Oleh pada 10 Nov 2017 kategori

10. Beauty and the Beast (2017)

Pengarah: Bill Condon

Kutipan kasar: RM 5,298,323,137.66

Filem adaptasi Disney ini berkisar tentang kisah dongeng klasik, antara seorang putera raksasa yang disumpah menjadi binatang dan seorang gadis cantik yang jatuh hati dengannya. Perkenalan mereka bermula sebaik Belle cuba melepaskan ayahnya yang ditawan Beast. Semasa berada di dalam istana, Belle telah bertemu dengan pekerja istana yang juga terkena sumpahan menjadi pelbagai objek. Mereka berharap Belle mampu menjadi penyelamat kepada situasi tersebut. FIlem bergenre "aksi langsung muzikal" ini dibintangi oleh Emma Watson, Dan Stevens, Luke Evans dan ramai lagi. Ia menelan belanja sebanyak $160 juta.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Fakta menarik:

1.    Dalam tempoh 24 jam, treler filem ini mencapai sekitar 91.8 juta tontonan, menjangkaui jumlah tontonan filem-filem edaran Disney yang lain termasuk "Captain America: Civil War", "Avengers: Age of Ultron", dan "Star Wars: The Force Awakens".

2.    Sebuah babak kontroversi melibatkan salah seorang wataknya, Lefou yang merupakan seorang homoseksual, dilakonkan oleh Josh Gad hampir membuatkan filem ini tidak ditayangkan di Malaysia. Jawatankuasa Rayuan Filem (JKRF) akhirnya meluluskan tayangannya tanpa potongan babak, dibawah klasifikasi P13.

9. Frozen (2013)

frozen antara filem kutipan tertinggi

Pengarah: Chris Buck, Jennifer Lee

Kutipan kasar: RM 5,396,777,100.00

FIlem terbitan Walt Disney Animation Studios ini merupakan filem animasi ke-53 dan terbesar dalam siri filem klasik animasi Walt Disney. Berlatarbelakangkan kisah dongeng Permaisuri Salji oleh Hans Christian Andersen, filem komedi fantasi-muzikal ini mengisahkan tentang sebuah pengembaraan epik seorang puteri yang berani untuk mencari kakaknya yang mempunyai kuasa ais, sehingga menyebabkan kerajaannya berada dalam musim sejuk yang tiada penghujung. Beliau ditemani seorang lelaki gunung yang lasak, rusa peliharaan yang setia dan orang salji. 

Fakta menarik:

1.    Memenangi pelbagai anugerah, antaranya Anugerah Akademi untuk kategori filem animasi terbaik mengalahkan filem-filem seperti "The Croods" dan "The Wind Rises". 

2.   Runut bunyinya, "Let It Go" berjaya menjual lebih daripada 1 juta salinan dan berada di nombor 1 carta album Billboard 200 selama 5 minggu, yang kali terakhir rekodnya dipegang pada tahun 1998. Ia turut memenangi kategori "Lagu Asal Terbaik" dalam Anugerah Oscar.

3.    Sekuel Frozen 2 sedang dalam pembikinan dan tayangannya dijadualkan pada 27 November 2019.

8. Harry Potter and the Deathly Hallows: Part 2 (2011)

harry potter and the deathly hallows part 2

Pengarah: David Yates

Kutipan kasar: RM 5,625,358,994.63

"Harry Potter and the Deathly Hallows: Part 2" merupakan filem terakhir francais Harry Potter. Ia berkisahkan tentang pertempuran antara kuasa baik dan kuasa jahat dunia sihir, hingga mencetuskan peperangan yang dahsyat. Demi membinasakan "Dark Lord" atau Bangsawan Gelap, Harry, Ron dan Hermione memburu baki Horcruxes Voldemort. Misi ini amat penting dan tiada siapa yang beada dalam keadaan selamat. Harry Potter dipanggil untuk berkorban dimana beliau semakin menghampiri pertarungan akhir dengan Lord Voldemort. FIlem ini turut disertai oleh beberapa orang pelakon terkenal, antaranya adalah Daniel Radcliffe, Emma Watson, Rupert Grint dan ramai lagi. 

Fakta menarik:

1.    Sebaik ditayangkan, ia memegang rekod kutipan kasar tertinggi bagi minggu pertama, dengan $169.2 juta, yang sebelum ini dipegang oleh "The Dark Knight", iaitu $158.4 juta pada tahun 2008.

2.    Mempunyai 3 pencalonan bagi Anugerah Akademi dan satu-satunya filem Harry Potter untuk dicalonkan dalam Anugerah Oscar bagi kategori "Anugerah Akademi Solekan dan Penggayaan Rambut Terbaik".

7. Avengers: Age of Ultron (2015)

avengers age of ultron filem kutipan tertinggi

Pengarah: Joss Whedon

Kutipan kasar: RM 5,893,279,310.05

Avengers: Age of Ultron merupakan sekuel kepada filem 2012, The Avengers. Ia adalah sebuah filem superhero berdasarkan pasukan superhero Marvel Comics, Avengers, dihasilkan oleh Marvel Studios. Filem ini dibintangi oleh Robert Downey, Jr., Chris Hemsworth, Mark Ruffalo, Chris Evans, Scarlett Johansson dan ramai lagi pelakon berwibawa.

Ia berkisahkan tentang pasukan Avengers yang dianggotai oleh Tony, Thor, Hulk dan lain-lain, kembali bergabung tenaga sebaik mengetahui program keselamatan ciptaan Tony Stark berada di luar kawalan. Mereka turut dibantu oleh dua lagi individu baru yang mempunyai kuasa luar biasa iaitu Pietro dan Wanda Maximoff. Pasukan Avengers memegang tanggungjawab besar untuk menghalang niat jahat Ultron yang mahu melihat kepupusan manusia dari planet bumi.

Fakta menarik:

1.    Meraih kutipan ketiga tertinggi pada tahun 2015.

2.    Treler filem ini memecah rekod Youtube bagi tontonan tertinggi bagi filem keluaran Marvel, iaitu mencecah 34 juta kali tontonan, sebelum ini dipegang oleh Iron Man 3.

3.    Dua sekuel, "Avengers: Infinity War" dan sebuah lagi yang masih belum diberikan nama dijadual ditayangkan pada Mei 4, 2018 dan Mei 3, 2019.

6. Furious 7 (2015)

furious 7 filem kutipan tertinggi

Pengarah: James Wan

Kutipan kasar: RM 6,357,235,318.60

Furious 7 ialah filem ketujuh dalam francais "Fast and the Furious". Ia mengisahkan tentang Dominic Toretto, Brian O'Conner dan pasukan mereka yang telah dibebaskan dari jenayah terdahulu dalam "Fast & Furious 6". Mereka pulang ke Amerika Syarikat untuk mengalami kehidupan seperti orang biasa. Namun, kedatangan seorang pembunuh pasukan khas, Deckard Shaw (Statham) telah menggugat keselamatan mereka yang ingin membalas dendam ke atas adiknya yang sedang koma.

Sebaik pulang dari London, Dominic Toretto dan krunya diserang oleh abang Owen Shaw, iaitu Deckard yang ingin membalas dendam terhadap pelaku yang bertanggungjawab atas kecederaan adiknya. Apabila Han Seoul-Oh dibunuh di Tokyo, Agent Hobbs dimasukkan ke dalam hospital dan rumah Dominic dimusnahkan. Dia kemudiannya didekati oleh pekerja Black Ops, bernama "Mr. Nobody" yang berjanji akan membantunya dan keluarga untuk mencari Shaw. Namun, syaratnya mereka perlu bersetuju untuk bekerjasama menyelamatkan seorang penggodam, Ramsey dari Mose Jakande, seorang pengganas yang telah membangunkan sebuah program pengawasan yang amat canggih.

Filem ini dibintangi oleh Vin Diesel, Paul Walker, Dwayne Johnson, Michelle Rodriguez, Tyrese Gibson, Chris Bridges, Jordana Brewster, Kurt Russell dan Jason Statham selaku pelakon utama. Ia menelan bajet sebanyak $190 juta.

Fakta menarik:

1.    Mengutip $397.6 juta di seluruh dunia semasa 5 hari pertama tayangan, iaitu pembukaan ketiga terbesar sepanjang masa.

2.    Meraih pendapatan tertinggi dalam francais "The Fast and the Furious", selepas 12 hari.

3. Runut bunyinya, "See You Again" nyanyian Wiz Khalifa bersama penampilan Charlie Puth berada di carta nombor 1 Billboard. Ia juga runut bunyi keempat mengungguli carta muzik Billboard bagi tempoh 12 bulan.

4.    Sejumlah 340 buah kereta telah digunakan sepanjang pembikinan filem ini. 230 buah kereta, termasuk beberapa model Mercedez-Benz, Ford Crown Victoria dan sebuah Mitsubishi Montero telah dimusnahkan.

5.    Filem terakhir Paul Walker yang meninggal dunia akibat nahas jalan raya ketika penggambaran filem ini masih sedang dijalankan. Oleh itu, penggambaran terpaksa ditangguh untuk skripnya dirombak. Saudara mendiang, Caleb dan Cody digunakan untuk menyelesaikan baki babak melibatkan Walker.

5. Marvel’s The Avengers (2012)

marvel s the avengers filem kutipan tertinggi

Pengarah: Joss Whedon

Kutipan kasar: RM 6,368,838,502.58

Marvel's The Avengers atau The Avengers, ialah filem adiwira berdasarkan komik pasukan adiwira Marvel, diterbitkan oleh Marvel Studios. Filem ini menceritakan bagaimana seorang pengarah organisasi pengaman S.H.I.E.L.D. bernama Nick Fury yang merekrut Iron Man, Captain America, Hulk dan Thor. Ini bagi mewujudkan sebuah pasukan dalam menghentikan penaklukan Bumi oleh saudara Thor, Loki. Pelakonnya terdiri daripada Robert Downey Jr., Chris Evans, Mark Ruffalo, Chris Hemsworth, Scarlett Johansson, Jeremy Renner, Tom Hiddleston, Clark Gregg, Cobie Smulders, Stellan Skarsgård dan Samuel L. Jackson. 

Fakta menarik:

1..    Produksi Marvel pertama yang berjaya mencatat jualan tiket $1 bilion, dalam hanya 19 hari.

2.    Adaptasi komik, filem adiwira dan filem Walt Disney Studios yang berjaya meraih kutipan tertinggi. 

3.    Mendapat kutipan tertinggi pada tahun 2012.

4.    Mencatat kutipan melebihi kos produksi, iaitu $220 juta hanya 12 hari selepas tayangan. 

5.    Filem terpantas mencapai $200 juta, iaitu dalam 3 hari.

6.    Diiktiraf menerusi pelbagai anugerah dan pencalonan, antaranya Anugerah Akademi dan BAFTA untuk kesan visual.

4. Jurassic World (2015)

jurassic world filem kutipan paling tinggi di dunia

Pengarah: Colin Trevorrow

Kutipan kasar: RM 7,009,994,995.11

Jurassic World merupakan siri keempat "Jurassic Park", filem sains fiksyen tentang sebuah pengembaraan penuh epik. Idea asal Steven Spielberg ini menceritakan tentang kewujudan sebuah resort mewah yang didatangi puluhan ribu pengunjung bagi meneroka keajaiban dan kegemilangan binatang prasejarah yang mampu berinteraksi dengan mereka.  

Claire menggalas tanggungjawab untuk menjaga setiap sudut taman terbesar di dunia itu. Kehadiran dua anak saudaranya menjadi beban buatnya, lalu membuat keputusan untuk membiarkan mereka meneroka taman berkenaan. Pencipta segala dinasour di taman tersebut ialah Dr. Henry Wu. Bagi mengekalkan nilai komersial, beliau terpaksa tampil dengan idea serta inovasi baru saban tahun. Demi memastikan tetamu tidak pernah putus, Dr. Wu sanggup melanggar etika dan batas ilmu sains yang dimilikinya.

Beliau mengubahsuai genetik penciptaan dinasour yang tidak pernah wujud di muka bumi, menerusi Indominus Rex yang kuat dan penuh misteri. Bagi melancarkan proses penilaian makhluk ini serta keselamatan kurungannya, Claire melawat Owen iaitu pakar sifat haiwan. Sebaik Indominus Rex melepaskan diri dari kurungan, dia telah hilang dan lari jauh ke dalam hutan. Oleh itu, nyawa semua makhluk di Jurassic World iaitu dinosaur dan manusia berada dalam keadaan terancam.

Dalam keadaan yang huru-hara, Owen dan Claire menjalankan misi pencarian kedua-dua anak saudara Claire. Para dinasour bebas berkeliaran di darat, udara dan air bagi menyelamatkan nyawa masing-masing. Pelakon filem ini ialah Chris Pratt, Bryce Dallas Howard, Vincent D'Onofrio, Ty Simpkins, Nick Robinson, Omar Sy, BD Wong, dan Irrfan Khan.

Fakta menarik:

1.    Memegang rekod filem terpantas mencapai $1 bilion, dalam hanya 13 hari, mendahului "Furious 7" selama 4 hari pada tahun 2015.

2.    Filem kedua dengan pendapatan paling tinggi pada tahun 2015.

3. Star Wars: The Force Awakens (2015)

star wars the force awakens filem kutipan paling dalam sejarah

Pengarah: J.J. Abrams

Kutipan kasar: RM 8,672,682,122.52

Filem ini merupakan filem Star Wars yang ketujuh, dibintangi oleh Harrison Ford, Mark Hamill, Carrie Fisher, Adam Driver, Daisy Ridley dan ramai lagi. Star Wars: The Force Awakens diedarkan oleh Walt Disney Studios Motion Pictures. Ia menceritakan kejadian yang berlaku 30 tahun selepas trilogi "Return of the Jedi" pada tahun 1983 dimana Darth Vader telah ditumpaskan. Kini, Rey, Finn dan Poe Dameron berjuang bersama kumpulan Resistance, yang dipimpin oleh Rebel Alliance.

Mereka menentang ancaman baru dari Kylo Ren dan First Order yang merupakan pewaris Empayar Galaktik. Salah seorang dari defector berkenaan, Fin terdampar di sebuah planet padang pasir dan berjumpa pula dengan Rey, bersama 'droid' yang menyimpan peta rahsia yang dicari oleh First Order. Kisah tersebut menyaksikan suntikan unsur kemanusiaan dan kasih sayang.

Fakta menarik:

1.    Filem terpantas dengan kutipan kasar $1 bilion dalam masa 12 hari.

2.    Kutipan kasar paling tinggi bagi filem Star Wars, serta filem kedua Star Wars selepas "The Phantom Menace" untuk mencatat $1 bilion.

3.    Filem dengan kutipan kasar tertinggi pada tahun 2015.

4.    Filem keluaran Disney dengan kutipan kasar tertinggi, mengalahkan "Marvel's The Avengers".

2. Titanic (1997)

titanic filem kutipan tertinggi dalam sejarah

Pengarah: James Cameron

Kutipan kasar: RM 9,169,792,293.98

Titanic merupakan sebuah filem kisah cinta agung yang dikeluarkan oleh 20th Century Fox dan Paramount Pictures. Filem ini berkisahkan tentang nasib malang yang menimpa kapal RMS Titanic ketika pelayaran pertamanya pada tahun 1912. Filem ini memenangi 11 Anugerah Akademi pada tahun 1997, termasuk Filem Terbaik 1997. Pada tahun 2006, Titanic menjadi filem pecah panggung terbaik dalam sejarah perfileman antarabangsa. 

Menjelang minggu pertama, jualan tiket mulai habis dengan keuntungan sebanyak AS$28,638,131. Meskipun selepas tiga bulan dilancarkan, ia sama sekali tidak menggugat populariti filem malar hijau ini. Pada Mac 1998, Titanic menjadi filem pertama yang mencecah kutipan lebih AS$1 bilion. Salah satu faktor penyumbang kepada perkara ini ialah ramai penonton yang berulang kali menonton filem Titanic. Malah, jualan lagu, runut bunyi dan buku filem ini turut menjadi tumpuan dan rebutan para peminat.

Filem ini juga merupakan satu-satunya filem yang menduduki 30 filem teratas dalam filem pecah panggung seluruh dunia pada abad ke-20. Ia turut memperoleh lebih dua pertiga sambutan luar Amerika Syarikat dan Kanada.

Fakta menarik:

1.    Filem ini harus dibezakan dengan filem Titanic 1953, mahupun filem televisyen yang mempunyai tajuk yang sama pada 1996.

2.    Titanic berbeza dengan filem lewat 1990-an yang lain. Ia mengambil masa 15 minggu untuk keuntungan hujung minggu menurun kepada 50%. Lazimnya, filem menurun sebanyak 40% dalam hanya seminggu. 

3.    Titanic memegang rekod bersama "Ben-Hur" dan "The Lord of the Rings: The Return of the King", bagi filem yang paling menyerlah dalam Anugerah Akademi iaitu memenangi 11 anugerah termasuk anugerah "Filem Terbaik".

4.    Kos pembikinan filem ini ($200 juta) lebih tinggi dari kos pembuatan kapal Titanic yang sebenar ($120-150 juta), biarpun setelah diselaraskan dengan inflasi. 

5.    Filem pertama mendapat kutipan kasar mencecah $1 bilion.

1. Avatar (2009)

avatar filem kutipan tertinggi di dunia

Pengarah: James Cameron

Kutipan kasar: RM 11,690,773,999.32

Memegang takhta filem paling laris sepanjang zaman ialah Avatar. Ia merupakan sebuah filem epik cereka sains yang berlatarbelakangkan tahun 2154, dimana manusia terlibat dalam usaha perlombongan rizab galian berharga unobtanium di bulan Pandora dalam sistem bintang Alpha Centauri. Peluasan koloni manusia di situ mengancam kemandirian kaum pribumi Na'vi di Pandora, serta keseluruhan ekosistem bumi. 

Jake Sully merupakan seorang bekas marin yang tercedera, kemudian dipaksa untuk berusaha menyelesaikan dan mengeksploitasi Pandora, sebuah bulan eksotik yang kaya dalam kepelbagaian bio. Ia didiami oleh Na'vi, spesis humanoid berketinggian 10 kaki. Selepas Na'vi wanita atau Neytiri menyelamatkan Jake yang terpisah dari kumpulannya, beliau belajar sesuatu yang lebih mendalam tentang planet tersebut. Akhirnya beliau memimpin perlumbaan asli dalam sebuah pertempuran demi berjuang untuk terus hidup.

Filem paling ditunggu-tunggu ini amat cemerlang dari segi teknologi perfileman, pembangunan tayangan 3D dan perfileman stereoskopik, berserta penggunaan kamera yang direka khas untuk filem ini sahaja. Tajuknya, Avatar itu sendiri menyentuh tindakan sesetengah manusia memakai jasad Na'vi rekaan genetik untuk berinteraksi dengan kaum pribumi Pandora. Filem ini dibintangi oleh Sam Worthington, Zoe Saldana, Sigourney Weaver, Michelle Rodriguez dan Stephen Lang.

Fakta menarik:

1.    Filem pertama mencatat kutipan kasar melebihi $2 bilion semasa tayangan pertama, tanpa mengira tayangan kali kedua.

2.    Menelanja kos perbelanjaan rasmi $237 juta, anggaran tidak rasmi ialah $280–310 juta untuk penerbitan sahaja, tidak termasuk tambahan lebih $150 juta bagi tujuan pemasaran.

3.    Memenangi tiga kategori anugerah Oscar iaitu "Sinematografi Terbaik", "Kesan Visual Terbaik" dan "Arahan Seni Terbaik".

4.    Terdiri daripada kira-kira 60% elemen yang dihasilkan oleh komputer, serta hanya 40% aksi langsung dan miniatur tradisional.

5.    Pembikinan ditangguhkan selama 10 tahun kerana bajet cadangannya amat tinggi untuk kesan khas, iaitu sehingga mencecah $400 juta pada ketika itu.

6.    Avatar 2 bakal menemui penonton pada bulan Disember 2020, dan sekuel selanjutnya akan ditayangkan pada tahun 2025.

Rujukan & imej:

1.    Wikipedia

2.    Cinema Blend

3.    IMDb




Hakcipta iluminasi.com (2017)