Oleh pada 24 Jun 2022 kategori

Menonton aksi berani aktor terkenal Tom Cruise melakonkan watak utama filem Top Gun : Maverick memang mengundang tepukan. 

Ini kerana dalam era di mana produksi filem lebih gemar memilih untuk dibina menggunakan kesan khas visual komputer, Cruise pula menjadikan aksi praktikal sebagai kaedah utama di mana pelakon yang terlibat perlu belajar menerbangkan sendiri pesawat yang mereka pandu. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kita kini tahu Tom Cruise mempunyai kebolehan sebenar menerbangkan pesawat, baik pesawat penumpang mahupun pesawat perang. Siapa lagi yang mempunyai kemampuan sama seperti beliau?

1. Tom Cruise

tom cruise lesen penerbangan 02

Kita mulakan dengan Tom Cruise. Pada usia 62 tahun, aksi-aksi berani yang ditunjukkan beliau bukan saja terhad dalam filem bahkan turut sama dilakukan beliau dalam dunia nyata. 

Cruise terkenal kerana berani berpaut pada pesawat yang sedang terbang, terjun udara pada ketinggian tinggi serta memandu pesawat dengan aksi lagak ngeri. Tom Cruise sebenarnya sudah pun memiliki lesen memandu memandu pesawat sejak tahun 1994.

Dia mula menceburi bidang ini selepas didedahkan dengan kemahiran juruterbang, dalam filem pertama Top Gun.

Dalam filem sambungannya, Cruise yang juga bertindak sebagai produser cuba untuk mendapatkan kebenaran bagi beliau menerbangkan sendiri jet pejuang tentera udara Amerika Syarikat F-18 Hornet, namun permohonan itu tidak dibenarkan.

Secara amnya, Cruise mempunyai lesen untuk memandu pesawat peribadi dan juga melakukan penerbangan bersifat komersial. Bagaimanapun kemahiran itu nyata belum mencukupi bagi beliau melayakkan diri memandu pesawat pejuang sebenar.

2. Bruce Dickinson

bruce dickinson pilot plane

Bagi peminat muzik berat heavy metal, anda pasti mengenali nama Bruce Dickinson sebagai vokalis utama kugiran legenda Iron Maiden. Uniknya, selain mempunyai kemampuan vokal cukup menakutkan - Dickinson juga adalah seorang juruterbang komersial bertauliah.

Dia mula menyertai kursus perlesenan juruterbang komersial sekitar dekad 1990-an, yang membolehkan beliau mempunyai kerjaya tetap sebagai juruterbang bersama syarikat penerbangan British, Astraeus Airlines.

Semasa bersama syarikat tersebut, Dickinson berkhidmat sebagai juruterbang pesawat Boeing 757 dengan pangkat kapten sebelum lebih melibatkan diri dalam pengurusan, bermula era 2000. Dia menamatkan karier dengan syarikat tersebut sebagai pengarah pemasaran sebelum syarikat tersebut dibubarkan pada tahun 2011.

Dickinson meneruskan minatnya dalam bidang itu, menubuhkan syarikat persendirian Cardiff Aviation yang menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan pesawat dan juga kursus latihan peberbangan.

Kini dinamakan semula sebagai Caerdav, Dickinson kekal bertindak sebagai pengerusi yang telah berjaya memperkembangkan rangkaian perniagaan mereka ke beberapa buah negara luar.

3. John Travolta

john travolta juruterbang bertauliah

Sejak berusia 15 tahun, John Travolta sudah mula didedahkan kepada karier penerbangan.

Ini mendorong beliau untuk mencuba nasib mendapatkan pertauliahan penuh sebagai juruterbang, yang berjaya diselesaikan pada usia beliau 22 tahun dalam tahun 1978. Bagaimanapun kelayakan beliau sebagai juruterbang terhad hanya kepada penerbangan pesawat persendirian.

kediaman john travolta

Kediaman/lapangan terbang peribadi John Travolta

Secara peribadi, Travolta mempunyai kelayakan untuk menerbangkan beberapa pesawat seperti Boeing 707, 727, 747 dan yang terbaru Boeing 737, selepas pengumuman beliau pada bulan Mac tahun 2022.

Beliau dilaporkan mempunyai koleksi 7 buah pesawat peribadi, di mana kediaman peribadinya pula direka bentuk agar boleh menempatkan pesawat miliknya selain daripada mempunyai landasan pendaratan dan pelepasan. 

4. David Gilmour

david gilmour pink floyd

Seperti Bruce Dickinson, David Gilmour yang juga pemuzik ikonik dari kumpulan Pink Floyd juga merupakan seorang kaki bidang penerbangan yang sangat-sangat serius walaupun lebih terkenal dalam karier muzikal mereka. 

Hasil kejayaan beliau sebagai seorang pemuzik membolehkan Gilmour mengalihkan dana yang beliau miliki kepada dunia penerbangan, di mana beliau berjaya mendapatkan lesen penerbangan pada tahun 1997. 

Gilmour merupakan antara individu yang mempunyai koleksi pesawat perang era perang dunia yang dicari-cari, menjadi antara pemilik sebuah pesawat dengan nombor model  SNJ-7C G-BRVG yang dibangunkan oleh tentera udara Amerika Syarikat bagi kegunaan perang.

Minatnya kepada kapal terbang dan pesawat lama tidak terhenti setakat itu. Selain mampu menerbangkan pesawat-pesawat ini sendiri, Gilmour juga mengusahakan Interpid Aviation, sebuah muzium berkaitan penerbangan yang dibuka di Essex, England bagi mempamer dan menguruskan semua pesawat lama miliknya.

Usaha itu mendapat sokongan banyak pihak, khasnya pasukan produksi yang memerlukan kapal terbang jenis lama untuk digunakan dalam filem, termasuklah melibatkan pengarah Steven Spielberg ketika penggambaran siri TV popular 'Band of Brothers.'

Selepas populariti usaha itu mula menyebabkan cabang perniagaan Intrepid Aviation semakin berkembang, Gilmour memilih untuk menjual syarikat tersebut kerana menurut beliau dia tidak lagi mampu menguruskannya - selepas usaha yang bermula sebagai hobi, akhirnya menjadi satu bentuk perniagaan yang di luar jangkaan.

5. Morgan Freeman 

morgan freeman air force lesen penerbangan

Pelakon veteran Morgan Freeman menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang juruterbang tentera sejak usia muda. Bagaimanapun impiannya tidak dapat dicapai.

Freeman berjaya memasuki tentera udara Amerika Syarikat berusaha keras menggapai impiannya namun dia terpaksa berpuas hati bekerja di pengkalan, dilantik sebagai juruteknik radar bersama angkatan tentera.

Selepas berkhidmat 4 tahun, Freeman dinaikkan pangkat ke pangkat Airman Kelas Pertama yang diharapkan dapat menjadi batu loncatan beliau diangkat sebagai juruterbang. Namun apabila beliau memulakan latihan dan dibenarkan duduk dalam pesawat-pesawat tentera, Freeman menyedari tempatnya bukan di situ. 

Dia menarik diri daripada terus berkhidmat pada tahun 1959 dan kembali menceburi bidang lakonan dan teater yang digemarinya sebelum itu. Sehinggalah dalam satu penerbangan bersama rakannya, Freeman diminta memegang stereng kokpit bagi membolehkan rakannya mengambil gambar sungai di bawah.

Pengalaman memegang stereng itu menukar pandangan Freeman, meyakinkan dia untuk kembali mencuba bidang penerbangan. Freeman menyertai kursus penerbangan pada bulan Julai tahun 2002 dan mendapat lesen penerbangan pesawat peribadi hujung tahun tersebut.




Hakcipta iluminasi.com (2017)