Gloria Ramirez adalah seorang wanita berusia 31 tahun yang menderita akibat kanser. Selain mendapat kanser yang kronik pada usia yang agak muda, tiada apa yang luar biasa mengenai wanita itu. Namun, insiden yang berlaku setelah dia dimasukkan ke dalam wad kecemasan membuatkan doktor dan para penyelidik bingung.

Diberi jolokan "Wanita Toksik", kakitangan hospital yang terdedah pada tubuhnya menjadi sakit dan perlu mendapatkan rawatan. Kejadian itu begitu aneh sehingga ia menjadi inspirasi untuk banyak rancangan televisyen seperti The X-Files, Grey's Anatomy, The New Detectives dan Law & Order. Berikut adalah butiran kejadian misteri yang berlaku kepada Gloria Ramirez.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada sekitar jam 8.15 malam pada 19 Februari 1994, Gloria Ramirez telah dimasukkan ke wad kecemasan di Hospital Besar Riverside, California selatan, kerana dia mengalami permasalahan kesan daripada kanser pangkal rahim yang dialaminya.

hospital riverside

Sewaktu dia sampai di bilik kecemasan, dia berada dalam keadaan bingung dan sedang menderita denyutan jantung serta pernafasan yang tidak normal. Pasukan perubatan telah melakukan beberapa protokol asas seperti memasukkan ubat yang mempunyai kesan pantas, Valium, Versed dan Ativan.

Agen seperti Lidocaine dan Bretylium juga diberikan untuk menstabilkan semula denyutan jantungnya. Apabila keadaan jelas menunjukkan bahawa Gloria tidak bertindak balas dengan ubat yang diberikan, pasukan perubatan cuba pula menggunakan defibrillator untuk merangsang kembali denyutan jantungnya.

Ketika itu pasukan perubatan yang merawat Gloria mendapati terdapat kilauan berminyak di bahagian dadanya. Mereka juga perasan bau seakan buah atau bawang putih keluar daripada mulut Gloria.

kisah wanita toksik

Apabila mereka cuba mengambil sampel darah dari lengannya, mereka perasan bau seakan ammonia datang daripada tiub dan terdapat zarah kecil berwarna krim pada darah Gloria itu. Tidak lama selepas itu, tiga daripada pasukan perubatan yang merawatnya berasa kurang sihat dan pengsan seorang demi seorang.

Tanpa disedari, seramai 23 orang kakitangan hospital yang berada di situ pada waktu itu menjadi sakit akibat terdedah kepada toksik sehingga 5 orang daripadanya terpaksa ditahan di hospital untuk rawatan lanjut.

Kejadian itu pada mulanya disedari oleh Susan Kane, jururawat yang mengambil darah Gloria. Dia pengsan sejurus menyerahkan jarum suntikan kepada seorang lagi petugas, Julie Gorchynski.

julie gorchynski

Julie Gorchynski

Gorchynski yang membawa jarum itu keluar dari bilik mula berasa mual dan pening. Setelah dia meninggalkan jarum suntikan itu di meja jururawat, Gorchynski juga jatuh pengsan. Orang yang seterusnya pengsan ialah ahli terapi pernafasan, Maureen Welch yang sedang membantu Gloria bernafas menggunakan topeng pernafasan injap.

Tidak lama selepas itu, beberapa lagi orang kakitangan mengatakan bahawa mereka mula berasa tidak sihat. Semua orang diarahkan untuk mengosongkan bilik kecemasan dan keluar ke tempat letak kereta hospital. Di luar, kakitangan hospital di bahagian lain mula merawat pesakit dan rakan sekerja mereka yang terkesan oleh kejadian itu.

Pakaian kakitangan wad kecemasan telah ditanggalkan dan dibuang ke dalam beg plastik. Sebahagian kecil kakitangan yang kurang terkesan dan masih bertahan dilihat sedang cuba menstabilkan Gloria Ramirez. Pada jam 8.50, setelah 40 minit percubaan untuk melakukan CPR dan menstabilkan Gloria gagal, dia diisytiharkan meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang.

kompaun berbahaya dimethyl sulfate

Antara ramai yang dijangkiti, Gorchynski adalah yang paling teruk terjejas. Dia mengalami gegaran, apnea, hepatitis, pankreatitis dan nekrosis avascular dalam lututnya, suatu keadaan di mana tisu tulang tidak mendapat cukup darah dan mula mati. Gorchynski terpaksa dirawat selama dua minggu dalam rawatan rapi dan berjalan menggunakan tongkat selama dua bulan.

Bagi Susan Kane pula, dia mengalami sindrom kegagalan anggota badan dan suhu badan yang meningkat. Seorang jururawat lagi iaitu Sally Balderas yang membantu mengalihkan Gloria ke dalam bilik pengasingan mula merasakan seperti sesuatu sedang membakar kulitnya. Keadaannya bertambah teruk dan perlu diletakkan dalam pemerhatian rapi.

Pada jam 11 malam, pasukan Hazmat daripada daerah Riverside tiba dan mula mengesan toksin yang tidak diketahui puncanya namun gagal. Kemudian seorang ahli patologi dari Pejabat Koroner Riverside yang berpakaian kalis toksik telah mengambil sampel darah, tisu, udara dari beg tubuh dan peti putih di mana mayat Gloria disimpan.

petugas hazmat

Bedah siasat berterusan selama beberapa hari dan beberapa hipotesis telah dikemukakan. Salah satu penjelasan yang logik ialah Gloria Ramirez mungkin menggunakan dimethyl sulfoxide (DMSO) di rumah sebagai ubat penahan sakit sehingga mengakibatkan kegagalan ginjal. Kemudian DMSO itu bertukar kepada DMSO2 apabila jururawat mengenakan topeng oksigen kepada Gloria dan sekali lagi bertukar pula kepada DMSO4 ketika menggunakan defibrilator, menjadikannya satu gas beracun.

Pejabat Koroner Riverside telah menyerahkan kertas siasatan itu ke Laboratorium Nasional Lawrence Livermore, pihak yang mengeluarkan hipotesis berkenaan DMSO itu. DMSO adalah pelarut yang digunakan sebagai penyahgris yang kuat dan kadang-kala digunakan sebagai penahan sakit. 

Bahan ini dijual dalam bentuk gel di kedai perkakas dan dikatakan mempunyai bau seakan bawang putih, menjelaskan bau pada mulut Gloria. Semasa bahan itu dalam bentuk DMSO2 pula, ia diketahui akan menjadi seakan kristal ketika terdedah pada suhu bilik, menerangkan kehadiran zarah dalam sampel darah Gloria yang diambil.

Akhirnya, kejutan elektrik semasa menggunakan defibrillator mungkin mengubah DMSO2 kepada DMSO4, pendedahan yang boleh menyebabkan kemudaratan kepada mereka yang berada di sekeliling. Walaupun teori-teori yang juga dicadangkan, namun hipotesis DMSO ini adalah yang paling tepat.

Rujukan:

1. Healthy Way

2. Skeptoid

3. Discover Magazine

4. Curiosity




Hakcipta iluminasi.com (2017)