Oleh pada 26 Nov 2019 kategori

Mungkin ramai orang yang masih kurang jelas atau tidak mempunyai sebarang idea tentang apa itu cult atau kultus kerana ia sememangnya sukar ditakrifkan. Definisi dari segi bahasa atau istilah sahaja mungkin cenderung untuk merangkumi skop yang terlalu luas atau terlalu sempit.

Apa yang lebih mengelirukan, tanggapan mengenai kultus berbeza-beza kerana ia adalah bersifat peribadi dan mengikut pendapat masing-masing. Disebabkan banyak kontroversi yang melanda, ramai ahli sosiologi yang enggan menggunakan istilah 'kultus' yang pejoratif.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sebaliknya, ahli sosiologi sering membicarakan tentang gerakan agama baru (new religious movements, "NRM") yang mencakupi ruang definisi yang lebih luas. NRM berpegang kepada kepercayaan yang lari daripada kebiasaan. Kumpulan ini sering membuat pelbagai tuntutan yang ketat terhadap kehidupan para pengikutnya seperti menyerahkan segala harta benda, kerjaya dan hubungan dengan keluarga agar dapat hidup dalam komuniti bersama pengikut lain.

Kebanyakan gerakan ini mempunyai pemimpin yang berkarisma tinggi, bersifat autoritarian dan dipercayai oleh pengikutnya mempunyai kuasa mukjizat tersendiri. Kebiasaannya, mereka akan membuat pelbagai ramalan berkaitan masa depan dan hari kiamat.

Kita akan terokai 10 antara kumpulan-kumpulan kultus paling terkenal di dunia. Mereka ini dikenali dan mendapat perhatian sama ada atas 'kejayaan' yang ditempa atau berakhir dengan pertumpahan darah yang menakutkan:

10. The Unification Church

The Unification Church pada mulanya dikenali sebagai Holy Spirit Association for the Unification of World Christianity. Ia diasaskan oleh Reverend Sun Myung Moon yang berasal dari Korea Utara.

Reverend Moon mendakwa telah menerima satu bayangan ketika berusia 16 tahun yang dia telah dipilih untuk menyempurnakan misi Christ di bumi. Menurut Moon, Christ telah disalib sebelum sempat menyelesaikan misi untuk berkahwin dan mempunyai zuriat yang sempurna. Sejak itu, Moon mula melihat dirinya sebagai Messiah.

pengasas kultus unification church

Disebabkan ajaran yang bertentangan dengan gereja Presbyteriannya, dia dikucilkan dan telah membangunkan gerejanya sendiri pada tahun 1950-an. Selaku Messiah, Moon mendakwa bahawa pengikutnya hanya boleh diselamatkan melalui kepatuhan kepadanya. Selepas tujuh tahun mengabdikan diri pada Moon, mereka akan mengahwini pasangan yang dipilih olehnya.

Kumpulan agama ini mula dikenali kerana mengadakan upacara perkahwinan besar-besaran di mana Moon mengetuai pernikahan seramai beratus-ratus pasangan pada satu-satu masa.

perkahwinan ratusan pasangan unification church

Pada tahun 70-an, dia memindahkan markas ke New York di mana dia telah berjaya menambah bilangan pengikut baru dan pada masa yang sama telah menimbulkan syak wasangka orang ramai. Kumpulan gerakan anti-kultus mula mendapatkan momentum ketika itu. Dengan bantuan ibu bapa para pengikut, mereka menculik dan "menyahprogram" anak-anak yang telah dibasuh otaknya.

Selain itu, mereka juga cuba untuk memfailkan saman ke atas Moon. Akhirnya, pada tahun 1982, Moon didapati bersalah atas kesalahan lari daripada membayar cukai. Kini, gerakannya itu dikenali sebagai The Family Federation for World Peace and Unification dan dilaporkan masih bergiat aktif. (Independent UK : What is the Unification Church)

9. Rajneeshpuram

Seorang guru dari India, Bhagwan Shree Rajneesh, mengambil pendekatan bukan tradisional dengan kegemarannya untuk berseronok-seronok di dunia. Dia dilaporkan memiliki 93 buah kereta Rolls Royce dan mempromosikan keseronokan hubungan seksual. Walaupun ideologi ini ditolak oleh majoriti masyarakat India, namun Rajneesh memiliki bilangan pengikut yang lebih ramai di Amerika Syarikat dan Eropah.

Dia memulakan jemaahnya di India sekitar tahun 1970-an dengan mendirikan sebuah markas di Pune pada tahun 1974. Namun begitu, dia telah menerima kecaman hebat, dia berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun 1981 dan telah membeli sebidang tanah di Oregon di mana para pengikutnya membina sebuah bandar sendiri yang dinamakan Rajneeshpuram.

bhagwan shree rajneesh pengasas rajneeshpuram

Seorang wanita bernama Ma Anand Sheela telah membantu dalam penubuhan dan pembinaan Rajneeshpuram lalu diangkat menjadi orang kanan Rajneesh. Lagipun Rajneesh tidak lagi menonjolkan diri untuk berdepan dengan orang ramai, maka Sheelalah yang mengambil alih operasi harian di bandar tersebut.

Pada tahun 1985, Rajneeshpuram mempunyai lebih daripada 2,500 orang penduduk tetapi telah wujud situasi tegang di situ kerana pada tahun sebelumnya, Sheela telah memulakan program "Kongsi Rumah" di mana mereka membawa masuk ribuan gelandangan ke bandar itu supaya dapat mendaftarkan diri mereka sebagai pengundi untuk mempengaruhi pilihan raya mahkamah Daerah Wasco. Walau bagaimanapun, percubaan mereka menemui kegagalan.

ma anand sheela rajneeshpuram

Sekitar masa yang sama, Sheela dan pemimpin-pemimpin lain komuniti itu telah merancang serangan bio-pengganas pertama dalam sejarah Amerika Syarikat dengan meracun makanan restoran di bandar besar Dalles, Oregon. Mereka telah berjaya meracuni 750 orang dalam usaha mengurangkan populasi pengundi.

Pada tahun 1985, Sheela dan para pemimpin bandar telah melarikan diri dan Rajneesh dihantar pulang ke India atas kesalahan penipuan imigresen. Walaupun dia telah meninggal pada tahun 1990, namun gerakan itu masih diteruskan. (The Conversation : I did research at Rajneeshpuram, and here is what I learned)

8. Children of God

Pada tahun 1960-an, selepas mendengar berita tentang aktiviti penempatan hippie yang besar di Huntington Beach, California, seorang paderi Kristian bernama David Berg berpindah ke sana untuk merekrut anak-anak muda di situ. Kerjanya menjadi mudah kerana mereka tertarik dengan pendekatan yang dibawa oleh Berg.

Pengikut-pengikutnya sanggup melepaskan pekerjaan dan menderma kesemua duit simpanan kepada kumpulan ini semata-mata agar dapat hidup bersama di rumah Berg. Mereka kemudian bersama-sama berpindah ke Arizona apabila Berg mendakwa menerima satu wahyu mengatakan California bakal diserang gempa bumi. Sejak itu, Berg mula digelar "Moses" dan kumpulannya pula dipanggil "The Children of God."

ahli kultus children of god

Pada awal-70an, gerakan ini telah merekrut lebih ramai anak muda di seluruh negara. Malah, mereka telah mula membangunkan pusat-pusat di seluruh dunia. Sehingga 1974, ia telah mempunyai lebih daripada 4,000 pengikut di 70 buah negara. Berg menyampaikan ajarannya dengan menulis beberapa siri surat kepada seluruh komuniti. Pada tahun 1978, dia telah menyusun semula organisasi dan menamakannya "The Family."

Walau bagaimanapun, gerakan anti-kultus di Amerika telah menyasarkan kumpulan the Children of God dan ramai ibu bapa kepada ahli yang direkrut telah menculik dan cuba memulihkan anak masing-masing. Isu yang paling menimbulkan kontroversi adalah pandangan progresif Berg terhadap hubungan intim. Dia mempromosikan hubungan seksual secara terbuka dan gemar bereksperimentasi. Ahli-ahli akan memulakan hubungan intim untuk menarik minat ahli baru. Pada penghujung 1980-an, selepas mengalami beberapa masalah berkenaan penyakit kelamin, kumpulan ini akhirnya tidak lagi menggunakan amalan ini.

Walaupun Berg menemui ajal pada tahun 1994, kumpulan yang kini dikenali sebagai "The Family International" ini masih bergiat aktif. (BBC : Children of God)

7. Movement for the Restoration of the Ten Commandments of God (MRTCG)

Diasaskan oleh empat orang bekas paderi Katolik, dua bekas biarawati dan seorang bekas pelacur, MRTCG di Uganda memberi penekanan kepada kepentingan Rukun Sepuluh. Para pemimpinnya yang mendapat bayangan melalui Virgin Mary begitu yakin bahawa Gereja Katolik Roman telah mengabaikan rukun tersebut.

pengasas kultus mrtcg uganda

Selain itu, pemimpin-pemimpin kumpulan ini juga dikhabarkan mendapat ramalan mengenai hari kiamat. Mereka telah meramalkan yang kiamat akan berlaku pada 31 Disember 1999. Jangkaan masa ini telah menyebabkan kesemua ahli berpusu-pusu menjual harta peribadi mereka.

Apabila hari kiamat tidak berlaku pada tarikh tersebut, para pemimpin tersebut segera mengubah ramalan dengan mengatakan yang Virgin Mary akan tiba pada 17 Mac 2000 untuk menyelamatkan golongan beriman serta membawa mereka ke syurga. Masih taksub dengan kepercayaan ini, para pengikut mengadakan pesta besar dan jamuan makan pada 16 Mac. Mereka mengorbankan beberapa ekor lembu malah membeli berkarton-karton minuman Coca-Cola.

movement for the restoration of the ten commandments of god tragedi kultus

Pada 17 Mac, pihak polis mendapati berlaku satu letupan yang menyebabkan kebakaran sehingga beratus-ratus nyawa terkorban. Walaupun siasatan awal menyangka yang ia merupakan suatu upacara bunuh diri beramai-ramai, namun bukti dan penemuan mayat di tapak lain telah mengesahkan bahawa ia sebenarnya adalah kes pembunuhan. Para pemimpin dikatakan telah membunuh para pengikut mereka dengan kejam kerana tidak dapat menjadikan ramalan mereka suatu kenyataan.

Walau bagaimanapun, sehingga kini, tidak dapat disahkan sama ada para pengasas itu turut membunuh diri sendiri atau melarikan diri ke luar negara. (NYTimes : Fateful Meeting Led to Founding of Cult in Uganda)

6. Aum Shinrikyo

Aum Shinrikyo ialah sebuah kultus Jepun yang mula ditubuhkan pada tahun 1987 oleh Master Asahara Shoko. Pada mulanya, Asahara hanya mengasaskan sebuah pusat yoga. Namun, selepas lawatannya ke India di mana dia bertemu dengan Dalai Lama dan menerima wahyu di Himalaya, dia mengubah nama pusat yoga tersebut kepada Aum Shinrikyo. Dari situ, dia mula menyebarkan ajaran dengan kombinasi Buddha, Hindu dan Kristian.

asahara pengasas aum shinrikyo

Asahara mula mendapat ramai pengikut setelah mendakwa dirinya merupakan jelmaan Tuhan dan telah menerima pelbagai sumbangan kewangan yang mengukuhkan kedudukan organisasi tersebut. Lama-kelamaan, kumpulan ini menjadi lebih radikal sehinggakan sesiapa yang menjadi pembelot akan menemui jalan yang penuh dengan seksaan.

Pada tahun 1995, kultus ini mempunyai sekitar 50,000 orang pengikut dan majoritinya adalah dari Rusia. Ketika ini, Asahara sudah membuat segala persiapan untuk berperang dan memulakan rancangan supaya Aum Shinrikyo dapat menggulingkan kerajaan.

Mereka cuba mengalih perhatian pihak polis daripada aktiviti kumpulan dengan menganjurkan satu serangan di kereta api bawah tanah Tokyo. Pada 20 Mac 1995, lima anggota kultus telah menaiki kereta api yang berlainan. Apabila tiba di Kasumigaseki, setiap daripada mereka meletakkan sebuah bungkusan yang telah dibalut dengan kertas surat khabar di bawah tempat duduk masing-masing.

gas sarin kultus aum shinrikyo

Kemudian, mereka menebuk lubang pada bungkusan tersebut menggunakan bucu payung dan segera melarikan diri apabila gas sarin mula meresap ke udara. Serangan ini telah mengorbankan 12 orang mangsa dan menyebabkan 5,500 yang lain terpaksa dikejarkan ke hospital.

Pihak berkuasa telah menjalankan siasatan dan menemui bukti yang menjurus kepada kumpulan ini. Akhirnya, kesemua pemimpin tertinggi telah berjaya diberkas sehingga menyebabkan organisasi terus lumpuh. (BBC : Aum Shinrikyo)

5. Order of the Solar Temple

Pada tahun 1984, Joseph Di Mambro dan Luc Jouret telah mengasaskan Order of the Solar Temple di Geneva. Ia merupakan salah satu kumpulan yang percaya bahawa mereka adalah Pahlawan Templar Zaman Pertengahan sebenar yang dibangkitkan.

Jouret mendakwa dia adalah Nabi Isa dan juga jelmaan salah seorang ahli pahlawan dari kurun ke-14. Selain itu, para pengasas ini meramalkan yang anak perempuan Di Mambro iaitu Emmanuelle akan 'mengangkat' kesemua pengikut ke sebuah planet yang mengelilingi bintang Sirius selepas kematian mereka.

order of the solar templar kultus

Order of the Solar Temple merupakan sebuah kultus yang taksub dengan hari kiamat. Di Mambro dan Jouret percaya bahawa dunia akan menemui kiamat pada pertengahan tahun 90-an. Walau bagaimanapun, kumpulan ini kehilangan beberapa orang ahli termasuk Emmanuelle sendiri selepas ramalan itu dibongkar dan didedahkan sebagai suatu penipuan.

Akhirnya, pada tahun 1994, kedua-dua pengasas itu benar-benar percaya bahawa hari kiamat begitu hampir dan sudah tiba masa untuk mereka berpindah ke planet baru. Untuk menaiki 'pesawat kerohanian' yang akan membawa mereka ke sana, seramai 53 orang telah membunuh diri sendiri atau dibunuh di Kanada dan Switzerland pada 4-5 Oktober 1994. Sisa bangunan yang turut dibakar di tempat kejadian telah menemukan mayat Di Mambro dan Jouret.

Tidak lama selepas itu, pihak berkuasa telah membuat beberapa siri pendedahan lain. Bukti menunjukkan yang Di Mambro telah membunuh seorang bayi yang dipercayai bakal menentang pihak Kristian. Selain itu, 16 orang pengikut lain ditemui mati di Perancis pada Disember 1995 dan lima lagi di Quebec pada Mac 1997. (Swissinfo : Order of the Solar Temple)

4. Branch Davidians

David Koresh atau nama sebenarnya, Vernon Howell dilahirkan pada tahun 1959. Dia merupakan ketua suatu aliran Kristian yang telah diusir dari Gereja Advent Hari Ketujuh ketika masih muda. Setelah itu, dia menyertai satu cabang lain yang digelar Branch Davidians. Di sini, David telah mempunyai hubungan sulit yang istimewa dengan pemimpin kumpulan iaitu Lois Roden yang kemudiannya telah menamakan David sebagai bakal pewaris takhta.

david koresh pemimpin branch davidians

Antara ajaran David yang menimbulkan kontroversi adalah doktrin "Wahyu Baru" yang mendakwa kesemua wanita (termasuk gadis bawah umur dan isteri orang) adalah isterinya secara rohani. Dia juga mengisytiharkan dirinya sebagai Al-Masih (Mesiah) dan mengumumkan bahawa hari kiamat akan berlaku pada bila-bila masa sahaja.

David berjaya mengumpulkan senjata api yang sangat banyak dan mula disyaki atas kesalahan penderaan kanak-kanak di pusat gerejanya di Mt. Carmel. Dilaporkan para pengikutnya tidak mengendahkan penderaan seksual yang dilakukan kerana mereka percaya bahawa ia merupakan wahyu dari Tuhan.

branch davidian perang kultus

Berdasarkan dakwaan memiliki senjata api, pihak berkuasa ATF telah menyerbu markas mereka di Mt. Carmel pada Februari 1993. Selepas kejadian serang balas tembak-menembak yang berlanjutan selama 51 hari, pihak ATF akhirnya berjaya mencerobohi dinding utama mereka dan membaling gas pemedih mata. Satu kebakaran berlaku menyebabkan kematian lebih 80 orang termasuk 20 orang kanak-kanak dan David sendiri. (Vox : The Waco Tragedy, Explained)

3. Heaven's Gate

Sekitar tahun 70-an, Marshall Applewhite dan Bonnie Nettles mendakwa bahawa mereka adalah dua orang saksi yang merujuk kepada Bab 11 Kitab Ilham (Book of Revelation). Mereka mula berdakwah mengenai ramalan kiamat serta penyelamat yang akan datang menaiki kapal angkasa. Melalui fahaman ini, mereka berjaya meraih ramai pengikut dari California dan Oregon yang taksub ingin ke syurga.

pengasas heavens gate marshall applewhite

Pada mulanya, kumpulan ini diberi nama "Human Individual Metamorphosis" sebelum ditukar kepada "Total Overcomers Anonymous" dan akhirnya menjadi "Heaven's Gate" pada tahun 90-an. Kesemua pengikut perlu hidup bersama kumpulan dan menyerahkan segala harta dan meninggalkan keluarga.

Untuk menjadi ahli syurga yang sempurna, mereka digalakkan untuk menjauhkan diri daripada sebarang emosi selain mengelakkan hubungan seksual. Kesemua pengikut dikehendaki memakai pakaian longgar dan mencukur rambut agar tidak dapat membezakan jantina lelaki atau perempuan.

Kumpulan kecil yang mempunyai keahlian tidak melebihi 60 orang ini sering menyembunyikan diri dari masyarakat sehinggalah mereka memulakan pencarian penganut baru pada tahun 1993. Selama beberapa tahun kemudian, mereka mula menggunakan Internet untuk menyebarkan dakwah melalui laman web yang dibina.

pengikut heaven s gate ditemui mati akibat bunuh diri

Pada tahun 1997, komet Hale-Bopp bergerak menuju berhampiran bumi dan desas-desus mengatakan terdapat sebuah UFO yang mengekorinya. Kumpulan kultus ini begitu serius mempercayai khabar angin tersebut dan sangat yakin bahawa penyelamat mereka sudah hampir tiba. Pada bulan Mac tahun yang sama, seramai 39 orang ahli ditemui mati akibat bunuh diri dalam persiapan untuk peralihan mereka ke syurga. (Britannica : Heaven's Gate)

2. Manson Family

Charles Manson dilahirkan pada tahun 1934 oleh seorang ibu tunggal muda berusia 16 tahun. Selepas ibunya dipenjarakan akibat kes rompakan bersenjata, Charles tinggal bersama bapa dan ibu saudaranya di West Virginia. Tidak lama kemudian, Charles mula berjinak-jinak dengan kehidupan sebagai penjenayah.

Dia telah menghabiskan usia remaja di pusat pemulihan dan penjara. Setelah dibebaskan pada tahun 1967, dia berpindah ke San Francisco dan menjadi akrab dengan satu kumpulan anak muda yang kemudiannya dikenali sebagai "the Family."

charles manson

Tidak seperti kumpulan kultus lain, Manson Family bukanlah berasaskan agama semata-mata walaupun Charles terjebak dengan pemujaan syaitan, Scientology dan berpegang kepada fahaman kuasi agama. Dia juga telah meramalkan satu peperangan antara kaum yang dahsyat di mana kaum Afrika-Amerika akan menang namun akhirnya akan beralih kepada kaum kulit putih untuk kepimpinan sebenar.

Charles merancang untuk menyembunyikan diri bersama pengikutnya semasa perang tersebut dan hanya keluar untuk mengambil alih apabila semuanya berakhir. Dia menjadi pencetus perbalahan dengan mengarahkan pengikutnya melakukan beberapa pembunuhan sebelum menyebarkan berita dengan menuduh orang kulit hitam sebagai pembunuh.

Pada bulan Ogos 1968, kumpulan ini telah membunuh beberapa orang di sebuah kediaman di Los Angeles. Antara yang menjadi mangsa termasuklah pelakon berbadan dua bernama Sharon Tate, iaitu isteri kepada pengarah terkenal Roman Polanski, serta pewaris empayar kopi, Abigail Folger.

ahli manson family

Pada malam berikutnya, mereka membunuh dia orang lagi mangsa. Dalam kedua-dua kejadian, kesemua mangsa telah ditikam dengan kejam secara berulang kali dan suatu mesej ditulis di dinding menggunakan darah mereka.

Charles Manson dan rakan-rakannya akhirnya berjaya diberkas dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Walau bagaimanapun, mereka hanya dihukum penjara seumur hidup apabila kerajaan California mula mengharamkan hukuman mati kepada pesalah. (Allthatsinteresting : Inside the Manson Family and Where Are They Now?)

1. The People's Temple

Jim Jones mungkin merupakan pemimpin kultus berkarisma yang paling unggul. Dia merupakan seorang pendakwah Kristian dengan tradisi Pentecostal. Walaupun berkulit putih, Jones berjaya menarik bilangan pengikut Afrika-Amerika yang ramai disebabkan gaya dakwah yang disenangi serta idea kesamarataan kaum yang sering ditonjolkan. Kebanyakan ajaran Jones dipengaruhi oleh teologi pembebasan serta kepercayaan sosialis.

komuniti jonestown peoples temple

Jones memulakan gerakan kumpulan ini sekitar 1950-an di Indianapolis. Setelah membaca satu artikel dalam majalah Esquire berkenaan tempat-tempat untuk menyelamatkan diri daripada kemusnahan nuklear, dia mengajak jemaahnya berhijrah ke Ukiah, California pada tahun 1965.

Dalam masa lima tahun berikutnya, bilangan keahlian melonjak naik daripada tidak sampai 100 orang menjadi ribuan pengikut. Pada masa yang sama, kejayaan gereja-gerejanya di San Francisco dan Los Angeles telah membolehkan Jones mendapat pengaruh politik yang kukuh.

Jones kemudian memulakan pembinaan sebuah komuniti yang digelar "Jonestown" di Guyana, Amerika Selatan. Pada tahun 1977, apabila mendapat tahu yang majalah New West bakal mendedahkan kehidupan pengikut kultus yang digambarkan sebagai "gabungan rejimen Spartan, ketakutan dan penghinaan ke atas diri sendiri," mereka melarikan diri beramai-ramai ke Jonestown.

membunuh diri beramai ramai di jonestown

Tidak lama selepas itu, seorang ahli kongres Amerika Syarikat bernama Leo Ryan telah dipujuk oleh bekas-bekas pengikut serta saudara-mara pengikut untuk pergi ke Jonestown bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenainya. Walau bagaimanapun, pada 18 November 1978, Ryan dan beberapa orang pegawainya telah dibunuh sebelum sempat menaiki kapal terbang untuk pulang dari Jonestown.

Pada hari yang sama juga Jones telah meyakinkan para pengikutnya untuk membunuh diri sendiri beramai-ramai. Lebih 900 nyawa melayang termasuk 276 orang kanak-kanak. (Jonestown)




Hakcipta iluminasi.com (2017)