Oleh pada 26 Nov 2019 kategori

Isu berkenaan perkahwinan dan perceraian memang menjadi salah satu isu yang sangat besar dalam masyarakat kita, apatah lagi statistik perceraian di negara kita setiap hari - berada pada kadar yang agak tinggi.

Berbeza dengan penganut agama lain, masyarakat Muslim mempunyai sistem rujuk dan talak yang agak ketat; bertujuan dalam memastikan pihak pasangan tidak sewenang-wenangnya berbaik dan berpisah sesuka hati - kerana kesannya amat besar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimanapun, bukan semua perkara berkenaan asas kiraan talak difahami masyarakat Muslim, jadi pada hari ini - mari kita belajar tentang situasi-situasi talak, bagaimana hendak mengira baki talak dan kesannya pada pasangan suami isteri yang sudah berkahwin.

Asas dan prinsip talak

ikatan perkahwinan putus cerai

Secara amnya, kuasa talak terletak sepenuhnya pada tangan lelaki sama ada boleh dilakukan melalui lafaz yang menyebut niat untuk berpisah dengan isteri. Dalam zaman moden, talak boleh dikira jatuh walaupun berlaku hanya melalui mesej Whatsapp atau WeChat - jadi kita perlulah lebih berhati-hati.

Setiap satu perkahwinan mempunyai dua kali berpisah yang dibenarkan rujuk (berbaik) semula. Ini berdasarkan kepada ayat 229 dalam surah al-Baqarah yang bermaksud;

"Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik."

Ini bermakna setiap pasangan hanya akan diberikan dua peluang untuk berbaik semula dan sekiranya dua peluang ini telah pun habis akibat dua kali perceraian - tidak ada lagi jalan kembali seandainya talak ketiga berlaku. Harus diingatkan, walaupun dua talak awal dibenarkan - proses rujuk mesti bergantung kepada tempoh masa iddah yang telah ditetapkan.

Apabila jatuhnya talak ketiga atau talak Ba'in Khubra - seorang wanita itu dibenarkan merujuk kembali dengan bekas suaminya hanya selepas dia menikahi dan disetubuhi suami barunya. Begitulah beratnya syarat yang dijatuhkan pada orang lelaki dalam perihal talak ini - jadi janganlah dibuat main lafaz talak ini.

Mengira talak yang masih berbaki

kira baki talak

Dalam beberapa situasi yang unik - ada pasangan yang sudah bercerai memilih untuk merujuk semula, selepas si wanita itu menikahi lelaki lain. Persoalannya di sini, sekiranya mereka rujuk semula; berapa bilangan talak yang dibenarkan berbaki?

Untuk menjawab soalan ini, kita perlu melihat terlebih dahulu bila perceraian berlaku yang menyebabkan perkahwinan si wanita dengan lelaki lain terjadi. Ada dua jenis talak talak ba'in yang perlu dibincangkan iaitu talak ba'in sughra iaitu talak yang berlaku kali pertama dan kali kedua tanpa rujuk dan talak ba'in khubra iaitu talak ketiga.

Menurut Imam Shafie, apabila seseorang wanita yang telah diceraikan sekali atau dua kali talak Ba'in Sughra, kemudiannya berkahwin dengan lelaki lain sebelum diceraikan dalam perkahwinan yang baru - lalu ingin merujuk semula dengan bekas suami pertamanya; jumlah talak yang dibenarkan pada mereka akan dikira baki pada kali pertama perkahwinan mereka berdua.

Pendapat ini merupakan pendapat yang paling diterima ramai. Bagaimanapun, ada juga pendapat khasnya daripada pendapat pengikut mazhab Hanafi yang menyebut bahawa bilangan talak dibenarkan akan bermula semula daripada keadaan 'kosong' pada perkahwinan semula mereka berdua.

Bagaimanapun, majoriti pandangan menyokong bahawa jumlah talak yang jatuh pada pasangan suami isteri yang berkahwin semula selepas melalui talak dan isteri menikahi lelaki lain, adalah baki daripada perkahwinan pertama mereka.

Bilangan talak selepas talak tiga kali

talak selepas talak tiga

Bagaimana pula dengan pasangan yang rujuk semula, selepas si wanita berkahwin dan diceraikan suami keduanya? Berapakah bilangan talak yang dibenarkan pada mereka?

Dalam situasi ini, pemahamannya lebih jelas. Untuk setiap perkahwinan yang berlaku selepas seorang wanita diceraikan lelaki lain dan ingin berbaik semula dengan bekas suaminya - talak mereka akan dianggap bermula daripada kosong semula.

Ini bermakna, si suami dipertanggungjawabkan dengan kuasa talak sebanyak tiga kali seperti satu pasangan pengantin baru.

Walaupun demikian, janganlah pula sebab tahu ada tiga - digunakan sewenang-wenangnya pula. Isteri tak masak? Cerai. Isteri minta wang? Cerai. Masuk kali ketiga, si wanita secara automatik dah jatuh haram untuk dirujuk atau dinikahi - tanpa si wanita menikahi lelaki lain terlebih dahulu.

Janganlah diturutkan sangat rasa baran dan kurang sabar yang muncul, setiap kali ada masalah kecil yang timbul. Apatah lagi dalam zaman moden di mana komunikasi amat mudah berlaku dan lafaz cerai, boleh berlaku bila-bila masa saja.




Hakcipta iluminasi.com (2017)