Di seluruh dunia wujud bermacam jenis kelompok masyarakat yang membawa 1001 jenis ragam dan kepercayaan yang bermacam jenis.

Tradisi yang diwarisi kebiasaannya akan diwariskan secara turun temurun di kalangan ahli masyarakat, menjadikannya satu ritual adat dan budaya yang membentuk mentaliti masyarakat tersebut - menjadikan kita semua berbeza corak kehidupan dan cara hidup.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Perayaan yang boleh dikatakan aneh serta ganjil menjadi tradisi masyarakat-masyarakat dunia kerap menjadi identiti sesebuah masyarakat dan berikut adalah lima perayaan paling aneh yang masih lagi diraikan di seluruh dunia, ketika ini yang dapat kami kongsikan kepada anda semua.

1. Festival Tinku

bolivia tinku sambutan perayaan ganas

Setiap tahun pada awal bulan Mei, rakyat Bolivia akan mula menyertai satu festival yang agak luar biasa cara sambutannya. Bagi kita yang biasanya makan kuih beramai-ramai sambil minum air oren, mereka pula melakukannya dengan keganasan. Ini festival Tinku yang bermakna 'peluang untuk pertembungan.'

Disambut oleh etnik Aymara dan Quechua yang tinggal di Andes, mereka akan menganjurkan sambutan Tinku secara besar-besar di bandar dengan peserta yang menyertai dimestikan bergaduh beramai-ramai. Pertarungan akan diaturkan mengikut komuniti asal mereka dengan setiap peserta mesti memakai pakaian tradisional mereka yang berwarna-warni. Barulah festival.

Dianggap satu cara penduduk setempat melepaskan kemarahan mereka, sambutan itu mulakan sebagai tradisi meraikan Dewi Pachanama sebelum dimodenkan oleh masyarakat sekarang dengan kerjasama pihak polis, yang membantu mengawal keadaan.

2. Antzar Eguna

antzar eguna sambutan perayaan aneh

Antzar Eguna yang membawa maksud 'Day of the Geese' atau 'Hari Angsa' merupakan sebuah festival pertandingan yang dianjurkan di Basque, Sepanyol setiap tahun sebagai sebahagian daripada sambutan perayaan tahunan penubuhan daerah St. Antolin.

'Antzar eguna' menjadi salah satu acara paling popular dalam sambutan tersebut kerana sejarah dan tradisi panjangnya. Seekor angsa akan digantungkan kakinya di atas tali yang dipasang merentasi pelabuhan. Setiap pasukan yang tidak diletakkan syarat-syarat keahliannya akan mula mendayung bot atau sampan mereka sebelum sampai berdekatan angsa itu.

Salah seorang ahli pasukan terpilih akan memegang kepala angsa itu lalu akan dilambungkan ke atas dan ke bawah oleh pengawal tali. Pasukan yang wakilnya berjaya berpaut pada leher angsa itu sehingga terputus kepalanya dengan badannya dianggap sebagai pemenang. Ya, kami menulis ayat itu pun penuh dengan rasa bersalah.

3. Hari Bermuda

sambutan perayaan pelik bermuda day

Disambut di kepulauan Bermuda setiap tahun pada hari Jumaat terakhir bulan Mei, pada awalnya sambutan ini dilakukan bagi meraikan hari pertama laut mula boleh dimasuki semula penduduk.

Dianggap sebagai hari pertama musim panas masyarakat Bermuda, bagi meraikan tradisi ini, penduduk Bermuda dibenarkan untuk memakai seluar bermuda, yakni seluar pendek walaupun untuk ke tempat kerja. Jadi pakaian tradisi masyarakat Bermuda semasa menyambut perayaan ini tak lain tak bukan adalah seluar pendek bermuda yang berwarna-warni.

bermuda sambutan bermuda day seluar pendek sambutan perayaan pelik

Perayaan ini telah dikembangkan menjadi satu festival 3 hari dengan pelbagai acara serta pertunjukan dianjurkan. Pada penulis, agak pelik jugalah melihat orang ramai berpakaian kemeja lengan panjang siap tali leher, namun mengenakan seluar pendek. Geli hati penulis melihat tradisi ini.

4. Festival 9 Tuhan Phuket

thailand vegetarian festival sambutan perayaan pelik

Kami tidak tahu apa nama sebenar festival ini - ada yang menggelarnya dengan nama rasminya Nine Emperor Gods Festival, Vegetarian Festival dan ada juga yang memanggilnya Thailand Piercing Festival. Sungguh kami tidak faham apa kaitannya ketiga-tiga nama ini antara satu sama lain. Namun apa yang dilakukan semasa festival inilah yang menimbulkan keanehan.

Tujuan sebenar festival 9 hari ini sebenarnya diadakan adalah berikutan tradisi nenek moyang orang Phuket yang mengamalkan puasa daripada makan daging sehari, untuk tujuan penyucian diri. Bagi menyucikan diri mereka, masyarakat di situ percaya dengan mencucuk diri mereka dengan alat-alatan tajam akan menghindarkan semangat-semangat jahat daripada mengganggu hidup mereka. Walaupun begitu, ekoran populariti upacara ini mereka jadi semakin kreatif.

sambutan perayaan pelik di thailand

Peserta festival mula menggunakan barangan harian untuk 'dipasangkan' di bahagian wajah mereka seperti payung, tayar basikal, pemutar skru dan bermacam lagi barangan yang dirasakan boleh digunakan. Bagi peserta festival yang tidak menyertai acara ini, mereka boleh mengunjungi pameran sayur-sayuran yang dibuka kepada semua.

5. Las Bolas de Fuego Festival

sambutan perayaan pelik las bolas

Letusan gunung berapi yang berlaku pada tahun 1658 memusnahkan pekan Nejapa, El Salvador disebabkan bebola-bebola api yang meletus keluar sebelum mendarat di pekan tersebut, mengakibatkan kerosakan serta kematian dalam skala yang besar. Nenek moyang mereka percaya semasa letusan itu, jelmaan santo bernama San Jeronimo sebenarnya sedang menghalau iblis keluar daripada kawasan mereka agar penduduk di situ dapat hidup tanpa gangguan makhluk jahat.

Tradisi ini kemudiannya diulangi generasi ke generasi dan disambut setiap tahun pada 31 Ogos setiap tahun oleh penduduk tempatan. Setiap kali pada tarikh tersebut, penduduk tempatan akan menganjurkan perlawanan membaling bebola api beramai-ramai sempena mengingati jasa Santo San Jeronimo.

Dengan berbekal kain buruk yang dicelup minyak serta dinyalakan api, mereka saling berbalas-balas serangan dengan pakaian mereka pada ketika itu hanyalah pakaian harian biasa. Bagi mereka yang menyertai acara ini, terbakar adalah perkara biasa kerana bebola api yang dibaling, akan dibaling tanpa sedikit pun rasa simpati pada penerimanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)