kolam paling dalam

Tidak ramai tahu akan kewujudan Y-40 The Deep Joy sebagai kolam renang paling dalam di dunia. Ramai lebih mengetahui tentang Nemo 33, sebuah kolam renang di Brussels, Belgium yang mempunyai kedalaman maksima 34.5 meter, bersamaan 113 kaki. Nemo 33 memegang rekod sebagai kolam paling dalam di dunia selama lebih 10 tahun, sejak dibuka pada 1 Mei 2004, hinggalah perasmian Y-40 pada 5 Jun 2014.

Hotel Terme Millepini, Lokasi Terletaknya Y-40 The Deep Joy

millepini terme hotel

Y-40 terletak di dalam taman di sebuah hotel 4 bintang di Montegrotto Terme, Padua, Itali, iaitu Hotel Terme Millepini. Terletak di kaki bukit Euganean Hills sejak tahun 1978, Hotel Terme Millepini adalah antara salah sebuah daripada 90 buah fasiliti spa termal  di daerah berkenaan. 

Di kawasan ini, air hujan daripada Lessini Mountains memperolehi haba dan garam mineral melalui pengalirannya merentasi Euganean Hills (yang asalnya gunung berapi). Air ini menjadi sumber berharga buat fasiliti perhotelan dan spa di kawasan Euganean Hills, terutamanya buat Hotel Terme Millepini kerana membolehkan mereka menyediakan air di kolam renang Y-40 pada suhu antara 32 hingga 34 darjah Celsius, membolehkan para perenang dan penyelam menggunakan sut renang, tanpa perlu memakai sut basah.

Y-40 The Deep Joy, Sebuah Impian Menjadi Kenyataan

emanuele boaretto pengasas y 40

Impian seorang kanak-kanak yang sangat meminati aktiviti menyelam telah berjaya memberi nyawa kepada Y-40. Sejak tahun 1980an, Emanuele Boaretto yang masih kecil menceritakan tentang idea pertamanya itu kepada ayahnya, Giuseppe. 

Idea tersebut terhasil daripada perniagaan keluarganya, iaitu Hotel Terme Millepini, di mana Emanuele membayangkan untuk membina sebuah kolam renang yang sangatdalam buat para penyelam skuba, dengan menggunakan air suhu panas daripada Euganean Hills bagi membolehkan aktiviti tersebut dilakukan walaupun ketika musim sejuk. 

Krisis ekonomi sekitar tahun 2009 memaksa spa-spa di daerah Euganean untuk membuat keputusan yang berani dan berpandangan jauh demi kelangsungan perniagaan pelancongan mereka. Buat arkitek Emanuele Boaretto, beliau mula mempertimbangkan semula idea kolam skubanya itu, dan membuat keputusan untuk menjadikannya suatu kenyataan. Beliau membina kolam terdalam di dunia itu dalam masa cukup setahun, yakni 365 hari. 

pembinaan kolam terdalam dunia y40

Emanuele berasa sangat bangga dengan kejayaan projek ini kerana dihasilkan dengan melibatkan hanya anak bangsa Itali. Pada 5 Jun 2014, di Montegrotto Terme, setengah jam dari Venice, kolam paling dalam di dunia, Y-40 The Deep Joy dibuka secara rasmi dan menjadi yang pertama, dan satu-satunya fasiliti buat penyelam yang menggunakan air terma (bersuhu suam / panas).

Sejak pembukaannya pada tahun 2014, jumlah pelancong ke Montegrotto Terme mula meningkat, yang datang daripada serata dunia. Ini secara tidak langsung memberi kesan positif kepada ekonomi tempatan. 

Perincian Kolam Renang Y-40 The Deep Joy

y40 kolam paling dalam dunia

Y40 mempunyai kedalaman 42.15 meter atau 138 kaki, menjadikannya kolam terdalam di dunia. Kolam ini mengandungi 4,300 meter padu air terma pada suhu antara 32 hingga 34 darjah Celcius dan turut mempunyai gua bawah air dan terowong telus tergantung di mana pengunjung boleh melalui berjalan melaluinya.

Y40 mempunyai beberapa platform pada kedalaman berbeza, antara 1.3 meter hingga 12 meter, sebelum dindingnya mengecil menjadi corong dalam sehingga 40 meter ke bawah. Hotel ini juga menawarkan tiket selaman bebas dan skuba.

Selain daripada aktiviti renang dan skuba, Y-40 turut menjadi lokasi latihan keselamatan dan menyelamat buat anggota beruniform seperti tentera dan polis. 

Y-40 The Deep Joy: Kolam Kemasyuran

enzo maiorca rasmi y40

Y-40 dianggap sebagai kolam paling penting di dunia bagi aktiviti selaman bebas, dan ramai penyelam terkenal yang memegang rekod dunia pernah menyelami kolam ini sejak pembukaannya. 

Antaranya termasuklah Enzo Maiorca, manusia pertama yang berjaya melakukan selaman bebas sedalam 50 meter, dan kemudiannya 100 meter. Beliau merasmikan kolam Y40 bersama anak perempuanya yang juga pemegang rekod selam, iaitu Patrizia Maiorca. 

Selain Maiorca, Y40 turut pernah dilawati oleh Umberto Pelizzari, satu-satunya pemegang rekod dalam semua disiplin apnea. Terdapat ramai lagi penyelam dunia yang memilih Y-40 sebagai lokasi selaman mereka, termasuklah Andrea Zuccari dan Alexey Molchanov. 

Lagi Gambar Y-40 The Deep Joy

y40 the deep joy

y40 deep joy

y40 hanya untuk yang berani

gambar y40

deep joy sangat dalam

y40 the deep joy kolam terdalam dunia 75

Sumber:

  1. y-40.com
  2. independent.co.uk
  3. edition.cnn.com


Hakcipta iluminasi.com (2017)