Oleh pada 09 Aug 2021 kategori

populasi china paling ramai

Setiap kali Olimpik berlangsung kita akan dapat melihat bagaimana pungutan pingat dikuasai oleh negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, Jerman, China dan Rusia.

Terdapat beberapa persamaan negara-negara ini iaitu mempunyai penduduk yang ramai.

Populasi yang tinggi sangat memainkan peranan penting dalam melahirkan atlet hebat, tetapi ia tidak menjamin negara itu memenangi sebarang pingat apatah lagi pingat emas di Olimpik.

Sebagai contoh, India berada di kedudukan ke-67 dari segi pungutan pingat Olimpik Rio 2016 dengan hanya memperoleh 2 pingat iaitu 1 perak dan 1 gangsa.

atlet china quan hongchan memenangi pingat emas olimpik

Malah, India hanya pernah memenangi 9 pingat emas sahaja sepanjang sejarah sukan Olimpik, berbanding China dengan 224 pingat emas secara keseluruhan.

Ini membuktikan populasi bukanlah penentu dan teori ini diperkuat lagi dengan kewujudan beberapa negara kecil yang masih mampu menggondol emas di Olimpik.

Iluminasi.com kongsikan 5 negara dengan populasi terendah di dunia yang pernah memenangi pingat emas di sukan Olimpik (Musim Panas dan Musim Sejuk)

5. Suriname - 575,990 orang

suriname di olimpik

Pastinya ada di antara kita yang tidak pernah mendengar nama negara ini, kan?

Suriname adalah sebuah negara di timur laut Amerika Selatan yang bersempadan dengan Lautan Atlantik di utara, Guyana Perancis di timur, Guyana di barat, dan Brazil di selatan.

Dengan hanya berkeluasan kurang dari 163,821 kilometer persegi, ia adalah negara berdaulat terkecil di Amerika Selatan.

Suriname mempunyai populasi sekitar 575,990 yang mana kebanyakannya tinggal di pantai utara negara itu, di dalam dan sekitar ibu kota dan kota terbesar, Paramaribo.

anthony nesty satu satunya atlet suriname yang pernah menang pingat emas olimpik

(Anthony Nesty memenangi satu-satunya emas Olimpik untuk Grenada)

Kali pertama Suriname menyertai sukan Olimpik adalah pada edisi di Mexico City pada tahun 1968 di mana ia hanya menghantar seorang sahaja peserta lelaki.

Pada Olimpik Seoul 1988, Matt Biondi dari Amerika Syarikat adalah atlet pilihan untuk memenangi peringkat akhir acara renang 100 meter kuak kupu-kupu lelaki.

Namun, perenang dari Suriname iaitu Anthony Nesty yang merupakan satu-satunya atlet negara itu yang pernah sampai ke peringkat akhir Olimpik telah mengejutkan dunia.

Dalam perlumbaan yang sangat sengit, Anthony berjaya melonjak di saat-saat terakhir untuk mengalahkan Biondi sekaligus berjaya merangkul satu-satunya pingat emas untuk Suriname sehingga ke hari ini.

Anthony sekali lagi menggondol pingat dalam acara sama pada Olimpik Barcelona 1992 tetapi kali ini pingat gangsa.

4. Bahamas - 385,637 orang

steve gardiner bahamas

Bahamas atau dikenali secara rasmi sebagai Komanwel Bahama, adalah sebuah negara di Kepulauan Lucayan di Hindia Barat di Atlantik.

Ia merangkumi 97% dari keluasan Kepulauan Lucayan dan merupakan tempat tinggal bagi 88% penduduk kepulauan tersebut.

Jumlah populasi Bahamas adalah sekitar 385,637 orang iaitu yang ke-177 di dunia dan majoritinya berkulit hitam iaitu 90.6%, 4.7% berkulit putih dan 2.1% bangsa campur.

Bahama bertanding dalam Sukan Olimpik Musim Panas 1952 di Helsinki, Finland dan hanya tujuh atlet lelaki sahaja dihantar di mana kesemuanya bersaing dalam acara pelayaran.

12 tahun kemudian, pingat emas pertama untuk Bahamas diperoleh dari acara pelayaran pada Olimpik Tokyo 1964 melalui pasangan Durward Knowles dan Cecil Cooke.

kuartet 4 x 400 bahamas

Bahamas memenangi 2 pingat emas di Olimpik Sydney 2000 menerusi acara 4 × 100 meter wanita dan pecut 200 meter wanita.

Negara ini terus cemerlang dalam acara balapan dengan memenangi 3 lagi pingat emas bagi acara 400 meter wanita (Olimpik Athens 2004), 4 × 400 meter lelaki (Olimpik London 2012) dan 400 meter wanita (Olimpik Rio 2016).

Pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Steven Gardiner memenangi pingat emas dalam acara 400m lelaki diikuti oleh Shaunae Miller-Uibo dalam acara 400 meter wanita.

3. Grenada - 111,454 orang

grenada di pentas olimpik

Dengan populasi sekitar 111,454 orang, Grenada adalah negara ketiga terkecil di dunia yang pernah merangkul pingat emas di temasya sukan Olimpik.

Grenada adalah sebuah negara Caribbean yang terdiri dari pulau utama yang juga disebut sebagai Grenada.

image 491

Sebelum kedatangan orang Eropah di Amerika, Grenada dihuni oleh orang asli dari Amerika Selatan.

Kini ia terdiri daripada 82.4% Afro-Grenada, 13.3% bangsa campur, 2.2% India Timur, 1.3% lain-lain dan 1.3 tidak dapat dikenal pasti.

Seperti pulau-pulau lain dari Caribbean, kriket adalah sukan kebangsaan dan paling popular serta merupakan perkara yang penting dalam budaya Grenadian.

kirani james menang pingat emas untuk grenada

(Kirani James)

Namun pingat emas Grenada bukanlah diperolehi dari sukan kriket kerana kriket tidak dipertandingkan dalam Olimpik.

Kriket pada asalnya dijadualkan untuk dimasukkan dalam Olimpik Musim Panas 1896 yang diadakan di Athens di mana kriket adalah satu-satunya sukan berpasukan yang diadakan di temasya tersebut.

Grenada bertanding dalam setiap edisi musim panas sukan ini bermula dari Olimpik Los Angeles 1984 di mana kesemua 2 pingat yang pernah dimenangi ini adalah melalui acara trek dan balapan.

Di usia 20 tahun, Kirani James memenangi pingat emas Olimpik pertama untuk Grenada dalam acara 400 meter di Olimpik London 2012 dan pingat perak dalam acara 400 meter di Olimpik Rio 2016.

2. Bermuda - 71,176 orang

image 15

Bermuda berada di kedudukan kedua negara berpopulasi paling rendah yang pernah memenangi pingat emas Olimpik.

Malah, ia juga merupakan negara dengan keluasan terkecil iaitu 53.2 kilometer persegi, yang berjaya memenangi emas Olimpik.

Namun, negara dengan populasi 71,176 orang atau 28% daripada populasi Perlis ini perlu menunggu sehingga ke edisi Olimpik Tokyo untuk mengecapi kejayaan ini. 

Senyuman dan kegembiraan terpancar di wajah Flora Duffy apabila atlet triatlon Bermuda ini menamatkan perlumbaan di tempat pertama pada 27 Julai 2021.

atlet bermuda pertama menang emas olimpik flora duffy

Atlet berusia 33 tahun itu dianggap sebagai wira negara apabila mencipta sejarah dengan menghadiahkan pingat emas pertama Bermuda selepas 85 tahun penyertaan negara itu.

Malah, Bermuda adalah negara terkecil mengikut jumlah penduduk yang pernah memenangi pingat emas Olimpik, tetapi berada di kedudukan senarai ini di belakang Liechtenstein.

Kejayaan itu dicapai selepas Flora menamatkan renangan 1,500 meter, berbasikal 40 kilomter dan larian 10 kilometer dalam tempoh 1 jam 55 minit dan 36 saat, 76 lebih pantas dari pencabar terdekat dari Great Britain iaitu Georgia Taylor-Brown.

Dia yang juga bertanding di Olimpik di Beijing, London, dan Rio de Janeiro pernah memenangi pingat emas di Sukan Komanwel XXI pada tahun 2018 di Australia.

Pada tahun yang sama, Flora dianugerahkan darjah Order of British Empire (OBE) atas sumbangannya dalam sukan untuk Bermuda.

1. Liechtenstein - 38,896 orang

image 54

Dengan populasi hampir separuh daripada Bermuda iaitu 38,896 orang, Liechtenstein ditabalkan sebagai negara paling rendah penduduk yang pernah merangkul pingat emas di sukan Olimpik.

Perlu diketahui bahawa Liechtenstein adalah negara populasi terendah yang pernah memenangi emas dalam Olimpik Musim Sejuk, manakala Bermuda dalam Olimpik Musim Panas.

Dari segi keluasan, Liechtenstein berada di kedudukan kedua negara terkecil yang pernah memenangi emas Olimpik dengan keluasan 160 kilometer persegi di belakang Bermuda.

Untuk perspektif yang lebih jelas, keluasan Liechtenstein hampir sama dengan keluasan Ampang (143.5 kilometer persegi).

Sedikit berbeza daripada negara dalam senarai ini, Liechtenstein tidak pernah memenangi emas dalam Olimpik Musim Panas sebaliknya dalam Olimpik Musim Sejuk.

hanni wenzel memenangi pingat emas untuk liechtenstein

(Hanni Wenzel)

Atlet-atlet dari Liechtenstein telah memenangi 10 sepuluh pingat dan kesemuanya dalam ski alpine.

Ia juga merupakan satu-satunya negara yang memenangi pingat di Sukan Olimpik Musim Sejuk, tetapi tidak di Sukan Olimpik Musim Panas.

Selain itu, Liechtenstein memiliki pingat Olimpik terbanyak di dunia dari segi per kapita populasi iaitu hampir 1 pingat bagi setiap 3,600 penduduk.

7 dari 10 pingat milik Liechtenstein dimenangi oleh ahli keluarga yang sama iaitu adik-beradik Hanni dan Andreas Wenzel, dan anak perempuan Hanni, Tina Weirather.

tina weirather anak hanni wenzel

(Tina Weirather (kiri) anak kepada Hanni Wenzel)

Hanni Wenzel memenangi 2 pingat emas dan 1 pingat perak dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk 1980 (dia memenangi  1 pingat gangsa pada tahun 1976), manakala adiknya Andreas memenangi 1 pingat perak dan 1 pingat gangsa di Olimpik 1984 dan Tina Weirather memenangi 1 pingat gangsa dalam Olimpik 2018.

2 lagi pingat dimenangi adik-beradik Willi dan Paul Frommelt, dan hanya Ursula Konzett yang memenangi pingat untuk negaranya tanpa sebarang kaitan dengan keluarga Wenzels atau Frommelts.

Xaver Frick, ahli pengasas jawatankuasa olimpik Liechtenstein adalah satu-satunya atlet negara itu yang pernah bertanding dalam kedua-dua sukan Olimpik musim panas dan musim sejuk.

Untuk perbandingan, jumlah penduduk Liechtenstein adalah sekitar 0.12% penduduk Malaysia.

Rujukan:

1. Worldometers

2. Olympic

3. Insider



Hakcipta iluminasi.com (2017)