Di Malaysia, produk-produk pencerahan kulit sentiasa mendapat sambutan daripada orang ramai terutamanya kaum wanita. Hal ini disebabkan obsesi orang Malaysia untuk memiliki kulit putih umpama masyarakat Barat. Malah, ada yang tidak berfikiran panjang untuk mencuba segala jenis produk di pasaran tanpa meneliti isi kandungan produk tersebut.

Di Jamaica, masyarakatnya juga mempunyai obsesi yang kuat terhadap produk pencerahan kulit. Bagi kebanyakan masyarakatnya yang berkulit gelap atau hitam, memiliki warna kulit coklat yang lebih cerah menjadi impian bagi kebanyakan wanita. Bagi mereka, itulah warna ideal bagi setiap wanita yang cantik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Penggunaan model-model berkulit cerah dalam iklan komersil menyebabkan masyarakat turut memasang impian untuk mempunyai kulit cerah. Bagi mereka, berkulit cerah memudahkan mereka mendapat pekerjaan serta dipandang tinggi oleh masyarakat.

Di Jamaica, obsesi terhadap pencerahan kulit begitu membimbang. Malah, kebanyakanya sudah menggunakan produk pencerahan kulit pada usia yang begitu muda, seawal usia 14 tahun. Walaupun menyedari akan bahaya penggunaan produk kecantikan yang mengandungi bahan-bahan meragukan ini, ianya sama sekali tidak menghalang mereka menggunakannya.

Bahaya proses pencerahan kulit

produk pencerahan kulit

Bagi kebanyakan wanita yang terlalu obses dengan rawatan pencerahan kulit, mereka biasanya membeli produk berbentuk krim untuk disapu pada muka. Produk ini biasanya diimport daripada Afrika Barat dan seringkali mengandungi bahan dan kandungan yang meragukan.

Ada di antara produk pencerahan kulit ini mengandungi hydroquinone yang sudah diharamkan di Jepun, Australia dan kebanyakan negara di dunia. Penggunaan produk mengandungi hydroquinone bagi jangka masa panjang sebenarnya boleh menyebabkan ochronosis, iaitu kerosakan pada kulit yang menyebabkan kulit menjadi lebih gelap.

Pengharaman bahan hydroquinone dalam produk juga dikatakan kerana mempunyai kesan buruk kepada kesihatan. Di Amerika Syarikat juga, hanya kandungan hydroquinone di bawah 2% sahaja disahkan selamat oleh U.S. Food and Drug Administration. Di Kanada pula, penggunaan hydroquinone pula hanya terbatas untuk produk kecantikan rambut dan kuku sahaja dan mesti disertakan dengan label amaran.

Kandungan bahaya dan produk pencerahan kulit

produk kecantikan merbahaya

Keadaan bertambah malang apabila tiada undang-undang yang ketat dikuatkuasakan untuk penggunaan bahan-bahan terlarang dalam produk kecantikan. Di sepanjang jalan, anda akan dapati pelbagai produk berbentuk serbuk dan sapuan pada muka yang dijual daripada pelbagai jenama.

Menurut Dr. Richard Desnoes, iaitu Presiden Persatuan Dermatologi Jamaica, kebanyakan produk yang dibungkus ini juga tidak dilabelkan tentang bahan pembuatannya. Bagi yang terlalu obses dengan keinginan untuk mempunyai kulit yang cerah, biasanya mereka akan membeli produk yang diseludup masuk dari luar.

Produk-produk dari luar ini juga biasanya mengandungi merkuri, iaitu sejenis logam yang menghalang penghasilan melanin oleh kulit. Melanin inilah yang berfungsi untuk memberikan warna sebenar pada kulit. Selain itu, merkuri juga merupakan bahan yang bertoksik dan penggunaannya dalam kuantiti yang banyak dan tempoh yang lama boleh merosakkan struktur kulit dan menyebabkan kanser kulit.

Sementara itu, bagi penduduk Jamaica yang miskin tetapi masih mempunyai keinginan untuk mempunyai kulit cerah, biasanya mereka akan menggunakan bahan-bahan asas yang terdapat di rumah seperti campuran ubat gigi dan serbuk kari yang akan memberikan mereka kulit kulit cerah kekuning-kuningan. Walaupun kedua-dua bahan ini biasanya digunakan, penggunaannya untuk pencerahan kulit adalah tidak sesuai.

Golongan yang menentang proses pencerahan kulit

iklan produk pemutihan kulit

Budaya mencerahkan kulit secara ekstrim ini sememangnya membimbangkan pihak Kementerian Kesihatan Jamaica. Malah, terdapat peningkatakan pelbagai masalah kesihatan dan kulit akibat daripada penggunaan produk-produk pencerahan kulit yang meragukan ini.

Kerajaan Jamaica juga aktif melancarkan kempen kesedaran tentang bahaya penggunaan produk pencerahan kulit yang tidak mendapat pengesahan doktor. Penggunaan model-model berkulit cerah dalam iklan dan poster menyebabkan ramai penduduk yang memasang impian untuk mempunyai kulit yang cerah.

Bagi mereka, golongan berkulit cerah ini lebih dihormati dan mempunyai peluang kerjaya yang lebih cerah berbanding mereka yang berkulit gelap. Selain itu, golongan yang obses dengan pencerahan kulit ini juga sebenarnya ingin mempunyai kulit yang cerah bagi menarik minat golongan yang berlainan seks dengannya.

Sekiranya anda berminat, sila tonton dokumentari berdurasi hampir 24 minit di bawah ini:

Kredit:




Hakcipta iluminasi.com (2017)