Apabila seorang rakyat biasa bernama Liu Bang menjadi Maharaja pertama Dinasti Han pada tahun 206 SM, ia merupakan permulaan tempoh 400 tahun yang dipenuhi kemajuan dalam segala hal dari penyimpanan rekod, pertanian, penjagaan kesihatan dan banyak lagi.
Menurut Profesor Jabatan Sejarah dan Kajian Klasik University of Montreal, Robon D.S Yates, Dinasti Han terlibat dalam banyak penemuan dan perkembangan utama sains dan teknologi. Berikut adalah beberapa penemuan terbesar Dinasti Han yang mengubah dunia.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Kertas
Potongan kertas terawal masih lagi wujud pada hari ini. Bahan mentah yang diperbuat daripada gentian tumbuhan itu ditemui di sebuah makam di China pada tahun 1957 dan dipercayai dihasilkan antara tahun 140 hingga 87 SM.
Walau bagaimanapun, seorang sida-sida istana bernama Cai Lun dikreditkan sebagai pencipta kertas berkualiti tinggi pada tahun 105 Masihi. Dia menghasilkan kertas dengan menghancurkan dan menggabungkan kulit kayu, gentian pokok, kain linen dan sisa dari jaring ikan. Bahan-bahan itu kemudian dirawat menggunakan campuran sutera supaya menjadi gentian halus. (sumber)
2. Jambatan gantung
Dalam buku berjudul The Genius of China tulisan Robert Temple, Dinasti Han telah membangunkan jabatan gantung untuk menghubungkan gaung-gaung kecil.
Pada mulanya, mereka membina jambatan menggunakan tali-tali sederhana. Pada tahun 90 Masihi, jurutera-jurutera Dinasti Han telah memajukan pembinaan jambatan gantung dengan memasang papan kayu yang lebih canggih. (sumber)
3. Penggali tanah
Pelombong garam Dinasti Han pada abad pertama sebelum masihi adalah yang pertama untuk membina derik (tiang yang dipegang pada arah tegak oleh tripod tetap atau kaki-kaki kayu). Mereka akan menggunakan bit gerudi besi bagi menggali lubang sedalam 4,800 kaki (1463 meter) di tanah untuk mencari air garam.
Tiub kemudian digunakan untuk menyedut keluar air garam yang ditemui. Teknik yang digunakan oleh pelombong Dinasti Han itu adalah pelopor kepada kaedah yang digunakan dalam cari gali minyak dan gas moden. (sumber)
4. Kereta sorong
Menurut jurnal Technology and Culture yang ditulis oleh M.J.T Lewis pada 1994, kereta sorong dipercayai dibangunkar di China sekitar tahun 100 SM iaitu ketika era Dinasti Han.
Model kereta sorong China biasanya mempunyai roda yang lebih besar berbanding biasa dan boleh mengurangkan rintangan ketika berputar. Dengan roda dipasang betul-betul di bawah muatan, ia mampu mengurangkan berat pada lengan pengguna. (sumber)
5. Seismograf (alat mengukur kekuatan gempa bumi)
Seorang saintis awal China, Zhang Heng, telah meneroka pelbagai perkara daripada astronomi hingga kepada pembuatan jam. Akan tetapi, dia paling dikenali kerana mencipta Seismograf atau peranti pertama untuk mengesan gempa bumi dari jarak jauh. Ciptaannya itu diperkenalkan kepada istana pada tahun 132 Masihi.
Zhang hanya menggunakan balang yang dilengkapi dengan pendulum (jentera kecil yang digunakan untuk mengawal pergerakan). Seperti gambar di atas, apabila berlaku getaran, bola keluli akan keluar dari mulut naga logam itu dan masuk ke dalam mulut katak logam dan menghasilkan bunyi yang kuat.
Kali pertama ia berlaku, tiada siapa di istana yang merasakan apa-apa. Beberapa hari kemudian, seorang utusan datang sejauh 400 batu untuk melaporkan kepada maharaja bahawa gempa bumi telah berlaku di kampungnya. (sumber)
6. Relau bagas
Ketika Dinasti Han mula ditubuhkan pada awal tahun 200-an SM, ahli-ahli logam China telah membina relau bagas (relau pembakaran tinggi) yang pertama dunia.
Menurut ahli sejarawan teknologi China, Donald B. Wagner, relau itu mengepam udara ke dalam besi yang dibakar untuk menghasilkan cecair besi atau besi tuang. (sumber)
7. Perengkuh boleh laras
Menurut kajian, penduduk China pada abad pertama sebelum masihi telah menggunakan sejenis alat perengkuh yang menyerupai alat yang digunakan oleh tukang paip moden (perengkuh moden mempunyai skru cacing dan mekanisma yang berbeza tetapi fungsinya sama).
Pada peringkat awal penciptaan alat perengkuh boleh laras di China ini, ia digunakan untuk tujuan mengukur bukannya untuk melonggarkan atau mengetatkan sesuatu sambungan. (sumber)
8. Pembajak tanah
Menurut buku The Technologu of Ancient China tulisah Robert Greenburger, orang Cina telah menggunakan bajak besi untuk pertanian sejak abad ke-6 SM lagi. Beberapa ratus tahun kemudian, petani Dinasti Han telah mencipta 'kuan' yang juga dikenali sebagai bajak Moldboard atau bajak papan.
Alat ini mempunyai bahagian tengah yang berakhir dengan titik tajam dan sayap untuk menolak tanah dan mengurangkan geseran. Bajak bari ini membantu petani Cina melakukan pembajakan kontur iaitu pembuatan batas seperti bukit kecil. (sumber)
9. Rakap
Penunggang kuda purba biasanya terpaksa membiarkan kaki mereka tergantung ketika menunggang haiwan itu. Pencipta era Dinasti Han telah membuatkan penunggangan kuda menjadi lebih mudah apabila mereka mencipta rakap.
Rakap adalah sepasang peranti yang dipasang pada setiap sisi pelana kuda untuk menyokong kaki penunggang. Mereka membuat rakap menggunakan besi atau tembaga dalam bentuk gelung supaya penunggang mudah menyarung kaki mereka. Ciptaan revolusioner ini memudahkan pahlawan zaman pertengahan menunggang kuda ketika memakai perisai berat tanpa jatuh. (sumber)
10. Kemudi
Menurut seorang sejarawan teknologi Cina, Yongxiang Lu, orang Cina sudah mula membangunkan alat untuk mengendalikan kapal sejak abad pertama Masihi lagi.
Alat kemudi di bahagian ekor kapal ini membolehkan kapal menukar arah tanpa menggunakan pendayung dan lebih mudah dikendalikan. Ciptaan itu mengambil masa hampir satu milenium untuk sampai ke barat di mana ia membantu pelayar-pelayar seperti Christopher Columbus berlayar di lautan. (sumber)