kuda gunung berapi

Letusan gunung berapi adalah fenomena alam yang sering terjadi bagi gunung berapi yang masih lagi aktif. Walaupun di negara jiran kita Indonesia terdapat begitu banyak gunung berapi yang masih aktif, Malaysia sangat kerana kedudukan geografi Malaysia di luar Lingkaran Api Asia Pasifik. Dalam erti kata lain, tiada gunung berapi yang masih aktif di negara kita. 

Peristiwa letusan gunung berapi biasanya akan menyebabkan pengeluaran debu yang tebal dan muntahan lava yang tersangat panas. Dengan keadaan panas ekstrim di gunung berapi ini dan tahap keasidan yang tinggi dalam laut, adakah anda tahu terdapat beberapa hidupan yang hidup disini? 

Ya, terdapat beberapa hidupan yang telah ditemui oleh para saintis hidup di kawasan gunung berapi. Terdapat mineral-mineral penting yang terdapat pada gunung berapi yang membolehkan sesetengah hidupan untuk terus hidup. Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi 5 jenis hidupan yang dapat ditemui di kawasan gunung berapi seluruh dunia.

1. Pyrococcus Furiosus

pyrococcus furiosus

Pyrococcus Furiosus adalah sejenis mikroorganisma yang bersifat thermophile. Thermophile adalah kumpulan organisma yang hidup pada suhu yang tinggi, iaitu antara 41 °C hingga 122 °C (106 hingga 252 °F). Pyrococcus Furiosus pertama kali dijumpai di Pulau Vulcano di Itali. Pyrococcus Furiosus ini hidup di suhu 70 °C hingga 130 °C (158 hingga 217 °F).

Letusan gunung berapi mengeluarkan nutrien-nutrien penting bagi mikroorganisma ini untuk terus membiak. Ianya juga mempunyai kadar pertumbuhan yang sangat cepat dimana setiap 37 minit, jumlahnya akan menjadi satu kali ganda.

Menariknya, mikroorganisma ini sebenarnya mempunyai banyak manfaat kepada manusia dalam bidang pertanian. Kewujudannya dalam tanah menjadikan tanah tahan haba. Dalam erti kata lain, tumbuhan yang menggunakan tanah di sekitar kawasan gunung berapi memerlukan air yang lebih sedikit.

2. Arnab Gunung Berapi

arnab gunung berapi

Arnab merupakan sejenis haiwan comel yang seringkali dibela oleh pencintanya. Namun, tahukah terdapat sejenis spesis arnab yang menjadikan gunung berapi sebagai habitatnya. Dikenali dengan nama saintifik Romerolagus diazi, arnab ini juga merupakan arnab kedua terkecil di dunia.

Arnab kecil ini hidup di kawasan pergunungan gunung berapi di Mexico dan mempunyai jangka hayat 7 hingga 9 tahun. Arnab ini juga biasanya hidup berkelompok dengan 2 hingga 5 ekor dalam sebuah sarang. Secara anggaran, terdapat kira-kira 1200 ekor arnab ini yang hidup liar dalam kira-kira 150 hingga 200 buah koloni atau kumpulan.

Kumpulan arnab ini hidup di kawasan altitud tinggi dan menjadikan tumbuhan-tumbuhan yang kaya dengan nutrien daripada lava sebagai makanan utamanya. Berat maksimumnya pula sekitar 500 gram sahaja dan kebiasaannya berwarna coklat atau kelabu.

3. Sixgill stingray 

sixgill stingray

Sixgill stingray merupakan salah satu spesis dari keluarga ikan pari. Diberi nama "Sixgill" kerana ianya mempunyai 6 insang. Mempunyai badan berwarna ungu, ikan ini boleh membesar sehingga 1.7 meter panjang.

Ikan ini adalah antara organisma terbesar yang hidup di kawasan gunung berapi aktif dan boleh ditemui di kawasan Papua New Guinea. Ikan ini menjadikan kawasan air gunung berapi yang panas dan berasid sebagai tempat hidupnya. Ikan ini beranak dan kebiasaannya menghasilkan 2 hingga 5 ekor anak.

4. Cacing Polychaete

cacing polychaete

Secara umumnya, cacing bukanlah haiwan pemangsa. Walau bagaimanapun, cacing polychaete adalah haiwan pemangsa yang memakan ulat atau cacing lain. Menurut saintis, haiwan ini boleh dikategorikan sebagai haiwan prasejarah dimana ianya dipercayai telah hidup selama 500 juta tahun dahulu.

Keluarga cacing Polychaete ini juga besar dimana para saintis telah membahagikan keluarga cacing Polychaete ini kepada 10,000 spesis. Majoriti cacing ini adalah bersaiz kecil tetapi terdapat satu spesis iaitu spesis Eunice aphroditois yang sangat panjang dimana ianya boleh membesar sehingga hampir 3 meter. Dalam erti kata lain, panjangnya melebihi purata ketinggian manusia.

5. Tikus Bosavi Wooly

bosavi woolly rat

Populasi tikus Bosavi Wooly ini boleh ditemui dikawan Papua New Guinea yang sememangnya terkenal dengan kewujudan gunung-gunung berapi. Tikus ini mempunyai saiz tubuh badan yang besar seumpama seekor kucing dewasa. Tikus ini juga dikatakan sangat peramah dengan manusia.

Tikus ini pertama kali ditemui ketika proses penfileman dokumentari bertajuk Lost Land of the Volcano oleh syarikat BBC. Namanya pula diberi sempena tempat ianya ditemui di Gunung Bosavi. Tidak banyak diketahui mengenai spesis ini dan para saintis juga masih belum memberikan nama saintifik buat haiwan ini.

Kredit:

  1. Popular Science
  2. WikiPedia
  3. National Geographic
  4. Smithsonian Mag

tags : , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)