Setiap kali anda melihat atau menonton insiden di mana seseorang dapat ditangkap sedang melakukan kesalahan, majoriti pesalah biasanya jarang akan mengakui kesalahan yang mereka lakukan - walaupun ditangkap secara terang-terang.
Tak kiralah ditangkap berkhalwat, mencuri, meragut, membohongi seseorang atau apa saja jenis kesalahan; susah untuk pelakunya mengaku mereka bersalah. Sebaliknya bermacam jenis penafian, hujah dan alasan akan disebut mereka tatkala ditangkap.
BESARKAN TEKS A- A+
Ada juga yang mampu berlagak seolah mereka tak salah apa-apa.
Dalam situasi sebegini, apa sebenarnya yang berlaku? Salah satu fenomena yang cukup membingungkan kita, kenapa pesalah yang ditangkap jelas dengan bukti yang tidak lagi boleh, masih menafikan tindakan mereka?
Pesalah secara automatik akan takut akibat yang boleh berlaku
Punca utama kenapa ramai pesalah memilih untuk menafi atau menidakkan sebarang tindakan mereka, adalah rasa gementar dan takut akan akibat yang boleh timbul selepas itu.
Prospek akan diserang gemurung dek bimbang akan dihukum sama ada dari segi undang-undang, profesional atau sosial, yang boleh menjadi kekangan masa depan kepada seseorang dalam bermacam aspek.
Kebimbangan yang boleh melibatkan hukuman seperti denda atau penjara dan yang lebih penting kerosakan kepada reputasi terutamanya dalam masyarakat yang sangat menghargai kehormatan dan kedudukan sosial dihargai tinggi, menjadi alasan utama kenapa ramai pesalah memilih untuk menafikan.
Justifikasi syok sendiri
Dalam sesetengah situasi berbeza, kita dapat melihat situasi unik di mana pesalah mempunyai sudut pandangan yang sangat berbeza dengan umum terhadap tindakan mereka, membentuk sistem justifikasi kendiri yang songsang.
Yang menyedihkan, mereka yang duduk dalam kelompok ini benar-benar percaya justifikasi mereka benar - walaupun mereka yang melakukan kesalahan.
Orang sebegini mempunyai pendirian yang melihat diri mereka sendiri sebagai individu bermoral, walaupun mereka terlibat dalam tindakan yang bercanggah dengan norma masyarakat.
Rasa kurang senang atau kurang selesa yang mereka hadapi akibat tertangkap, dilihat sebagai sesuatu situasi yang menimbulkan kegusaran dan perlu ditangani mengikut perspektif pemikiran mereka.
Untuk menyelesaikan situasi sebegini, individu tersebut akan bermatian membenarkan tindakan mereka, meyakinkan orang lain bahawa tindakan mereka dibenarkan mengikut faktor keadaan.
Membentuk psikologi yang melindungi diri
Penafian atau menafikan dalam kajian psikologi, juga boleh dilihat sebagai satu bentuk mekanisme pertahanan diri, yang diamal secara automatik sebagai satu strategi tidak sedar untuk menguruskan ego dan harga diri.
Dalam konteks pesalah, penafian boleh menjadi cara seseorang individu untuk melindungi diri atau menjauhkan diri mereka dari realiti yang seakan-akan mahu menyerang atau menyalahkan tindakan mereka.
Bagi beberapa kes unik, kadang-kadang penafian boleh berasal dari ketidaksedaran atau ketiadaan pemahaman seseorang terhadap sesuatu isu. Individu itu mungkin tidak memahami sepenuhnya implikasi tindakan mereka atau mengapa tindakan itu dianggap salah.
Situasi sebegini biasanya berlaku pada kanak-kanak atau individu dewasa yang kurang mendapat pendidikan moral atau sosial semasa membesar.
Hanya mahu memanipulasi keadaan
Dalam kes lebih berat, pesalah boleh melihat sebarang bentuk penafian boleh membawa faedah besar kepada dirinya. Jadi mereka menggunakan penafian sebagai satu bentuk manipulasi yang mengawal naratif perjalanan kes.
Dengan menafikan tindakan mereka walaupun sedar mereka bersalah, individu sebegini mampu mengawal perspektif pihak lain, mempengaruhi bagaimana orang lain melihat apa yang telah terjadi.
Taktik sebegini kan sering dilihat diamalkan dalam politik dan media, di mana penafian digunakan untuk membentuk atau mengawal pendapat orang awam - walaupun sudah dibicarakan, dibuktikan salah oleh proses undang-undang.
Tak menghairankan bagaimana manusia secara nalurinya kurang cenderung untuk mengaku salah, kerana kita mahu melindungi dan mempertahankan reputasi yang kita ada. Kita sendiri bagaimana?
Adakah anda salah seorang yang mudah mengaku kesalahan sendiri atau anda pun sama dengan mereka yang bukan saja sukar nak mengaku salah walaupun ditangkap red-handed, bahkan sedaya upaya mahu menterbalikkan naratif agar yang menangkap anda pula dilihat bersalah? Walau apa pun pilihan anda, kami tak nak masuk campur.