artis selebriti malaysia yang bersekolah di asrama penuh

Walaupun zaman sudah berubah, alumni sekolah berasrama penuh terus mempunyai reputasi yang baik di kalangan ahli masyarakat kita. 

Tradisi sekolah asrama yang berorientasikan akhlak, kepimpinan dan pendidikan dipercayai mampu melahirkan individu-individu berktrampilan tinggi dalam masyarakat, sehingga ramai yang bergelar tokoh korporat, ahli politik dan pemimpin masyarakat disegani. 

Namun, jarang sekali kredibiliti pendidikan sekolah berasrama penuh atau sekolah berprestasi tinggi dikaitkan dengan usaha melahirkan ikon dalam industri hiburan. Bilangan ini kecil, tetapi setakat ini lima nama inilah yang diakui paling berjaya mempengaruhi industri hiburan kita.

1. Neelofa

neelofa mrsm langkawi

Noor Neelofa Mohd. Noor mula dikenali ramai selepas memenangi pertandingan Dewi Remaja yang seringkali melahirkan nama-nama besar dalam industri hiburan kita. 

Beliau memulakan kerjaya anak seni sebagai seorang pelakon, pengacara serta terpilih menjadi duta produk sebelum memperkembangkan kemahirannya dalam bidang perniagaan dengan membuka empayar perniagaan pakaian muslimah.

Apa yang dikecapi oleh Neelofa ketika ini bertitik tolak daripada kesungguhan beliau belajar, memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR yang melayakkan beliau diterima masuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi. 

Neelofa kekal cemerlang dalam PMR dan SPM seterusnya menyambung pengajian dalam bidang perniagaan antarabangsa.

Pada bulan Januari tahun 2020, Neelofa ada mengeluarkan video istimewa berkongsikan gambar serta kenangannya di MRSM Langkawi, membuktikan remaja perempuan pada usia belasan tahun memang nampak selebet sahaja.

2. Janna Nick

janna nick mrsm pendang

Sekiranya anda ke daerah Pendang, Kedah anda akan disajikan dengan pemandangan sawah padi yang luas terbentang. Jadi agak mengejutkan jugalah bagaimana kawasan yang damai sebegitu mampu membentuk pelakon terkenal Janna Nick, yang cukup sinonim dengan imej lincahnya.

Kami tidak tahu apa sebabnya beliau sering berpindah randah sekolah sejak kecil lagi, memulakan pendidikan di SK Marian Convent di Ipoh, Perak, sebelum ke SK Sentul. Dia berpindah ke negeri kelahirannya Kedah Darul Aman memasuki SK Darul Aman sebelum mula bersekolah menengah di SMK Sungai Pasir, Sungai Petani.

Keputusan baik dalam peperiksaan membolehkan dia layak diterima masuk ke MRSM Pendang, tetapi Janna tidak menamatkan persekolahan di situ berpindah ke Sekolah Convent Bukit Nanas, seterusnya ke SMK Danau Kota di mana dia mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM.

3. Kumpulan Saujana

kumpulan saujana smap kajang

Era kegemilangan kumpulan nasyid mungkin sudah tidak sehebat dahulu, namun nama-nama mereka yang terlibat mempopularkan lagu-lagu berunsur dakwah dan ketuhanan terus mekar di hati rakyat Malaysia. 

Salah satu kumpulan yang dahulunya meniti di bibir remaja belasan tahun pada dekad penghujung 1990-an adalah kumpulan Saujana, yang cukup popular dengan lagu mereka. Kesemua anggota asal kumpulan ini adalah pelajar dari Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang atau SMAPK.

Ditubuhkan hasil inisiatif beberapa orang tenaga pengajar yang mahu melahirkan generasi kumpulan nasyid pelapisa bagi setiap tahun kumpulan pelajar di SMAPK di bawah label 'All For Ummah', kelima-lima anggota Saujana yang dibentuk daripada projek tersebut menjadi kumpulan paling berjaya.

Saujana berjaya merakamkan album pertama mereka semasa masih di bangku sekolah, menerbitkan lagu klasik 'Keluarga Bahagia' dan 'Sepohon Kayu' yang terus klasik sehingga kini walaupun sudah lebih 23 tahun diterbitkan.

4. Butterfingers

buteerfingers mckk muzik

Hobi untuk bermain muzik merupakan satu minat yang biasanya kurang digemari generasi lebih tua, khasnya ibu bapa dan guru. Tetapi kumpulan legenda Butterfingers memecah stigma ini dengan membuktikan pelajar sekolah asrama penuh pun boleh main lagu rock.

Tiga orang anggota asal iaitu Loque, Kadak dan Kalai merupakan teman persekolahan di Kolej cMelayu Kuala Kangsar yang seringkali melampiaskan nafsu muzik mereka bersama-sama. Di bawah label kugiran Loque's Tail, ketiga-tiga mereka cuba untuk menghasilkan karya sendiri sambil berlatih muzik setiap kali dibenarkan keluar asrama.

Mereka mula aktif sejak tingkatan 2, memberanikan diri menjemput rakan-rakan untuk penonton hadir ke studio di Kuala Kangsar bagi memeriahkan suasana. Bermula daripada hobi, pengaruh Butterfingers akhirnya mengubah industri muzik negara dan impak yang mereka bawa, masih terasa.

Terima kasih warden kerana membenarkan mereka outing.

5. Malique 

malique too phat puitis

Malique merupakan antara nama dalam industri hiburan kita yang cukup misteri. Dia merasai kemuncak kerjaya bersama Joe Flizzow dalam kumpulan Too Phat, yang dikatakan bertanggungjawab mempopularkan irama hip hop anak tempatan kepada pasaran kita.

Waktu formatif Malique bermula dengan pencapaian baik dalam peperiksaan UPSR pada tahun 1989, yang melayakkan dirinya masuk ke Sekolah Alam Shah di Cheras, Kuala Lumpur. Bagaimanapun, Malique hanya menamatkan dua tahun di situ sebelum menyambung pendidikan di MRSM Taiping pada tahun 1993.

Sejak kecil, Malique sudah mula mengasah bakat dalam bidang penceritaan, bijak memainkan seni kata dalam tulisan serta gemar menyampaikan mesej tersirat dalam kisah yang digarapnya. 

Apa yang unik, Malique menjadi antara kumpulan karyawan kecil yang keras menggunakan bahasa baku dalam seninya. Kini dia lebih selesa berada di belakang tabir, terus menghasilkan banyak lagu popular yang dinyanyikan artis-artis lain.

 



Hakcipta iluminasi.com (2017)