Kebanyakan pemimpin ajaran sesat begitu berkarisma dan mereka mempunyai kebolehan untuk membasuh minda orang lain untuk melakukan apa sahaja. Kebanyakan pengikut pemimpin seperti ini sanggup mengorbankan pekerjaan, keluarga, wang ringgit dan banyak lagi untuk ajaran sesat mereka.

Akan tetapi, terdapat beberapa pemimpin ajaran sesat yang berupaya melakukan lebih daripada itu sehingga para pengikutnya sanggup melakukan pembunuhan atau membunuh diri. Berikut adalah beberapa ajaran sesat yang telah menyebabkan kematian secara besar-besaran.

BESARKAN TEKS     A-  A+

8. Keluarga Burari

keluarga chundawat burari

Pada 2018, Keluarga Chundawat di Burari, India telah melakukan bunuh diri beramai-ramai (berjemaah) di rumah mereka. 11 orang ahli keluarga berumur 15 hingga 77 tahun menggantungkan diri mereka sebelah menyebelah.

Ramai yang terkejut kerana keluarga ini merupakan sebuah keluarga sederhana yang kelihatan gembira dan normal. Pada mulanya polis menyangka ia adalah perbuatan jenayah tetapi 11 jurnal yang ditinggalkan mendedahkan mereka membunuh diri bagi "menyelamatkan roh" mereka.

Polis mendapati salah seorang ahli keluarga, Lalit Bhatia, pernah belajar mengenai seni Reiki Jepun, sejenis penyembuhan "tenaga dalaman". Lalit menulis dalam jurnalnya bahawa dia pernah berhubung dengan roh mendiang bapanya yang meminta mereka semua membunuh diri. (sumber)

7. Friend of the Truth Church

wakayama

Pada tahun 1986 di Wilayah Wakayama, Jepun, polis telah menemui tujuh mayat wanita 500 meter dari sebuah gereja kecil yang digelar sebagai Gereja The Friends of Truth. Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai bunuh diri berdasarkan tin gas yang ditemui bersama-sama mereka.

Polis percaya mereka melakukan "pengorbanan diri" untuk menjadi 'syahid' seperti mana yang dilakukan oleh Jesus. Namun, kes ini berlainan daripada yang lain kerana perbuatan mereka itu tidak dipengaruhi oleh pemimpin kultus itu.

Pemimpin ajaran itu meninggal dunia di hospital sehari sebelum kejadian itu. Polis juga menemui sekeping nota yang menyatakan bahawa wanita-wanita itu hanya ingin memenuhi janji mereka dan mereka tidak dipaksa untuk melakukannya. (sumber)

6. Heaven’s Gate

marshall applewhite

Dalam salah satu video pengenalan ajaran sesat Heaven's Gate, pengasasnya Marshall Applewhite mendakwa bahawa Bumi akan dikitar semula. Satu-satunya peluang untuk berpindah adalah dengan menyertai mereka.

Mereka percaya bahawa apabila Komet Hale-Bopp melintasi Bumi pada 1 April 1997, ia adalah satu-satunya peluang mereka untuk meninggalkan Bumi dan roh mereka diselamatkan oleh makhluk asing.

Pada 26 Mac 1997, seramai 39 anggota ajaran sesat itu telah membunuh diri secara beramai-ramai di San Diego, California. Semua berbaring pada katil masing-masing seolah-olah sedang tidur. 

Mereka telah meminum racun dan melemaskan diri dengan mengikat beg plastik pada kepala mereka sendiri. Setiap orang berpakaian seragam hitam dengan kasut Nike Decades dan mempunyai wang sebanyak USD 5.75 secara tepat dalam saku mereka. (sumber)

5. Benevolent Mother

benevolent mother

Seorang wanita bernama Park Soon Ja adalah pemilik sebuah kilang di bandar Yongin, Korea Selatan. Dia mendakwa dirinya adalah seorang penganut Kristian dan telah menerima wahyu daripada Tuhan tentang Hari Kiamat.

Dia telah membuka rumah anak yatim di pusat bandar itu dan dikatakan telah memaksa anak-anak yatim di bawah jagaannya untuk bekerja tanpa bayaran di kilangnya. Dia juga menuntut agar pekerjanya memanggilnya dengan nama "Ibu Kebaikan".

Selama bertahun-tahun lamanya, dia telah menipu ratusan pengikut untuk memberikannya wang dan telah mengumpul lebih daripada RM 35 juta. Pada tahun 1987, dia telah mengumpulkan para pengikutnya di loteng kilang dan memberitahu mereka bahawa sudah tiba masa untuk ke syurga.

Seramai 33 orang telah menemui ajal mereka pada hari itu dan kebanyakannya adalah kanak-kanak. Mayat mereka ditemui oleh suami Park apabila lelaki itu mencari isterinya yang hilang. Suami Park tidak tahu langsung isterinya menjalankan ajaran sesat. (sumber)

4. Rumah Adam

kereta api bangladesh

Pada 12 Julai 2007, sebuah keluarga di Mymensingh, Bangladesh, telah melompat di hadapan sebuah kereta api yang sedang menghampiri dengan laju. Sembilan orang telah terbunuh dalam kejadian itu.

Apabila menyiasat rumah keluarga itu, polis telah menemui 9 nota dan 9 buah keranda telah dibeli dengan kubur yang siap digali. Keluarga itu menjadi taksub dengan agama selepas kematian ketua keluarga mereka, Abdul Adam.

Sebelum Abdul Adam meninggal dunia di hospital, dia mengarahkan agar mayatnya ditanam di belakang halaman rumah. Keluarga itu juga didapati telah mengkaji pelbagai jenis agama. Mereka tidak menganut mana-mana agama secara khusus tetapi mempercayai bahawa Adam dan Hawa mempunyai hubungan terus dengan Tuhan.

Mangsa yang berumur antara 9 hingga 60 tahun itu yakin bahawa membunuh diri adalah satu-satunya cara untuk mencapai syurga. Disebabkan nota yang ditemui, keluarga ini dikenali sebagai "Rumah Adam". (sumber)

3. The Order of the Solar Temple

the order of the solar temple

Seorang lelaki bernama Joseph De Mambro telah mengasaskan sebuah kumpulan The Order of the Solar Temple di Geneva, Switzerland pada tahun 1984. Dia mendakwa mahu menghidupkan semula Knights Templar yang diasaskan pada tahun 1119. Idea ini menjadi sangat popular hingga tersebar ke Kanada.

Kumpulan ini percaya bahawa dunia akan berakhir pada tahun 1990-an. Jadi pada tahun 1994, 53 orang telah membunuh diri kerana menyangka kiamat akan berlaku tidak lama lagi.

Pada tahun 1995, 16 orang ahli lagi membunuh diri mereka dan pada 1997, lima orang lagi berbuat demikian menjadikan jumlah keseluruhan ahli kumpulan itu yang membunuh diri kepada 74 orang semuanya. (sumber)

2. Jonestown

jonestown

Pada tahun 1970-an, Jim Jones telah mengasaskan satu ajaran sesat yang dipanggil “The Peoples Temple Agricultural Project.” Dia telah mengadopsi kanak-kanak dari pelbagai kaum dan menggelar mereka sebagai "keluarga pelangi". Dia juga mahu mendirikan sebuah masyarakat Utopia baru di negara Guyana agar semua bangsa dapat hidup aman dan damai.

Dia meyakinkan pengikutnya untuk membina sebuah bandar di tengah hutan yang dinamakan Jonestown. Semakin lama, Jim Jones menjadi semakin paranoid. Ramai pengikutnya mula berasa takut, menyesal dan merasakan Jones telah memanipulasi mereka.

jim jones

Jim Jones

Pada tahun 1978, Leo Ryan yang merupakan ahli Kongres telah terbang ke Guyana untuk menyiasat Jonestown. Wartawan dari NBC News juga mengiringi Ryan. Temuramah yang dibuat menunjukkan ramai pengikut Jones yang ingin pulang semula ke Amerika.

Seramai 15 orang ingin meninggalkan Jonestown bersama Ryan dan wartawan. Jim Jones tidak membenarkan ia terjadi dan menghantarkan beberapa orang untuk membunuh wartawan yang hadir.

Jim Jones tahu ia adalah pengakhiran kepada 'syurga' Jonestown yang dibinanya. Dia mengarahkan pengikutnya untuk meminum air berperisa anggur yang diletakkan racun. Ada juga yang berjaya melarikan diri ke hutan tetapi malangnya 909 orang telah mati dalam kejadian itu. (sumber)

1. The Movement For The Restoration of the Ten Commandments

the movement for the restoration of the ten commandments

Pada tahun 1980-an di Uganda, ajaran Katolik telah disebarkan oleh para mubaligh di kawasan setempat. Seorang bekas pekerja seks bernama Credonia Mwerinde mendakwa dia telah mendapat wahyu daripada Virgin Mary dan mengubah cara hidupnya. Seorang ahli politik tampatan bernama Joseph Kibretere mempecayainya dan mereka berdua memulakan agama baru.

Satu kumpulan yang terdiri daripada lima orang lelaki diangkat menjadi pemimpin agama baru yang digelar sebagai The Movement For The Restoration of the Ten Commandments. Lebih daripada 4000 orang telah menyertai agama itu.

Agama baru itu mengekalkan hampir semua tradisi yang sama seperti gereja Katolik. Perbezaan utama adalah semua ahli dipaksa memakai pakaian seragam dan sekiranya mereka melanggar mana-mana daripada 10 perintah itu, mereka akan dihukum dengan berat.

Mereka percaya bahawa kiamat akan berlaku dalam masa terdekat dan mereka akan diselamatkan oleh Bahtera Nuh daripada bencana besar itu. Pada tahuun 1998, ajaran sesat itu telah diharamkan kerana mereka terlibat dalam penculikan dan menggunakan kanak-kanak sebagai buruh.

Pada tahun 2000, satu kebenaran yang lebih mengejutkan telah dibongkar apabila wartawan mendapati bahawa seramai 923 ahli kumpulan itu telah ditanam dalam satu kubur terbesar dalam sejarah. Ada yang mendakwa mereka dengan rela membunuh diri manakala sebahagian yang lain pula mendakwa mereka dibunuh oleh para pemimpin ajaran itu. (sumber)




Hakcipta iluminasi.com (2017)