Kredit foto: Instagram Sasha Saidin

Anggota kumpulan Elite, Sasha Saidin tidak menyangka video persembahan lagu Manisnya Senyumanmu sewaktu persandingan kedua Norman Hakim dan Memey Suhaiza serta Abby Abadi dan Mohd Faizal Zakaria menjadi tular bulan lalu.

Ini berikutan mereka langsung tidak merancang persembahan berkenaan.

Sambutan hangat peminat membuatkan salah seorang anggota kumpulan itu, Linda Rafar menangis!

“Sebenarnya persembahan itu berlaku secara spontan, kami naik ke pentas pun atas permintaan penganjur dan persetujuan Abby.

“Memandangkan kami sudah lama tak buat persembahan, memang rasa sangat teruja.

"Dah macam 'reunion' Elite dan tak sangka pula persembahan itu tular di media sosial.

“Paling lucu adalah reaksi Linda. Dia ketawa hingga menangis disebabkan terlalu gembira dengan penerimaan peminat,” katanya memetik laporan portal Astro Gempak.

Sasha membuat kenyataan tersebut di Majlis Pelancaran Drama Mini Bersiri Online Mata Cinta yang diadakan di TGV, One Utama, Petaling Jaya, pada Isnin.

Sementara itu, Sasha berkata, dia dan anggota Elite lain sedang dalam perancangan untuk membuat projek kemunculan semula.

Namun penyertaan kali ini tidak melibatkan Abby kerana bekas selebriti itu enggan kembali ke dunia hiburan.

“Sebenarnya saya pun sedang berusaha membuat perancangan untuk menyatukan kembali Elite, ibaratnya seperti kemunculan semula.

“Semua anggota kumpulan telah bersetuju namun ‘comeback’ ini mungkin tanpa Abby kerana dia memang tidak mahu menyanyi.

“Abby juga sudah bertahu awal-awal, jadi tidak ada sebarang masalah atau perasaan benci yang timbul. Kami hormati keputusan antara satu sama lain,” dedahnya.

Elite adalah kumpulan wanita popular sekitar era 90-an dan merupakan artis rakaman KRU Records yang pertama. 

Selain Sasha, anggota Elite lain yang masih menyertai kumpulan itu ialah Azza, Watie Sadali dan Linda Rafar.

Dalam perkembangan terkini, Sasha baru sahaja menerima tiga buah lagu daripada seorang komposer dan dalam peringkat pemilihan single yang sesuai menerusi perbincangan bersama anggota lain.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)