Bagaimanakah cara untuk kita mengetahui sama ada sesuatu khazanah itu bernilai? Mudah sahaja, anda hanya perlu meletakkan harga tinggi yang setimpal dengan sejarah yang tersimpan di sebaliknya.

Sesetengah artifak mungkin kelihatan seperti tidak ternilai harganya namun di sebuah rumah lelong antik, kesemua khazanah mempunyai tetapan harga tersendiri. Dengan tetapan harga ini, tidak sukar untuk mengetahui barangan antik manakah yang dianggap antara yang paling bernilai.

BESARKAN TEKS     A-  A+

10.  Pedang bertatah emas Napoleon - RM 26.59 juta di Osenat, Perancis

pedang bertatah emas napoleon

Pedang yang bertatahkan emas ini merupakan pedang yang digunakan oleh Napoleon Bonaparte dalam Pertempuran Marengo pada tahun 1800. Dalam serangan mengejut itu, tentera yang dipimpin oleh Napoleon telah memaksa orang-orang Austria untuk keluar daripada Itali.

Pedang ini juga pernah digunakan oleh Napoleon semasa kempen ketenteraannya di Mesir. Pedang ini telah dijual dalam satu lelongan yang berlangsung pada bulan Jun tahun 2007.

9. Mangkuk sup diraja Germain - RM 42.06 juta di Sotheby, New York

mangkuk sup diraja germain

Mangkuk sup antik ini telah direka untuk Raja Perancis Louis XV oleh seorang tukang perak bernama Thomas Germain. Sejak pada tahun 1723, Germain telah berkhidmat sebagai tukang perak diraja dan menjadi terkenal dengan gaya Rococo rekaannya.

Ketua barangan perak di Sotheby iaitu Kevin Tierney, telah menyifatkan mangkuk sup itu sebagai salah satu objek yang penuh dengan sejarah. Mangkuk itu juga pernah terselamat daripada dicairkan untuk membiayai Perang Tujuh Tahun dan Revolusi Perancis. Mangkuk ini telah dijual kepada pembeli tidak dikenali pada tahun 1996.

8. Meja setiausaha antik Goddard-Townsend - RM 49.51 juta di Christie, New York

kabinet goddard townsend

Meja antik ini telah dihasilkan oleh pembuat kabinet Quaker pada tahun 1760. Meja setinggi 112 inci ini diperbuat daripada kayu mahagony. Goddard adalah pereka yang dikenali dengan rekaan 'front block', penampilan minimalis yang bercirikan Amerika klasik.

Meja antik ini merupakan salah satu daripada sembilan meja rekaan Goddard yang wujud. Ia telah dijual pada tahun 1989 dan kekal hingga hari ini sebagai perabot antik Amerika paling mahal.

7. Mahkota zamrud dan berlian Puteri Katherine Henckel - RM 49.56 juta di Sotheby, Geneva

mahkota puteri katherine henckel

Dihiasi dengan 11 zamrut era Columbia yang jarang ditemui, mahkota Peteri Jerman ini mempunyai lebih daripada 500 karat. Legenda mengatakan bahawa zamrud ini pernah menjadi sebahagian hiasan kepada kalung yang dipakai oleh Maharaja India.

Mahkota ini dihadiahkan kepada Puteri Katherine oleh suaminya iaitu Putera Guido Henckel von Donnersmarck. Mahkota itu kemudian dipakai pula oleh isteri Mahara Napoleon III iaitu Eugenie de Montijo yang merupakan Countess of Teba. Mahkota ini telah dijual dalam satu lelongan yang berlangsung pada May 2011. 

6. Tepak emas berkaki tiga Dinasti Ming - RM 61.37 juta di Sotheby, Hong Kong

mangkuk emas dinasti ming

Kecantikan barang antik ini membuatkannya berbaloi untuk dijadikan sebagai koleksi dan merupakan salah satu daripada lapan barang antik seumpamanya yang masih wujud. Tepak emas ini dipercayai telah dibuat semasa pemerintahan Maharaja Xuande daripada Dinasti Ming, sekitar 1399 hingga 1435.

Waktu pemerintahan Maharaja Xuande dianggap sebagai salah satu zaman seni China yang paling hebat, khususnya dengan penghasilan barangan porselin. Tepak ini diperbuat daripada emas 18 karat dan mempunyai ukiran lima naga sedang mengejar mutiara berapi di atas awan. Barang antik ini telah dijual pada April 2008.

5. Kelalang bulan porselin biru dan putih - RM 65.46 di JJ Lally & Co. New York

kelalang bulan

Dihasilkan antara tahun 1736 dan 1795, barang antik ini secara artistiknya menggabungkan lapisan cat merah jambu dengan porselin biru dan putih. Tanda enam huruf Qianlong membolehkan pakar untuk mengetahui bahawa ia berasal pada kurun ke-16 sewakti Dinasti Qianlong.

Kelalang bulan ini juga mempunyai lukisan mutiara menyala dan dua ekor burung phoenix. Pemegang kelalang ini pula terdiri daripada reka bentuk naga dan mulut kelalang ini dilengkapi dengan tali ruyi (azimat Cina yang melambangkan kuasa dan kekayaan). Barang antik ini telah dijual pada November 1987.

4. Trompet perang Olyphant - RM 65.9 juta di lelongan tertutup di Scandinavia

trompet tempur olyphant

Trompet pertempuran yang sepenuhnya berfungsi ini diperbuat daripada gading gajah dan dipenuhi ukiran yang bermotifkan pemburuan. Antara ukiran yang terdapat pada trompet ini adalah arnab, itik dan rusa.

Barang ini merupakan salah satu daripada enam instrumen Olyphant tanduk antik yang masih wujud. Salah satu instrumen Olyphant yang paling terkenal ialah yang pernah dimainkan ketika lagu Song of Roland dicipta. Barang antik ini dipercayai telah dihasilkan pada kurun ke-11.

3. Codex Leicester Leonardo da Vinci - RM 126 juta di Christie, New York

codex leicester

Thomas Coke yang merupakan Earl of Leicester telah membeli dokumen saintifik antik ini pada tahun 1719. Manuskrip ini terdiri daripada 18 helai kertas yang dilipat separuh dan ditulis pada kedua-dua bahagian, menjadikannya sebanyak 72 halaman.

Manuskrip ini mengandungi nota hasil kerja da Vinci yang ditulis dalam 'gaya cermin' terbaliknya yang terkenal. Ia mengandungi lukisan, rajah dan juga lakaran. Ia merupakan campuran seni dan sains yang unik, menceritakan bagaimana fosil terdapat di kawasan gunung, tentang sifat air, teori astronomi dan banyak lagi.

Codex Leicester ini telah dijual pada tahun 1994 kepada Bill Gates, yang kemudian telah diimbas setiap halaman untuk dijadikan imej digital dan dimuat naik dalam talian.

2. Kabinet Badminton - RM 147.29 juta di Christie, London

kabinet badminton

Kabinet antik ini pernah mencatatkan rekod untuk penjualan barangan antik paling mahal sebanyak dua kali. Kali pertama ialah pada tahun 1990 apabila ia dijual pada harga RM 67.92 juta dan kali kedua pada tahun 2004 apabila ia dijual dengan harga RM 147.29 juta.

Penilai pakar menganggarkan bahawa perabot ini mungkin akan mencecah berbillion ringgit menjelang tahun 2064. Pembuatan kabinet ini telah diarahkan oleh Henry Somerset-Scudamore, Duke of Beaufort yang ketiga pada tahun 1726. Seramai 30 orang pakar seni bina Florentine terlibat dalam pembikinan kabinet itu dan ia mengambil masa 6 tahun untuk menyiapkannya.

Kabinet setinggi 12 kaki itu dinamakan sempena kediaman Duke iaitu Badminton House. Kabinet antik ini kemudiannya telah dibeli oleh seorang pengumpul barang antik terkenal dari Liechtenstein iaitu Prinz Hans-Adam II dan kini dipamerkan di salah sebuah Muzium di sana.

1. Pasu Dinasti Qing - RM 328 juta melalui jualan tertutup di Bonhams Auction House

pasu dinasti qing

Pasu Cina ini merupakan barang antik paling mahal pernah dijual dalam lelongan. Pasu ini memaparkan lukisan yang bermotifkan ikan dan bunga. Harganya begitu tinggi memandangkan ia adalah barang antik yang jarang ditemui dalam keadaan sebaik ini.

Pasu ini dipercayai dihasilkan untuk Maharaja Qianlong yang memerintah China antara tahun 1736 hingga 1795. Bagaimana pasu ini boleh berada di London masih lagi menjadi satu misteri. Legenda mengatakan seorang penjelajah yang mengembara di China pada tahun 1920-an telah membawa pasu ini pulang sebagai sebuah cenderahati.

Pada mulanya, pasu ini disangkakan barang tiruan yang begitu teliti dengan hanya berharga RM 4,000 sahaja. Setelah dipastikan ketulenannya, harganya melonjak naik kepada RM 4.2 juta. Kemudian seorang billionair Cina telah membelinya di sebuah lelongan dengan harga RM 224.9 juta.

Namun, pembeli itu enggan membayar yuran lelongan yang berharga RM 52 juta. Setelah lebih daripada setahun, akhirnya pasu itu dijual semula dengan harga RM 328 juta. Pemilik asal pasu itu hanya menerima RM 119 juta sahaja daripada penjualan pasu itu.

Rujukan:

1. The Richest

2. Just Collecting

3. Vantiques




Hakcipta iluminasi.com (2017)