Ada sesetengah ibu bapa yang mengalami dilema "nak hantar anak ke tadika mana?" kerana lambakan pilihan yang ada. Ada yang kata perlu hantar ke tadika English medium supaya anak-anak lebih pandai bertutur dalam bahasa Inggeris. Ada yang kata hantar Tabika Kemas je lah, bukannya nak belajar sangat pun. Jadi, mana satu pilihan anda?

Ikuti langkah-langkah berikut sebelum anda membuat pilihan.

tadika anak

Langkah #1 - Kenalpasti perkara asas

Sebelum anda mula kusut dalam membuat keputusan, fikirlah perkara yang asas terlebih dahulu. Kenalpasti bagaimana persekolahan anak anda itu nanti akan mempengaruhi hidup anda. Boleh mula cuba dengan menjawab soalan-soalan berikut:

  • Adakah sekolah perlu berada dekat dengan rumah?
  • Adakah sekolah perlu berada dekat dengan tempat kerja?
  • Adakah sekolah perlu menawarkan khidmat mengasuh kanak-kanak dari pagi sehingga tengah hari, atau sehingga ke petang?
  • Berapakah jumlah yuran maksimum yang mampu dibayar setiap bulan?

tadika bagus untuk anak

Langkah #2 - Ketahui Jenis Kurikulum Tadika

Pendekatan Tradisional

  • Lebih menjurus kepada akademik.
  • Kanak-kanak akan diajar tentang cara pengiraan, pembacaan dan penulisan.
  • Tujuannya agar kanak-kanak tidak terkejut dengan cara pembelajaran di sekolah rendah.
  • Guru menerapkan pengajaran berstruktur kepada pelajar melalui aktiviti bercerita, seni dan kraf serta rutin bermain.
  • Kanak-kanak juga perlu mematuhi kurikulum yang disediakan oleh tadika.

Kaedah Montessori

  • Bertumpu kepada keperluan perkembangan penting kanak-kanak.
  • Elemen yang diterapkan ialah kebebasan tanpa batasan dan persekitaran yang lengkap dan teratur yang dapat memastikan kanak-kanak terdedah kepada pengalaman dan material yang diperlukan.
  • Kaedah ini dapat meningkatkan kemahuan semulajadi kanak-kanak untuk belajar dan mengembangkan keupayaan mereka dalam persekitaran yang sempurna.
  • Kanak-kanak dilayan sama seperti orang dewasa di mana mereka diberikan hak untuk memilih aktiviti yang ingin mereka pelajari seperti membaca, menulis, mengira dan menambah.
  • Kanak-kanak turut didedahkan dengan kehidupan realiti sebagai salah satu proses pembelajaran mereka seperti diajar cara membutangkan baju, mengikat tali kasut, membasuh pinggan dan meletakkan baju kotor.

tadika montessori anak

Pendekatan Waldorf

  • Kanak-kanak diajar menjalani rutin kehidupan seperti memasak dan berkebun.
  • Pelajar diletakkan dalam satu kelas dan menjalani aktiviti pembelajaran dengan cara kreatif seperti membaca, berlakon dan menyanyi.
  • Menggunakan sistem penggredan dan penggunaan media.
  • Guna alat bantu mengajar seperti komputer dan bahan elektronik untuk menarik minat pelajar.
  • Tidak menggunakan bahan akademik jadi tiada kerja rumah akan diberikan kepada kanak-kanak.

Pendekatan Reggio Emilia

  • Pendekatan Reggio Emilia percaya bahawa kanak-kanak berupaya, penuh keinginan dan mampu untuk membesar serta membentuk pengetahuan mereka sendiri.
  • Lebih fokus kepada peluang untuk menyelesaikan masalah melalui pemikiran kreatif dan eksplorasi.
  • Salah satu aktiviti yang dijalankan di sini ialah guru akan berbual dengan kanak-kanak secara perseorangan atau kumpulan kecil dan meminta pendapat mereka tentang sesuatu topik yang diberikan.
  • Kanak-kanak akan belajar melalui interaksi dengan orang-orang lain termasuk ibu bapa, kakitangan dan rakan-rakan.

Langkah #3 - Buat Kajian

Setelah anda berjaya mempunyai sedikit idea tentang masa depan anak anda, guna cara berikut untuk membantu anda mengecilkan lagi skop dan pilihan:

  • Hubungi ibu bapa lain : tanyalah pada rakan, jiran, doktor anak anda atau sesiapa sahaja di kawasan berhampiran. Tanya pada mereka tentang cadangan dan nasihat dalam memilih tadika yang bagus untuk anak. Lebih bagus sekiranya mereka sudah mempunyai pengalaman sendiri menghantar anak ke tadika di sekitar kawasan anda.
  • Internet : cuba mulakan carian mengenai tadika yang anda ingin dapatkan maklumat. Kebanyakan tadika kini mempunyai group atau page di Facebook atau anda boleh juga melayari laman web rasmi. 

website tadika

Langkah #4 - Lawatan

Sekarang anda mungkin sudah makin mengecilkan pilihan kepada cuma dua atau tiga buah tadika sahaja. Jadi, sekarang bolehlah pilih masa yang bersesuaian untuk melawat ke tadika-tadika tersebut seperti pada Hari Terbuka tadika. Anda akan mengetahui banyak perkara hanya dengan layanan pertama oleh staf ketika menyambut anda. First impression counts!

open day tadika

Walau bagaimanapun, ketika lawatan, tanya dalam hati soalan-soalan berikut:

  • Adakah kedatangan saya dialu-alukan di sini?
  • Adakah anak saya nampak berminat dengan apa yang mereka tawarkan?
  • Adakah kanak-kanak di sini kelihatan gembira?
  • Bagaimanakah interaksi antara guru dan pelajar?
  • Adakah persekitaran tadika bersih dan selamat?

Sediakan juga beberapa soalan untuk ditanya kepada pihak tadika. Antara soalan yang biasa ditanyakan oleh ibu bapa adalah:

  • Apakah kadar pusing ganti (turnover rate) pekerja di situ?
  • Adakah semua guru mempunyai kelulusan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak?
  • Bagaimanakah tadika itu menguruskan hal ehwal disiplin?
  • Apakah prosedur keselamatan yang digunakan untuk menghantar dan mengambil anak?
  • Adakah tadika itu berlesen dan mempunyai kurikulum yang diiktiraf kerajaan?
  • Bagaimanakah bayaran bulanan dibuat dan berapakah yuran yang dikenakan?
Sekiranya anda masih belum berpuashati dengan jawapan yang diberikan, bolehlah cuba gunakan checklist yang lebih komprehensif seperti ini : PreKnow Checklist. Mudah-mudahan anda dapat meyakinkan diri bahawa tadika pilihan anda itu adalah yang terbaik buat si comel anda.

Harap info ini memberi manfaat kepada ibu bapa yang masih keliru. Selamat menempuhi alam persekolahan baru buat adik-adik! Ibu bapa jangan nangis, anak dah besar dah :'D

hari pertama tadika


tags : , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)