University adalah institusi pendidikan tinggi yang dibina bertujuan sebagai pusat ilmu. Institusi ini bukanlah sebuah idea yang baharu, malah telah ditubuhkan lebih awal daripada kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.. Universiti di dalam senarai di bawah adalah berdasarkan rekod sejarah, namun penulis percaya bahawa terdapat pusat pendidikan yang telah ditubuhkan lebih awal daripada yang ada dalam senarai ini, namun mungkin rekod kewujudan dan infrastrukturnya telah hilang ditelan zaman. Apapun, teruskan membaca.
10. Universidad de Salamanca (1218)
BESARKAN TEKS A- A+
Ditubuhkan pada 1218, universiti ini memperoleh nama rasminya pada 1225. Universiti of Salamanca dibina oleh raja Sepanyol iaitu King Alfonso IX sebagai institusi pendidikan untuk masyarakat Leon, tanpa perlu berpindah ke bandar lain bagi tujuan itu. Hari ini, universiti ini terkenal dengan jurusan bahasa dan kemanusiaan. Sebelum melakukan penjelajahan ke benua Amerika, pernah Christopher Columbus bertemu dengan wakil daripada jabatan geografi institusi ini bagi berbincang tentang penjelajahan beliau.
Negara: Sepanyol
9. University of Cambridge (1209)
Secara konsisten dinobatkan sebagai antara universiti terbaik dunia, University of Cambridge adalah institusi pendidikan kedua tertua antara negara-negara Inggeris. Universiti ini dibina disebabkan wujudnya ketegangan antara ilmuan di University of Oxford dengan masyarakat di bandar berkenaan. Universiti ini berjaya menghasilkan seramai 85 orang pemegang anugerah Nobel Prize. Antara yang terkenal dalam kalangan mereka ini adalah Ernest Rutherford dan Niels Bohr.
Negara: England
8. Université de Montpellier (1150)
Ada yang mengatakan bahawa institusi ini adalah lebih tua daripada tarikh penubuhan yang dinyatakan di atas. Namun, ianya tidak dapat dibuktikan dengan jelas. Universiti ini pernah ditutup ketika Revolusi Perancis pada 1793, dan dibuka semula pada tahun 1810. Kebanyakan fakulti telah musnah ketika berlakunya revolusi berkenaan. Universiti ini telah 'diasaskan semula' pada tahun 1969 dengan fokus utama terhadap bidang sains dan teknologi. Hari ini, universiti ini terdiri daripada 3 bentuk, iaitu University of Montpellier1, University of Montpellier2 dan Paul Valéry University.
Negara: Perancis
7. University of Oxford (1096)
Terdapat pendapat yang mengatakan bahawa universiti ini ditubuhkan daripada tarikh yang dinyatakan di atas, namun tidak disokong oleh bukti fizikal. Bukti fizikal menunjukkan bahawa institusi ini diasaskan pada tahun 1096. Apabila raja England Henry II melarang pelajar daripada negara itu untuk menuntut di University of Paris, ramai pelajar tempatan mula mendaftar di University of Oxford. Universiti ini pernah dua kali ditutup, pertama ketika hukuman terhadap 2 orang ilmuannya, sekali lagi ketika rusuhan Scholastic pada tahun 1355. Universiti ternama dunia ini berjaya menghasilkan seramai 58 orang pemegang anugerah Nobel Prize.
Negara: England
6. Université de Paris (1096)
Tarikh sebenar ianya diasaskan tidak dapat ditentukan, namun umum menerima tahun 1096 sebagai tahun University of Paris ditubuhkan. Universiti ini mempunyai empat buah fakulti, iaitu sastera, perubatan, undang-undang dan teologi. Sepanjang kewujudannya, universiti ini telah ditutup sebanyak tiga kali, pertama pada tahun 1229 namun sebabnya tidak diketahui. Kedua ketika serangan tentera Nazi pada tahun 1940 semasa Perang Dunia ke-2, dan kali ketiga pada tahun 1968 ketika Revolusi Kebudayaan (Cultural Revolution) oleh para pelajar.
Negara: Perancis
5. University of Bologna (1088)
Institusi pendidikan tinggi ini adalah antara institut yang mengetuai ilmu pembelajaran dalam dunia Barat sehinggalah berlakunya perang dunia. Ianya juga adalah antara universiti paling terkemuka di Itali, kerap kali menduduki tangga pertama di peringkat kebangsaan. Hari ini, Bologna dilihat sebagai contoh yang baik dalam sistem pendidikan Eropah, dan sentiasa berada dalam senarai 200 universiti terbaik dunia.
Negara: Itali
4. Al Nizamiyya Of Baghdad (1065)
Diasaskan oleh Khwaja Nizam al-Mulk pada awal kurun ke-11, institusi ini adalah antara salah satu institut pendidikan yang ditubuhkan oleh beliau. Universiti ini berjaya menarik ramai individu berpengetahun pada waktu itu untuk datang belajar dan berkongsi ilmu dengan mengajar. Antara yang terkenal dalam kalangan mereka termasuklah Imam Al-Ghazali. Pendidikan di sini adalah percuma dan terbuka kepada semua tanpa mengambil kira latar belakang. Namun, institusi ini tidak kekal ke hari ini seperti universiti dalam senarai ini. Pengakhirannya berlaku ketika serangan ke atas Baghdad oleh tentera Mongol pada tahun 1258.
Negara: Iraq
3. Al-Azhar University (antara 970-972)
Universiti kedua tertua dalam dunia Islam, universiti ini masih beroperasi sehingga ke hari ini, dan ramai rakyat Malaysia turut tidak ketinggalan untuk menuntut di sana. Institusi ini bermula sebagai pusat pengajian sastera Arab, pengajian Sunnah Islam, dan lain-lain subjek keagamaan Islam. Universiti ini diasaskan oleh empayar Fatimid yang memerintah di Mesir, di mana pemerintah dinasti ini mempunyai pertalian darah dengan Nabi Muhammad S.A.W.. Namanya pula diambil sebagai penghormatan kepada anak baginda Fatimah Al-Zahara.
Negara: Mesir
2. University of Al-Karaouine (859)
Universiti kedua tertua di dunia ini adalah antara salah sebuah universiti dalam senarai ini yang masih beroperasi sehingga ke hari ini. Institusi ini diasaskan oleh seorang wanita yang bernama Fatima al-Fihri, yang merupakan anak kepada seorang hartawan. Bermula sebagai sebuah masjid, ianya mula berkembang menjadi sebuah institusi pendidikan yang terbesar di Afrika. Ketika awal penubuhannya, universiti ini hanya menawarkan subjek sains semula jadi kepada para pelajarnya. Sejak tahun 1957, jurusan-jurusan sains lain mula ditambah ke dalam portfolio universiti.
Negara: Morocco
1. Nalanda University (600 BC)
Universiti ini jelas memenangi takhta kedudukan universiti tertua dunia antara yang ada dalam senarai ini. Institusi ini juga adalah satu-satunya universiti dalam senarai ini yang diasaskan sebelum kelahiran Nabi Isa A.S.. Kewujudannya menunjukkan contoh kuat bagaimana budaya India mempengaruhi kepentingan ilmu pada masa lalu. Ramai pelajar dari Babylon, Greece, Syria dan China turut datang ke universiti ini bagi mendapatkan ilmu, antaranya termasuklah dalam bidang Vedas, bahasa, falsafah, perubatan, pembedahan dan lain-lain. Lipatan sejarah memaparkan bagaimana universiti ini telah melalui 3 kali kehancuran, namun dibina semula setiap kali diserang.
Negara: India
Rujukan: