Selama beratus-ratus tahun lamanya, robot dianggap sebagai satu ciptaan yang mampu memajukan kehidupan manusia. Malah, Leonardo da Vinci juga dikatakan pernah melukis lukisan robot berbentuk manusia seawal tahun 1495 lagi.
Bagi kebanyakan daripada kita, robot digambarkan sebagai sebuah mesin yang mempunyai ciri fizikal seperti wajah dan badan seperti manusia tetapi menggunakan suara komputer dan mampu melakukan pelbagai perkara seperti manusia.
BESARKAN TEKS A- A+
Realitinya, definisi robot ini lebih luas. Robot sebenarnya adalah mana-mana mesin yang mampu melaksanakan perkara atau tindakan yang kompleks secara automatik, terutama sekali yang boleh diprogram oleh komputer. Dalam dunia perubatan juga, bantuan robot dijangka dapat merevolusi dan menambahbaik kemudahan sedia ada.
Kesilapan manusia dikatakan telah menyebabkan kematian ribuan manusia setiap tahun. Dalam dunia perubatan, ketepatan membuat sesuatu pembedahan adalah sangat kritikal bagi menyelamatkan nyawa manusia. Dalam sesetengah kes, bantuan robot didakwa dapat mengurangkan kemalangan terutamanya bagi kes yang mempunyai margin risiko yang rendah.
Penggunaan robot pertama yang didokumentasikan untuk membantu prosedur pembedahan dicatatkan pada tahun 1985 dengan penggunaan mesin PUMA 560 dalam bidang neurosurgical biopsy. Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi 5 buah robot yang telah merevolusi dan menambahbaik sistem perubatan sedia ada.
1. da Vinci Surgical System
Sistem Pembedahan da Vinci adalah sistem pembedahan robotik yang dicipta oleh sebuah syarikat dari Amerika Syarikat, Intuitive Surgical. Sistem da Vinci terdiri daripada konsol bedah yang lazimnya berada di dalam bilik yang sama dengan pesakit, serta tempat pembedahan pesakit dengan empat lengan robot interaktif yang dikawal dari konsol.
Lengan robot ini akan meniru pergerakan pakar bedah yang mengawalnya menggunakan konsol. Sejak bertahun-tahun, sistem ini telah mengurangkan kesilapan manusia kepada hampir sifar. Sistem ini telah menjadi sangat popular sepanjang dekad yang lalu dan lebih daripada 1.5 juta pembedahan telah dilaksanakan di seluruh dunia menggunakan sistem ini.
2. CyberKnife
CyberKnife adalah satu lagi alternatif yang tidak memerlukan pembedahan untuk merawat kedua-dua tumor kanser dan bukan kanser di mana saja di dalam badan. Sistem CyberKnife adalah sistem radiosurgikal pertama dan satu-satunya di dunia yang direka untuk merawat ketumbuhan di seluruh badan yang tidak melibatkan pemotongan mana-mana bahagian badan.
Pertama, mesin ini akan mengesan kedudukan tumor dalam badan. Kemudian, mesin ini akan menentukan dos radiasi yang diperlukan mengikut sebesar mana saiz ketumbuhan itu. Mesin ini merupakan antara revolusi terbaru untuk rawatan kanser namun kosnya yang terlalu mahal mengehadkan aksesnya kepada orang ramai.
3. The HeartLander
Pakar bedah yang ingin melakukan prosedur tekanan jantung tanpa risiko retakan dada atau anestesia berbahaya pastinya akan berminat dengan robot ini. The HeartLander adalah sebuah robot yang kecil yang dapat bergerak di sepanjang permukaan hati manusia di bawah kendalian seorang pakar bedah.
Kelebihan terbesar peranti ini ialah kosnya. Ia boleh didapati dengan harga yang sangat murah dan juga dibuang selepas penggunaannya. Peranti ini masih belum menerima lampu hijau daripada pihak berkuasa yang berkenaan namun ujian terhadap haiwan menampakkan hasil yang positif.
4. Battlefield Extraction Assist Robot (BEAR)
BEAR merupakan satu robot yang mampu membawa keluar tentera yang cedera dari zon bahaya seperti medan perang, kawasan nuklear, kontaminasi bahan kimia dan bangunan runtuh. Ini akan menghapuskan sebarang risiko tambahan kepada manusia untuk menyelamatkan manusia lain yang tercedera.
Robot ini boleh dikendalikan daripada jarak jauh dan dilengkapi dengan banyak sensor canggih. Robot ini mampu melintasi kawasan berhalangan dengan mudah dengan bantuan gabungan gyroskop dan motor kawalan komputer yang memberikan robot kestabilan.
5. DEKA
DEKA merupakan sebuah lengan robot yang dibangunkan oleh Dean Kamen yang juga merupakan pencipta Segway. Lengan ini akan membolehkan indivdu yang kehilangan anggota badan untuk mengawal lengan prostetik ini dengan hanya menggunakan fikiran sendiri.
Ia pada mulanya direka untuk memberikan penggantian yang lebih baik untuk askar yang kehilangan anggota yang kembali ke negara asalnya sebagai veteran perang. Lebih menarik, ianya turut mendapat pengiktirafan daripada FDA, seterusnya membolehkan teknologi ini dijual secara komersial.
Kredit: