Kajian terbaru yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Institut Pengajian Pendidikan Ontario mendapati kanak-kanak berusia 4-6 tahun lebih terkesan dengan cerita yang mempunyai karakter manusia berbanding karakter haiwan antropomorfik (menyerupai manusia).

hqdefault 24

Kita sering melihat di mana-mana media seperti buku, filem, permainan video dan sebagainya yang menggunakan watak kartun atau karakter haiwan yang menyerupai manusia. Haiwan-haiwan ini boleh bercakap, memakai baju dan melakukan aktiviti harian seperti seorang manusia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Watak-watak ini kebiasaannya sangat menarik dan lucu, tetapi sebenarnya ia hanyalah cerita kosong yang tidak begitu bermakna.

Kajian yang diketuai oleh Dr. Ganea itu mendapati kanak-kanak tidak dapat membandingkan diri mereka dalam suasana realiti dengan watak-watak ini, jadi mereka tidak akan mempelajari apa-apa pengajaran atau nilai moral daripada jalan cerita tersebut.

Sebaliknya, jika sesuatu cerita itu memaparkan watak dan karakter seorang manusia, maka kanak-kanak akan lebih mudah membuat tafsiran yang lebih realistik dan mengaplikasikan pengetahuan atau nilai murni yang dipelajari ke dalam kehidupan seharian.

spongebob dalam bentuk manusia

Menurut kajian yang diterbitkan dalam Developmental Science tersebut, sekumpulan kanak-kanak dibacakan buku cerita berlainan yang menggunakan watak manusia dan juga watak haiwan yang menyerupai manusia. Setiap buku mempunyai nilai moral yang sama iaitu mengenai amalan berkongsi dengan orang lain. Tabiat berkongsi setiap kanak-kanak dinilai sebelum dan selepas buku dibacakan.

Secara keseluruhan, kanak-kanak tadika yang mendengar cerita yang menggunakan karakter manusia mula berkongsi barang mereka dengan orang lain selepas cerita tamat. Manakala kanak-kanak yang mendengar cerita dengan watak haiwan antropomorfik pula masih tidak mahu berkongsi dengan sesiapa.

Menurut Dr. Ganea, keputusan kajian mendapati media dan bahan yang menggunakan watak realistik memberikan kesan besar kepada tingkah laku sosial kanak-kanak.

Ini disebabkan kanak-kanak boleh mengaitkan watak itu dengan diri mereka sendiri dan menerapkan nilai tersebut dalam kehidupan sebenar.

Jadi, sekiranya anda merupakan seorang pendidik atau ibu bapa, pilihlah bahan bacaan dan tontonan dengan sebaik-baiknya untuk mendidik anak-anak dengan nilai adab dan akhlak.

Rujukan: Wiley Developmental Science




Hakcipta iluminasi.com (2017)