Kredit foto: Instagram @neelofa & Instagram @zahnita
Pelakon dan pengacara Neelofa memahami mesej yang cuba disampaikan Zahnita Wilson apabila model itu dengan lantang mengkritiknya di laman sosial baru-baru ini.
Neelofa, 30, bagaimanapun berkata, dia berharap mentornya sewaktu Dewi Remaja itu menggunakan medium yang lebih sesuai untuk menegur daripada membuat kenyataan secara terbuka di media sosial.
“Saya tidak ambil hati dengan ‘posting’ (hantaran) yang dibuat Zahnita kerana saya melihat isu ini dari sudut positif. Namun, lebih manis sekiranya dia menegur secara berdepan atau menerusi DM (direct message) di Instagram.
“Bila saya tengok (komen Zahnita), saya tidak marah sebaliknya berasa pelik tapi saya faham mesej yang cuba disampaikannya itu. Saya juga suka apabila ada rakan artis yang sama-sama mengingatkan mengenai isu yang melanda dunia supaya saya menjadi lebih peka dengan sesuatu perkara itu,” katanya yang hanya menyedari komen ditulis Zahnita melalui rakan.
Dalam pada itu, Neelofa akui tidak mempunyai masalah bertemu dengan model itu pada masa akan datang bagi menjernihkan keadaan.
Kredit foto: Instagram @zahnita
“Isu ini sebenarnya kecil saja dan ia menjadi tular kerana dia selebriti. Ada mesej yang cuba di sampaikan itu memang ada kebenarannya. Cuma mungkin aktiviti yang saya lakukan tidak sama dengan aktiviti yang diperjuangkannya.
“Biasalah kita hidup dalam zaman media sosial sekarang dan orang boleh kata apa saja. Mungkin dengan cara itu dia boleh menarik perhatian ramai,” katanya.
Terdahulu, Zahnita memuat naik paparan skrin di Instagram yang memperlihatkan Neelofa selaku wajah rasmi Swarovski.
Beliau menasihatkan pengacara Meletop itu supaya berhenti berangan, sebaliknya menggunakan populariti dimiliki untuk membantu golongan memerlukan.
Zahnita dikenali umum sebagai antara selebriti yang memperjuangkan kesedaran sejagat dan pemuliharaan alam semulajadi.
Sumber berita: Harian Metro