Oleh pada 06 Oct 2018 kategori

Nama Shah Rukh Khan sebagai salah seorang pelakon paling besar di Bollywood tidak boleh dinafikan lagi. Gandingan beliau bersama pelakon wanita Kajol Mukherjee atau Kajol Devgan seringkali disebut sebagai antara gandingan termantap dalam sejarah industri filem Bollywood setanding dengan gandingan-gandingan lain yang ada sebelum mereka.

Mempunyai hubungan yang 'hidup' dalam filem, gandingan mereka diakui sangat berjaya membawa penonton masuk menghayati watak dalam jalan cerita yang dipaparkan, dengan beberapa buah filem yang menggabungkan SRK dan Kajol sehingga kini diminati serta diikuti adegannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Terdapat tujuh filem yang menggabungkan kedua-dua pelakon gergasi di Bollywood setakat ini, dengan lima daripadanya dianggap sebagai filem terbaik mereka berdua, bukan saja disebabkan kualiti lakonan yang ditayangkan malahan kerana impak besarnya pada industri filem Bollywood dan juga peminat filem seluruh dunia.

5. Baazigar

baazigar adegan srk kajol

Kurang popular berbanding filem-filem lain dalam senarai ini, Baazigar dianggap sebagai filem pertama yang mempopularkan Shah Rukh Khan dalam industri filem Bollywood serta memperkenalkan orang ramai kepada Kajol. Lakonan SRK dalam filem ini memberikan beliau kemenangan pertama kategori pelakon terbaik anugerah Filmfare yang berprestij di India.

Merupakan sebuah imaginasi semula filem Hollywood berjudul 'A Kiss Before Dying,' watak utama yang dipegang Shah Rukh Khan dalam filem ini disifatkan agak ganas, berikutan tema dendam menjadi penggerak kepada filem ini. Pada awalnya watak utama itu ditawarkan kepada beberapa nama-nama besar lain di Bollywood, namun mereka menolaknya selepas membaca sendiri skrip.

Shah Rukh Khan mengambil keputusan menerima tawaran filem ini, membantu meletakkan dirinya sebagai antara nama besar di Bollywood seterusnya menjadi titik permulaan kepada kerjasama ikonik di antara dirinya dengan Kajol.

4. My Name Is Khan

my name is khan adegan pertengkaran

Filem terbitan 2010 ini merupakan sebuah filem drama yang sangat diterima baik bukan saja di India, malahan juga diseluruh dunia. Pernah memegang rekod kutipan paling tinggi bagi filem Hindustan pada peringkat antarabangsa, filem ini mengisahkan tentang kehidupan sebuah keluarga Muslim di Mumbai, India. Salah seorang anak dalam keluarga itu, Rizwan Khan mempunyai masalah sindrom Asperger yang menyebabkan dia mengalami masalah pembentukan mental dan sosial, namun dianugerahkan kebolehan dalam membaiki sesuatu.

Selepas dewasa dan kematian ibunya, keluarga itu berpindah ke San Fransisco bagi meneruskan hidup. Bagaimanapun, insiden pengeboman World Trade Centre pada 11 September 2001 menukar hidup mereka semua berikutan sentimen anti Islam dan Muslim, semakin berleluasa. Rizwan yang sudah dewasa namun tidak mampu mengerti mengapa dengan tiba-tiba banyak pihak mula membenci dia, menyimpan impian mahu memahami kenapa agama dan komunitinya menjadi sasaran masyarakat Amerika Syarikat.

3. Kabhie Kushie Kabhie Gham

kabhie kushie kabhie gham

Filem kekeluargaan yang menggabungkan nama-nama besar dalam industri filem Bollywood, Kabhie Kushie Kabhie Gham atau K3G merupakan filem yang sarat dengan drama. Membawa tema perbezaan kasta masyarakat India yang menjadi punca sebuah keluarga bahagia berpecah belah, interaksi di antara Shah Rukh Khan dan pelakon legenda Amitabh Bachan memang sentiasa terasa ketegangannya ekoran watak SRK bernama Rahul, yang sanggup memilih cinta berbanding keluarganya sendiri.

Walaupun mendapat reaksi yang berbeza daripada pengkritik dan peminat, dengan kritikan terhadap durasi serta kelemahan dalam jalan cerita, banyak pihak mengakui kekuatan filem ini terletak dalam kualiti lakonannya. Kesemua watak utama yang ramai diberikan keseimbangan yang baik, melayakkan filem ini mendapat pencalonan terbesar dari segi lakonan pelakon lelaki dan wanita, dalam sejarah filem Bollywood.

2. Dilwale Dulhania Le Jayenge

dilwale dulhaniye shah rukh khan kajol

Salah satu filem yang dikatakan wajib ditonton bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan filem Hindustan, Dilwale Dulhania Le Jayenge atau DDLJ yang membawa maksud 'lelaki Yang baik hati akan diterima pengantin perempuan' adalah sebuah filem komedi romantik mengisahkan tentang Simran dan Raj yang bertemu, namun Simran sudahpun dirancang untuk dikahwinkan dengan orang lain.

Diletakkan sebagai antara filem wajib tonton dalam senarai '1001 Movies You Must See Before You Die' dan tersenarai dalam British Film Institute sebagai antara filem India terbaik pernah dikeluarkan. Satu perkata yang menakjubkan, filem ini baru saja ditamatkan tayangannya secara rasmi di pawagam legenda Mumbai, Maratha Mandir pada 19 Februari 2015 - selepas lebih 1009 minggu filem itu dikeluarkan.

1. Kuch Kuch Hota Hai

kuch kuch hota hai anjali rahul gandingan terbaik

Sebuah lagi filem komedi romantik, gandingan SRK dan Kajol sangat menyerlah dalam filem ini. Memegang watak-watak berbeza mengikut zaman penceritaan, filem ini menjadi fenomena di seluruh dunia bukan saja disebabkan tema yang dibawa malahan runut bunyinya yang menjadi kegilaan ramai.

Dianggap sebagai salah satu filem terbaik pada tahun tersebut, filem ini membawa kepada kemenangan SRK dan Kajol dalam kategori pelakon terbaik. Adegan-adegan dalam filem ini kerap ditiru sehingga kini dan setiap kali tayangan filem ini di kaca televisyen, kebiasaannya akan mendapat sambutan menggalakkan.

Ada sesuatu yang mengujakan membiarkan diri kita masuk ke dalam dunia Rahul dan Anjali yang menjadi tunjang kisah filem ini, namun pastikan anda sediakan sapu tangan untuk mengelap air mata.




Hakcipta iluminasi.com (2017)