Umum mengetahui Jepun merupakan antara negara yang sangat maju dan inovatif. Banyak produk dan item dari negara matahari terbit ini membuatkan anda terpukau dan terfikir seorang diri. Mereka bukan sahaja mampu mencipta produk yang sangat berguna untuk masyarakat, malah ada di antara ciptaan mereka terlalu eksklusif dan hanya ada di Jepun sahaja.
Sambungan daripada 14 Ciptaan Hebat Jepun Yang Patut Ada Di Seluruh Dunia (Bahagian 1), iluminasi.com ingin berkongsi dengan anda 10 ciptaan yang hanya ada di Jepun dan patut ada di seluruh dunia.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Helmet berlubang
Bagi wanita atau jejaka yang selalu mengikat rambut sudah tentulah ia menjadi sesuatu yang sukar bagi mereka untuk memakai helmet yang biasanya tidak mempunyai lubang. Mereka terpaksa membuka ikatan rambut mereka untuk memakai helmet. Dengan helmet yang diciptakan mempunyai lubang ini dapat menyelesaikan masalah ini.
2. Kusyen untuk bekerja sambil baring
Jika anda selalu menggunakan laptop, tentunya kadang-kadang anda akan berasa malas untuk membuat kerja di meja, sebaliknya lebih suka baring. Namun, anda mendapati agak sukar untuk menaip jika berada dalam keadaan baring dan jika berbaring dalam jangka masa yang panjang, anda akan mula rasa tak selesa. Produk ini dapat memudahkan mereka yang suka bekerja dalam keadaan baring! Memang wajib ada satu di rumah.
3. Kaca mata hitam untuk anjing / kucing
Seperti manusia, mata haiwan peliharaan terutama anjing juga terdedah kepada cahaya matahari dan ia menyebabkan mereka berasa tidak selesa. Maka, orang Jepun telah mencipta kacamata hitam khas untuk haiwan ini. Agak pelik pada mulanya, tetapi ia masuk akal kerana mereka juga perlukan ciptaan ini apabila dibawa keluar berjalan-jalan pada hari yang terik.
4. Mikrofon karaoke ber-earphone
Antara yang paling akan mendapat sambutan jika produk ini ada di Malaysia. Disebabkan rakyat Malaysia suka menyanyi dan banyak pertandingan dan program realiti nyanyian, penulis dapat bayangkan orang ramai akan menggunakan produk ini di merata tempat, seperti kedai mamak, stesen lrt dan juga di pejabat. Produk ini menawarkan kemudahan untuk berkaraoke tanpa mengganggu orang sekeliling, lebih-lebih jika suara anda bak katak panggil hujan. Penulis pun nak beli kalau ada di Malaysia.
5. Sinki dan tangki pam jamban
Bagi mereka yang sangat mementingkan penjimatan, ciptaan ini sesuai bagi anda. Produk ini dicipta hasil gabungan sinki dan juga tangki takungan air pagi mengepam tandas. Air yang digunakan untuk mencuci tangan tidaklah menjadi kotor dan boleh diguna pakai untuk mengepam tandas anda selepas selesai urusan "bisnes" anda. Sangat pratikal!
6. Pasaraya Automatik
Jepun memang terkenal dengan teknologi robotnya. Sehinggakan mereka nak gantikan apa sahaja yang boleh digantikan dengan robot. Kali ini giliran pasaraya, yang langsung tidak mempunyai pembantu manusia, hanya dikendalikam oleh robot. Bagi mereka yang pemalu dan tidak sukakan gangguan daripada promoter, pasaraya ini sesuai bagi anda!
7. Pelapik burger berwajah
Di Jepun, tidak ramai orang yang akan memesan burger kerana kalau nak makan burger, anda perlu membuka mulut dengan luas dan ini agak memalukan bagi mereka lebih-lebih lagi wanita. Pengusaha restoran makanan segera yang menyedari situasi ini telah mencipta pembalut burger yang dapat menyembunyikan wajah anda ketika makan burger dengan mencetak rupa orang lain pada pembalut burger tersebut. Bijak!
8. Pelapik lantai serbaguna
Jepun memang terkenal dengan perabot yang ringkas dan suka beraktiviti di atas lantai. Antaranya seperti tidur, makan dan sebagainya. Dan kerana itulah terhasilnya pelapik lantai yang boleh dijadikan karpet, kerusi dan juga meja kecil untuk diletakkan laptop atau minuman. Simple tapi best!
9. Parkir payung
Hari hujan tidak lagi memeningkan kepala anda dengan tempat parkir payung yang disediakan di kebanyakan bangunan pejabat di Jepun. Apabila hujan sudah berhenti, pastinya anda tercari di manakah tempatnya untuk anda menyimpan payung, kerana membawanya ke setiap tempat yang anda pergi sangat menyusahkan.
10. Minuman tin mudah dibuka
Banyak kali juga anda perlu mencuba untuk membuka minuman tin kerana mempunyai kuku yang pendek, tetapi dengan inovasi ini, hanya sekali cubaan sudah mencukupi. Kanak-kanak juga tidak lagi perlu meminta pertolongan orang dewasa untuk membukanya. Walaupun ia hanya satu perubahan dan inovasi yang kecil tetapi mampu memberi impak yang cukup besar.
Bila nak masuk Malaysia produk-produk ni?