Bagi orang yang belum pernah melawati negara ini, anda mesti sering mempunyai tanggapan bahawa orang Mongolia hidup di dalam khemah dan menaiki kuda untuk ke mana-mana. Tapi tahukah anda negara ini sebenarnya semakin membangun dan mempunyai hotel Shangri-La, rancangan tv Mongolia Next Top Model, panggung wayang iMax, pusat pameran Porsche dan kedai jenama terkemuka Louis Vuitton?
BESARKAN TEKS A- A+
Mitos #1 : Orang Mongolia masih tinggal dalam "ger"
Ger merupakan nama khemah berbentuk bulat yang dibalut dengan kulit haiwan oleh puak nomad. Namun, hari ini hampir separuh daripada penduduk Mongolia tinggal di apartment dan rumah. Rakyat Mongolia lebih suka tinggal di dalam rumah berbanding ger walaupun mereka berada di ceruk pedalaman.
Ger pada hari ini kebanyakannya dibina untuk dijadikan tapak penginapan bagi pelancong yang datang ke Mongolia. Ini membolehkan mereka merasai sendiri cara hidup orang nomad Mongolia dan melihat langit malam ketika tidur.
Mitos #2 : Orang Mongolia naik kuda sebagai kenderaan
Sebenarnya orang Mongolia tidak naik kuda selalu pun. Penggembala di kampung pun menaiki motosikal atau kenderaan lain.
Walau bagaimanapun, bagi orang Mongolia, kuda merupakan satu haiwan yang suci. Sebab itulah anda boleh nampak banyak kuda di negara ini. Agensi pelancongan juga menyediakan trek kuda untuk pelawat yang berkunjung ke sana.
Selain itu, susu kuda betina juga diproses sebagai minuman kebangsaan yang dipanggil airag.
Semasa pesta Naadam di Mongolia, satu perlumbaan kuda akan diadakan di mana ribuan kuda akan bertanding sepanjang larian sejauh 30km.
Mitos #3 : Orang Mongolia semuanya karnivor dan tidak makan sayur
Orang Mongolia sememangnya sukakan daging. Mereka makan daging seperti daging lembu, kambing dan daging kuda sepanjang tahun kerana perlu menghadapi cuaca yang sukar. Daging kuda menjadi pilihan semasa musim sejuk yang terlampau sejuk kerana ia memberikan lebih kalori yang membantu memanaskan badan.
Sejak kebelakangan ini, keluarga yang telah berhijrah tinggal di bandar mula sedar akan kepentingan makanan seimbang. Mereka mula menambah hidangan serat dan sayuran dalam diet seharian. Selain itu, di Ulaanbaatar j ga anda boleh menjumpai pelbagai sayuran yang dijual di merata-rata kedai dan juga restoran yang menghidangkan sajian vegetarian.
Mitos #4 : Mongolia adalah satu negara yang tidak selamat dikunjungi
Orang Mongolia bukanlah kanibal yang membunuh orang. Sebenarnya Mongolia adalah sebuah negara yang selamat untuk dilawati. Cuma satu perkara yang perlu ditekankan ialah, kejadian penyeluk saku sememangnya sering terjadi di bandar Ulaanbaatar.
Orang Mongolia rata-rata sukakan orang asing dan gemar berkomunikasi walaupun mereka tidak faham bahasa Inggeris.
Mitos #5 : Mongolia adalah sebahagian dari China
Sebenarnya, Mongolia bukanlah sebahagian dari negara China mahupun Rusia. Mongolia adalah sebuah negara tidak berpantai yang mempunyai hak kedaulatannya tersendiri di Asia Tengah. Mongolia juga mempunyai bahasa, budaya, mata wang, parlimen dan presidennya sendiri!
Jika diimbau sejarah Mongolia, ia bermula pada kurun ke-16 di mana fahaman Buddha dari Tibet telah tersebar di sana semasa pemerintahan Dinasti Qing. Pada awal 1900, satu pertiga daripada populasi Mongolia merupakan sami Buddha. Selepas kejatuhan Dinasti Qing pada 1911, Mongolia mengisytiharkan kemerdekaan dan menubuhkan kerajaan de facto pada 1921.
Dengan bantuan Soviet Union, Mongolia menjadi sebuah negara bebas pada 26 November 1924.