Setelah bertahun dinantikan, Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Qatar, menjadi penganjuran pertama di Asia Barat akhirnya terlaksana.
Terpalit kontroversi sejak mula khususnya dalam isu dibangkitkan golongan liberal barat, Qatar berjaya meredakan kritikan dan menjadikan penganjuran kejohanan itu satu pengalaman bermakna.
Sejak awal penganjuran, desas-desus Qatar akan menggunakan Piala Dunia sebagai medan dakwah sudah kedengaran; ini mengakibatkan ada pihak merasa kurang senang.
BESARKAN TEKS A- A+
Piala Dunia 2022 membuktikan mesej dakwah dalam penganjuran sukan adalah sesuatu yang tak mustahil untuk dilakukan, sekiranya sesebuah negara ada kemahuan.
1. Kita tak perlu arak untuk bergembira
Salah satu kontroversi paling gempar melibatkan Qatar sebagai tuan rumah, adalah larangan yang dikuatkuasakan kerajaan mereka terhadap penjualan minuman keras di stadium - yang sebenarnya satu tradisi lama Piala Dunia.
Ketegasan sebegini harus dipuji kerana minuman beralkohol adalah sesuatu yang memudaratkan, mengambil alih kewarasan seseorang serta menjadikan individu mampu melakukan bermacam bentuk kelakuan luar batasan.
Kisah tentang bagaimana penyokong tetap berjaya menyeludup masuk minuman keras ke stadium banyak dikongsi di kalangan pengguna internet, namun situasi bukanlah sesuatu yang kerap kali kedengaran.
Sebaliknya penganjuran kali ini menjadi antara penganjuran paling aman serta mencerminkan rasa harmoni, yang boleh dikreditkan berlaku akibat ketiadaan minuman alkohol untuk pengunjung.
2. Festival boleh berlangsung dalam suasana sederhana
Walaupun majlis pembukaan Piala Dunia 2022 Qatar terpalit dengan usaha boikot media barat, majlis yang diatur kepada seluruh dunia membuktikan sebuah acara sukan tak memerlukan pesta besar-besaran yang penuh unsur maksiat untuk meningkatkan kemeriahannya.
Apa yang sangat mengharukan, inilah kali pertama upacara pembukaan diubah menjadi medan kesederhanaan diraikan. Konsert kecil menampilkan artis Korea Selatan, Jung-kook tidak dijadikan fokus.
Sebaliknya interaksi di antara duta kejohanan Piala Dunia 2022, Ghanim Al Muftah dengan aktor legenda Morgan Freeman yang berdialog sesama mereka membincangkan tema kemanusiaan menjadi fokus utama.
3. Keluarga adalah segalanya
Salah satu detik ikonik berkait penganjuran Piala Dunia 2022, adalah bagaimana pemain negara Maghribi meraikan kemenangan mereka sehingga layak peringkat separuh akhir, bersama ibu masing-masing.
Perbuatan seperti ini menampakkan jelas perbezaan mentaliti pemain yang datang dari pelbagai benua, sehinggakan apa yang ditonjolkan Maghribi dilihat sesuatu yang asing dan jarang berlaku.
Majoriti pemain terkenal dunia lebih suka mengenengahkan isteri-isteri berstatus model sebagai penggerak utama kerjaya, tetapi pemain Maghribi membuktikan tak ada wanita lain di dunia lebih berharga selain ibu kita.
Apa yang agak melucukan, paparan kasih sayang ini kurang disenangi segelintir pihak di Eropah.
Sebuah saluran TV di Denmark menyifatkan apa yang ditonjolkan oleh pemain Maghribi bersama ibu mereka ibarat satu keluarga monyet yang tidak boleh berenggang apabila berjumpa.
Selepas dikecam kerana mengeluarkan kenyataan yang menyinggung sensitiviti, saluran TV tersebut terpaksa mengeluarkan kenyataan maaf secara rasmi.
4. Islam bukan pengganas
Sejak dinamakan sebagai tuan rumah, banyak pihak khususnya media kelolaan barat telah mula memainkan bermacam isu di Qatar khususnya isu berkait hak pekerja asing dan juga hak mengamalkan seks songsang.
Lama-kelamaan kritikan demi kritikan yang lantang, mula senyap selepas penganjuran Qatar berjaya memastikan festival bola sepak terulung dunia itu berjalan dalam suasana aman.
Pemain juga tampak mahu fokus kepada perlawanan, bukan politik ideologi...kecuali pasukan Jerman.
Qatar juga sehabis baik mengeluarkan dana dalam memastikan fasiliti dan tahap keselamatan mereka yang hadir ke sana terjamin dalam setiap aspek. Sistem pengangkutan awam mereka lancar dan teratur disokong ribuan petugas yang menjadi juru pandu dan pegawai bantuan bagi memastikan suasana terkawal.
Kebimbangan pemain akan bermain dalam cuaca terlampau panas sepanjang perlawanan juga tampak reda.
Imej 'Islam penindas' atau 'Islam pengganas' yang sudah berdekad-dekad cuba dijaja media barat tidak dibincangkan, sebaliknya orang ramai fokus dengan perlawanan di atas padang.
Setelah beberapa dekad menonton Piala Dunia, tak malu untuk penulis katakan Piala Dunia Qatar 2022 adalah antara yang terbaik kualiti permainannya.
5. Basuh berak guna air lebih baik
Ssatu misteri hidup yang masih belum terjawab sehingga kini adalah kenapa masih ada di kalangan masyarakat dunia baik di Malaysia, Asia Tenggara dan benua-benua lain - masih menggunakan tisu tandas untuk membersihkan diri selepas buang air besar.Penggunaannya bukan saja tidak bersih, bahkan mencemar alam dan merosakkan sistem perpaipan. Nak mendapatkannya pun memerlukan kos.
Melihat ramai orang luar yang hadir ke Qatar menceritakan pengalaman 'mencebok' dengan menggunakan pancuran air dan menyedari teknik itu adalah yang terbaik, penulis tidak boleh menyembunyikan rasa gembira membacanya.
Dakwah tidak rasmi akibat berlakunya satu perubahan kecil kepada hidup seseorang, kami yakin akan memberikan perubahan besar kepada seluruh hidupnya.
Dengan menawarkan diri menjadi tuan rumah Qatar telah memberikan mereka peluang merasai satu pengalaman baru, yang akan mempertingkatkan lagi tahap kebersihan dan kesihatan mereka.