

Beliau mengkritik budaya hidup bersama yang bebas di antara pelajar asrama serta rutin yang perlu mereka lalui setiap hari, bersama-sama pelajar sama jantina akan mendorong lebih ramai pelajar cuba-cuba merasai nikmat songsang LGBT. Kes pelajar senior menjadikan junior mereka 'jambu' merupakan antara budaya songsang sekolah asrama yang ahli masyarakat kita secara sengaja pejam sebelah mata, membiarkannya terus berlaku.

Walaupun demikian, pandangan Prof. Azizan kebanyakannya datang daripada pengalaman menguruskan masalah yang berlaku serta kemungkinan besar kisah-kisah pengalaman pelajar yang didengarinya. Tidak banyak kupasan yang lebih bersifat kuantitatif dapat dilakukan kerana kekurangan penyelidikan di Malaysia. 

Kertas kajian yang mengkaji tentang isu ini di negara kita lebih banyak mengkaji tentang pemahaman, kesan sosial atau kajian statistik melibatkan individu dewasa LGBT tetapi setakat apa yang penulis cari - belum ada kajian kuantitatif berkenaan masalah homoseksualiti di sekolah asrama Malaysia pernah dijalankan.

Kita perlu mengetahui secara lebih mendalam betapa teruk masalah ini dikalangan pelajar kita, bagi membolehkan kita menghalusi langkah pendidikan yang sesuai dalam membendung masalah yang seolah dibiarkan saja berlaku, sejak dulu hingga sekarang.

Kesimpulan

pengaruh lgbt sekolah asrama

Berdasarkan kajian yang telah dijalankan di Kenya, bolehlah dikatakan tidak salah untuk dikatakan persepsi mengaitkan gejala homoseksualiti dengan sekolah asrama, sebenarnya bukan sahaja berlaku di Malaysia bahkan di Kenya.

Bagi mereka yang telah melalui kehidupan di asrama, pasti anda lebih faham apa sebenarnya yang kadangkala berlaku bila pelajar memerlukan teman. Nada tulisan penulis memang kedengaran lucu, tetapi dari segi psikologinya ketiadaan kawan-kawan jantina lain untuk berkomunikasi setiap hari memang akan memberikan kesan buruk pada pelajar.

Interaksi yang berlaku hanya melibatkan pelajar satu jantina semata-mata setakat ini belum dapat dibuktikan benar-benar menjuruskan pelajar ke arah homoseksualiti, tetapi untuk mengatakan perkara ini tidak benar juga sesuatu yang layak dikatakan salah.

Apa yang perlu kita lakukan sekarang adalah menyiasat dengan lebih mendalam budaya homoseksualiti di sekolah-sekolah asrama, dimulakan dengan kajian ringkas seperti apa yang telah dilakukan di negara Kenya ini.

masalah gay dikalangan pelajar asrama

Walaupun kajian yang dilakukan hanya dengan menggunakan borak soal selidik melibatkan 1,250 orang pelajar - maklumat yang diperolehi akan mampu membantu penyelidik membangunkan kajian yang lebih besar, mendalam dan menyeluruh.

Adakah masyarakat kita takut kajian sebegini, seandainya dijalankan di Malaysia akan membuka pekung budaya homoseksual yang selama ini didiamkan saja oleh majoriti alumni sekolah asrama?

Jika itu satu pengorbanan yang perlu dilakukan, kami percaya lama-kelamaan pekung yang terbuka itu akan memandu kita ke arah cara yang lebih berkesan dalam mematikan gejala homoseksual di kalangan pelajar-pelajar kita, yang sudah berlangsung bergenerasi lamanya.

Rujukan

Grappling with the issue of homosexuality: perceptions, attitudes, and beliefs among high school students in Kenya

Golongan LGBT semakin ramai




Hakcipta iluminasi.com (2017)