Penguasaan haiwan jantan merupakan perkara normal di dalam alam haiwan. Mereka biasanya memburu, mempertahankan wilayah dan juga menjaga kawanan spesies mereka sendiri.
Namun, terdapat beberapa spesies di mana haiwan betina memainkan peranan penting dan menggalas tugas yang biasanya dilakukan oleh haiwan jantan. Berikut adalah senarai haiwan di mana betina adalah lebih dominan dan menjadi ketua.
BESARKAN TEKS A- A+
10. Antelope Topi
Haiwan jantan daripada spesies tapak berkuku biasanya terkenal dalam mengejar pasangan berlawanan jenis. Namun begitu, bagi antelope Topi dari Afrika ini, haiwan betinanya yang biasa mengejar jantan untuk aktiviti seksual semasa musim mengawan.
Musim mengawan spesies ini biasanya berlaku selama sehari sahaja dalam setahun membuatkan persaingan adakalanya menjadi sengit. Walau bagaimanapun, spesies jantan antelope Topi ini masih menguasai faktor lain seperti kekuasaan wilayah dan berburu.
Kajian Institut Zoologi London mendapati tempoh mengawan yang singkat ini menjadi punca mengapa antelope Topi betina begitu memilih pasangan jantan yang lebih dominan sehingga sanggup mengganggu proses mengawan pasangan lain. (sumber #1, #2)
9. Naked Mole Rat
Spesies tikus yang tidak berbulu yang tinggal di dalam tanah ini hidup dalam koloni dan dipimpin oleh spesies betina. Ia banyak terdapat di kawasan tanah lapang di Ethopia, Somalia dan Kenya.
Peranan Naked Mole Rat betina adalah sama seperti koloni anai-anai atau lebah, di mana hanya ratu sahaja yang menjadi sumber pembiakan. Mana-mana betina lain di dalam koloni yang sama tidak dibenarkan berbuat demikian, jika tidak mereka akan menerima padah diserang.
Ratu Naked Mole Rat ini pula hanya mengawan dengan beberapa jantan pilihan sahaja. Spesies haiwan betina ini mempunyai tulang belakang yang istimewa di mana ia akan menjadikan Ratu itu lebih besar dan berat sama seperti ratu anai-anai.
Ratu yang mengawan boleh mencecah berat 53 gram, manakala spesies betina biasa cuma seberat 32 gram. Apa yang mengejutkan, penguasaan ratu di dalam koloni membuatkan spesies jantan dan betina yang tidak terlibat dalam pembiakan memiliki kadar testosteron yang rendah dan terkekang.
Kajian mendapati apabila ratu dialih keluar dari koloninya atau mati, hormon seksual mereka yang lain akan melonjak naik seperti biasa semula. (sumber #1, #2)
8. Burung kedidi
Terdapat 3 spesies burung kedidi yang mendiami kawasan persisir pantai di mana kaki mereka berevolusi seakan pengayuh untuk berenang di dalam air. Spesies betina haiwan ini mempunyai peranan yang berlawanan dengan spesies burung lain di mana mereka lebih besar, cantik dan lebih berpengaruh.
Betina dari 3 spesies burung kedidi biasanya akan bertarung dengan lawannya bagi memenangi spesies jantan yang diinginkan. Spesies betina biasanya akan mengawan dengan beberapa ekor jantan sehingga 4 ekor jumlahnya.
Setelah selesai bertelur, ia akan membiarkan spesies jantan yang mengambil alih tugas untuk mengeram telur. Spesies burung kedidi Wilson hanya terdapat di America dan mendiami kawasan air tawar manakala 2 spesies yang lainnya mendiami kawasan pesisir pantai. (sumber #1, #2)
7. Burung pemangsa
Sentiasa dilihat sebagai bangsawan spesies burung di kebanyakan tempat, spesies burung pemangsa yang menjadikan burung lain sebagai mangsa seperti burung hering dan helang biasanya dikuasai oleh jenis betina yang lebih besar dan gagah.
Disebabkan saiz betina lebih besar, mereka yang banyak melakukan pemburuan dan ini menyebabkan spesies jantan berevolusi menjadi lebih kecil dan kurang agresif dalam memburu berbanding betina.
Ahli biologis berpendapat disebabkan perbezaan ini, aktiviti memburu juga berbeza mengikut saiz dan jumlah mangsa. Spesies jantan yang lebih kecil biasanya akan memburu mangsa yang lebih kecil dan lincah manakala betina pula akan memburu mangsa yang lebih besar dan bahaya. (sumber #1, #2)
6. Sotong kurita
Mengawan mungkin dinikmati oleh sesetengah haiwan namun tidak bagi sotong kurita jantan. Mereka menghadapi cabaran apabila mengawan dengan spesies betina yang lebih kuat dan agresif. Ini kerana diketahui bahawa spesies betina haiwan ini biasanya memakan spesies jantan sebagai sumber makanan tambahan setelah selesai mendapatkan sperma.
Namun, aktiviti mengawan haiwan ini tidaklah seperti yang dibayangkan dan sedikit unik, membuatkan spesies jantan mempunyai peratusan untuk selamat daripada dimakan spesies betina yang lapar ketika mengawan.
Melalui evolusi, spesies jantan yang lebih kecil biasanya mempunyai sesungut mengawan yang lebih panjang dan dikenali sebagai hectocotylus, dimana ia boleh diceraikan dan berenang dengan sendiri dan membawa sperma ke arah betina yang biasanya 3 atau 4 kali ganda besar.
Semasa persenyawaan, spesies betina akan membina lapisan berkapur yang berfungsi seperti kulit telur, di mana sebahagiannya dipenuhi udara dan berbentuk seperti cengkerang. (sumber #1, #2, #3)
5. Nyamuk
Serangga yang menjadi musuh semulajadi dan mempunyai reputasi buruk di kalangan manusia ini juga didominasi oleh betina. Hanya nyamuk betina yang menggigit dan menghisap darah. Spesies betina yang sering dikaitkan dengan penyakit berbahaya hingga menyebab kematian ini mempunyai alasan mengapa mereka menghisap darah.
Serangga ini samada jantan atau betina, mereka menjadikan nektar bunga sebagai makanan. Namun, spesies betina memerlukan darah adalah bertujuan untuk proses pembiakan sahaja.
Ini kerana darah mengandungi protein dan asid amino yang diperlukan nyamuk untuk menghasilkan telur yang sihat. Telur itu kemudiannya akan menetas di dalam air menjadi jentik-jentik dan juga sumber makanan yang penting kepada ekosistem haiwan dalam air.
Nyamuk betina juga diketahui akan memberi isyarat dengan menghasilkan bunyi dari organ sayapnya dan memilih pasangan jantan yang sesuai untuk aktiviti mengawan. (sumber #1, #2)
4. Orca
Ikan Paus Pembunuh atau Orca merupakan spesies ikan dolphin paling kuat dan berbahaya dalam dunia. Mereka bergerak dan memburu dalam kawanan di lautan. Ramai yang mungkin terkejut kerana kawanan ikan ini diketuai oleh spesies betina.
Dengan budaya, tingkah laku dan komunikasi yang kompleks, Orca mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran, berburu jarak jauh dan juga menjaga anak kecil mereka. Orca betina yang dominan bertanggungjawab dalam mencari mangsa dan mengajar anak mereka berburu.
Dalam penemuan yang diterbitkan oleh Current Biology, Orca betina berhenti melahirkan anak sekitar umur 40 tahun dan boleh hidup selama 90 tahun. Orca betina yang berusia 35 tahun ke atas mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk memimpin kumpulan berbanding betina muda atau Orca jantan. (sumber #1, #2, #3)
3. Hyena Bertompok
Hyena Bertompok merupakan spesies mamalia yang mempunyai gigitan paling kuat sekali. Spesies betina haiwan ini lebih besar, kuar dan dominan. Hyena Bertompok juga merupakan spesies hyena yang terbesar dan mendiami kawasan di Sahara Afrika.
Spesies ini dikenali sebagai pemangsa yang hebat dan akan memakan keseluruhan mangsa termasuk tulang. Biasanya hyena betina yang lebih besar akan mengetuai kumpulan yang mempunyai jumlah purata sebanyak 100 ekor.
Apa yang menarik mengenai Hyena Bertompok ini adalah alat sulit spesies betina berevolusi dan kelihatan besar seakan alat sulit spesies jantan yang digelar "pseudopenis". Ia juga mampu bereraksi dan mempunyai sokongan zakar, pada masa yang sama mengalami proses kelahiran melaluinya. (sumber #1, #2)
2. Mentadak
Serangga yang mempunyai rupa bentuk seperti makhluk asing ini juga merupakan pemangsa yang hebat di dalam dunia serangga. Sesetengah spesies mentadak seperti Mentadak China, mentadak betina akan memakan mentadak jantan setelah mengawan.
Proses memakan lawan jenis ini akan memberikan daya pembiakan dan kesuburan yang tinggi kepada mentadak betina. Kajian yang dibuat oleh Royal Society B mendapati 63% dari diet Mentadak China betina semasa proses pembiakan adalah hasil daripada memakan mendatak jantan.
Kajian turut mendapati setelah memakan mentadak jantan, Mentadak China betina akan menghasilkan 50 biji telur yang lebih daripada keadaan biasa. Walaupun dilihat sebagai kekurangan kepada mentadak jantan, namun jika dilihat kepada penghasilan telur, ia sebenarnya mempunyai peratusan tinggi untuk menjadi seimbang. (sumber)
1. Cerpelai Kerdil
Haiwan yang dikagumi kerana kebolehan mereka mengalahkan ular ini merupakan spesies haiwan karnivor. Salah satu spesies paling kecil dalam keluarga haiwan dikenali sebagai Cerpelai Kerdil yang mendiami kawasan Sahara Afrika.
Haiwan yang biasanya hidup dalam kawanan di antara 12 hingga 15 ekor ini diketuai oleh spesies betina yang juga sama seperti Naked Mole Rat, di mana hanya ratu sahaja yang dibenarkan mengawan dan membiak.
Spesies betina selain ratu tidak dibenarkan membiak tetapi boleh membantu dalam membesarkan anak-anak yang dilahirkan ratu. Jika spesies betina selain ratu melahirkan anak, anak mereka akan dibunuh untuk menjaga hirarki sosial.
Cerpelai Kerdil ini juga mempunyai spesies jantan yang dominan tetapi hanya berfungsi sebagai penjaga pertahanan kawasan. Spesies jantan juga mempunyai pangkat yang lebih rendah berbanding ratu Cerpelai Kerdil ini. (sumber #1, #2)