Setiap objek yang biasa kita lihat, sudah pasti mempunyai tindak balas yang sudah kita jangkakan akan berlaku dan bagaimana objek itu bertindak balas terhadap sesuatu. Bagaimanapun, wujud banyak unsur-unsur ciptaan manusia yang mampu melawan hukum fizik serta mampu berubah-ubah mengikut situasi tertentu.
Pernahkah anda dengar tentang objek-objek ini? Berikut adalah 5 jenis bahan hasil ciptaan manusia yang mampu melanggar hukum-hukum fizik normal yang kita dapat lihat hai-hari.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Shape memory alloy
Sekiranya kita ambil sebuah klip kertas yang diperbuat daripada besi dan bengkokkan, bentuk klip yang dihasilkan akan hilang. Dengan hanya pengenalan sedikit saja haba, klip itu dapat kembali kepada bentuk asal. Itulah tujuan utama shape memory alloy dibangunkan.
Shape memory alloy atau SMA mampu mengingati bentuk asalnya. Diperbuat daripada gabungan beberapa jenis logam seperti tembaga, aluminium, nikel dan titanium, semua logam SMA mempunyai kebolehan yang dinamakan 'superelasticity' yang mampu membuatkan logam ini melentur tanpa patah.
Banyak digunakan dalam bidang penerbangan, automotif, robotik dan beberapa bidang besar lain, produk SMA paling mudah didapati adalah bingkai cermin mata mudah lentur yang boleh dilipat dan dibengkokkan tanpa mengalami sebarang perubahan pada bentuknya.
2. Oobleck
Oobleck adalah salah satu daripada cecair/pepejal yang melanggar hukum fizik dan tergolong dalam kumpulan non-Newtonian Liquid. Kenapa kami tuliskan cecair/pepejal?
Ini kerana oobleck mampu jadi kedua-duanya pada waktu yang sama, bergantung kepada keadaan. Dalam keadaan tidak diganggu, oobleck akan mengekalkan bentuknya dalam keadaan cecair tetapi apabila tekanan diberikan, serta merta bentuknya akan berubah menjadi pepejal bergantung kepada kepekatannya.
Oobleck mampu menampung berat seseorang untuk membolehkan individu itu berjalan di atas air sekiranya kita mampu membuatnya dalam kuantiti yang banyak. Sekiranya anda berminat hendak mencuba, anda sebenarnya boleh mencipta cecair/pepejal ini sendiri. Penuhkan dalam tab mandi dan cuba masuk ke dalamnya. Begitulah rasa berada dalam pasir jerlus.
3. Liquiglide
Hasil ciptaan penyelidik di MIT, Liquiglide membantu dalam memastikan satu masalah besar dalam kehidupan kita diselesaikan - masalah cecair atau pepejal yang melekat pada permukaan, seperti sos dalam botol.
Dengan Liquiglide, kita tidak perlu lagi mengetuk-mengetuk botol sos dengan muka marah sekiranya sos tidak keluar akibat kadar kepekatan yang tinggi atau suhunya sejuk. Liquiglide kini sudah disahkan selamat untuk kegunaan bekas makanan dan teknologi yang ada dalam penghasilan permukaannya yang menggunakan teknik 'liquid impregnated surfaces' memerlukan formula yang berbeza, bergantung kepada jenis cecair apa yang hendak disimpan dalam botol tersebut.
Pada tahun 2015, pengeluar mayonis dari Norway mula menggunakan teknologi ini dalam pembungkusan mayonis keluar mereka.
4. Ferrofluid
Ferrofluid adalah sejenis cecair yang akan berubah menjadi pepejal sekiranya medan magnetik dikenakan ke atasnya, yang dicipta oleh pihak NASA pada tahun 1963.
Mempunyai sifat melawan geseran yang sangat tinggi, cecair yang membentuk ferrofluid mampu membentuk duri-duri apabila dikenakan magnet serta mampu mengikut bentuk sesuatu objek bermagnet. Amat mirip dengan rupa watak penjahat dalam siri filem Terminator, kegunaan ferrofluid pula bukanlah digunakan untuk tujuan jahat.
Ferrofluid banyak digunakan dalam pembesar suara dan cakera keras komputer. Selain itu, beberapa jenama kereta moden menggunakan ferrofluid dalam sistem suspensi kenderaan mereka
5. Aerogel
Aerogel pada pandangan mata kita, nampak seperti ilusi. Seolah-olah tidak wujud. Atas sebab itu, aerogel dinamakan 'asap beku' atau 'frozen smoke' oleh banyak pihak.
Diperbuat daripada gel silika yang telah dibuang cecairnya, aerogel sebagai pepejal paling ringan dan paling padat di dunia. 1 gram aero gel sekiranya diratakan, mampu memenuhi saiz sebuah padang bola. Bagaimanapun, aerogel mempunyai sifat yang agak rapuh..
Kepadatan aerogel ini mempunyai satu faedah yang sangat besar. Aerogel mampu menjadi penebat haba yang cukup berkesan kerana haba tidak mampu menembusinya. Berikutan sifat itu, aerogel amat sesuai untuk tugas yang memerlukan ketahanan terhadap unsur haba.
Pihak NASA menggunakan aerogel sebagai pengumpul partikel angkasa dalam sistem Stardust Sample Collection, bagi mendapatkan bahan kajian mereka.