Bagi sesetengah individu, perasaan bersalah merupakan satu perkara yang menghantui hidup mereka.
Ada perkara yang kita lakukan walaupun sepatutnya tidak menimbulkan rasa kurang senang, akan menjadi perbuatan yang mampu membuatkan kita dibebani rasa bersalah, yang ada masanya boleh bertukar menjadi penyesalan.
Ada lima perkara normal yang sepatutnya tidak menjadi isu pada pandangan penulis jika dilakukan, tetapi sering menyebabkan ramai di luar sana rasa tertekan - walaupun sebenarnya apa yang kita lakukan itu benar-benar halal atau boleh kita lakukan.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Guna duit besar bayar barang murah
Pernah tak anda ke kedai nak beli satu barang saja, tetapi disebabkan dalam dompet ada not RM50 atau RM100 - anda ambil barangan tambahan yang tak dirancang pun untuk membelinya?
Kami yakin ramai di sana mempunyai perasaan sama apabila berhadapan situasi sebegini, apatah lagi apabila melibatkan peniaga tepi jalan seperti gerai kuih atau makanan ringan. Beli kuih RM2, bayar dengan RM50. Mulalah rasa bersalah.
Kemudian makcik kuih itu bersusah payah pergi tanya gerai-gerai sebelah ada tak duit tukar. Kita pun mula terdetik simpati, rasa menyesal tak ambil kuih lebih kerana menyusahkan dia.
Bagus jika anda ada rasa simpati itu. Dalam masa yang sama, peniaga juga haruslah berusaha menyediakan wang tukar kerana apabila peniaga ni tak sediakan duit tukar, menunjukkan seolah-olah dia tak bersedia dan tak serius meniaga.
2. Mintak kupon lambat hantar pizza masa hari hujan
Ada ketika hujan lebat, rasa malas nak masak atau keluar beli makanan menjelma jadi penulis gemar memesan pizza.
Bila nak buat pesanan tu, terfikir jugalah rasa kesian kepada rider delivery pizza perlu menempuh hujan. Apa agaknya perasaan dia terpaksa meredah hujan lebat, hanya kerana nak menghantar makan malam kita?
Disebabkan hujan lebat jugalah penghantar tadi sampai lambat, melebihi masa yang dijanjikan.
Dengan basah kuyup dan tangan terketar-ketar, dia menghulurkan pizza sambil memohon maaf. Kita pun dengan muka 'segan tapi mahu' tanya pada dia "bang, sampai lambat ni. Kupon pizza percuma ada dapat kan?"
Kalau tak tanya, tak dapat kupon. Tanya, diserang rasa bersalah bertalu-talu. Seolah-olah kita tak ada rasa malu walaupun kita tahu dia tak rugi pun bila perlu serahkan kupon.
3. Minta duit sewa rumah atau minta hutang
Salah satu perbuatan betul yang ramai orang segan-segan nak buat adalah minta hutang. Lagilah kalau hutang kita tu melibatkan orang yang susah.
Ada kenalan penulis setiap kali tiba awal bulan dia runsing, kerana diserang rasa segan nak minta sewa dari penyewa rumah dia - sepasang suami isteri agak berusia dengan pendapatan tak berapa tinggi.
Lebih memburukkan keadaan, penyewa dia tu jenis penyewa yang memang tuan rumah kena minta barulah duit akan dikeluarkan. Bab minta duit ni, memang payah kan?
Ada kawan-kawan kita bila dia susah, kita tolong. Tetapi bab nak membayarnya tu, liat sungguh! Kita nak minta pun segan, manalah tahu dia masih dalam kesusahan.
Tetapi pinjam dah dekat lebih setahun. Gambar-gambar bercuti dengan keluarga, dia dah muat naik ke media sosial. Rajin pula tayang telefon baru tukar. Yang memberi pinjam pening macam mana nak minta duit hutang semula, rasa susah hati takut cara meminta tu boleh jadi terkasar bahasa.
4. Tak beli barang dari penjaja
Kadang-kadang bila penulis makan di kedai, datanglah kanak-kanak atau makcik-makcik tua menjual keropok, makanan ringan dan sebagainya.
Ada masa apa yang mereka jual tu menarik. Ada masanya juga barangan yang mereka pikul tu tak berapa menawan hati. Jadi kita pun terpaksalah mengangkat tangan menyampaikan isyarat 'tak apalah, terima kasih' kepada mereka yang hadir.
Mereka pun beredar dari meja kita, mencuba nasib dari satu meja ke satu meja lain. Semua dengan hasil serupa yang menghasilkan muka sedih serta kecewa.
Rasa kesian dan simpati mula terdetik di hati, kita mula diserang bermacam persoalan sendiri yang mempertikaikan apa yang telah kita lakukan sebelum tu.
Nak elak rasa bersalah, kita pun panggil semula makcik atau kanak-kanak tadi beli satu barangan yang mereka jual dan bawa pulang. 3 bulan kemudian, barangan yang kita beli itupun kita buang kerana tak pernah berusik pun, disebabkan kita membeli bukan kerana ada keperluan.
Siapa pernah buat macam ni?
5. Tak nak buat kerja sukarelawan
Zaman sekarang zaman media sosial. Ramai sungguh orang berlumba-lumba nak tunjuk kerja-kerja amal yang mereka lakukan.
Anda tahu tak apa kesan perkongsian anda kepada ramai orang di luar sana? Mereka yang terlebih sensitif macam penulis ni, akan mula merasa diri sendiri lemah, tak cukup membantu, tak cukup ringan tangan dalam melakukan kerja-kerja sukarelawan seperti anda. Serius lah ni.
Anda mungkin merasakan perkongsian anda memberikan inspirasi kepada orang lain tetapi penulis yakin, kesan sebaliknya yang kerap berlaku. Lebih ramai orang akan menilai diri sendiri sebagai tidak lengkap, hanya kerana ramai tak terdaya melakukan kerja sukarelawan.
Realitinya, tanggungjawab dan beban hidup setiap orang berbeza-beza.
Ada orang yang dapat menggunakan masanya untuk membantu orang lain disebabkan komitmennya yang lebih rendah, sementara ada orang yang komitmennya harus difokuskan dalam urusan peribadi atau keluarga.
Lagipun, semua kerja itu kerja SUKARELA. Jadi kenapalah bila kita tak dapat sertai gerak kerja sukarelawan ni, seolah-olah ada mata yang menilai pilihan kita pula.
Ada juga yang giat sangat sukarelanya, boleh pula memandang rendah orang yang tak nak buat kerja-kerja macam dia. Golongan sebegini memang senang saja nak cam.
Dia selalu rajin ajak kawan-kawan turun padang, bantu orang ramai sebagai sukarelawan. Bila kawan-kawan dia tak nak datang, dia boleh pula tarik muka masam dan meluahkan rasa kekecewaan kenapa ajakan dia tak dapat sambutan.