Tragedi malang kapal penumpang British RMS Titanic yang karam pada 15 April 1912, adalah bencana maritim yang paling dahsyat pernah dicatatkan dalam sejarah moden.

Semasa pelayaran sulungnya dari Southampton, England, ke Bandaraya New York, kapal besar itu telah berlanggar dengan sebuah ketulan ais gergasi di Laut Atlantik Utara. Kejadian itu telah mengakhiri perjalanan pertama dan terakhir kapal itu, menyebabkan ia tenggelam 3,787 meter di dasar laut. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ketika kejadian itu berlaku, kira-kira 2,224 orang sedang berada di atas kapal RMS Titanic. Hanya 710 sahaja yang terselamat dan dihantar ke New York oleh RMS Carpathia, kapal yang memberikan respon kepada panggilan kecemasan Titanic.

titanic 2

Sebelum RMS Titanic berlepas dari Southampton, ia dianggap sebagai sebuah kapal yang tidak akan karam. Kapal itu dilengkapi dengan pelbagai peralatan keselamatan yang canggih seperti pintu masuk kedap udara dan ruang kedap air yang direka untuk memastikan kapal itu dapat bertahan sekiranya berlaku sebarang kemalangan.

Walau bagaimanapun, sistem keselamatan yang canggih itu tidak dapat mengelakkan kapal besar itu karam. Pelanggaran ketulan ais besar yang tidak dijangka itu menyebabkan kapal itu pecah, dipenuhi air dan tenggelam.

Namun, apa yang paling ketara mengenai kekurangan sistem keselamatan Titanic adalah kekurangan bot keselamatannya. Kekurangan ini bertanggungjawab terhadap sebahagian besar kematian para penumpangnya. Bot keselamatan yang ada ketika kapal itu mula berlayar hanya mampu menampung kira-kira 50 peratus penumpang sahaja.

Amaran William Thomas Stead

william thomas stead

William Thomas Stead

Anehnya, 26 tahun sebelum Titanic memulakan pelayaran sulungnya, seorang wartawan penyiasat British bernama William Thomas Stead telah cuba memberi amaran kepada orang ramai mengenai kelemahan sistem keselamatan dan kekurangan bot kecemasan yang dihadapi oleh kapal-kapal besar yang baru dibina.

Amarannya itu dimuatkan dalam sebuah kisah pendek bertajuk "Bagaimana Mail Steamer Karam di Tengah Lautan Atlantik, Oleh Salah Seorang Mangsa". Artikelnya itu telah diterbitkan di dalam akhbar Pall Mall Gazette pada bulan Mac 1886.

Cerita pendek itu mengisahkan tentang seorang penumpang British bernama Thomas yang menaiki kapal pelayaran yang baru dibina dan memulakan pelayaran sulungnya ke Amerika Syarikat.

Selepas berlepas, Thomas menyedari bahawa kapal itu hanya memiliki sejumlah kecil bot kecemasan. Jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung semua penumpang dan anak kapal sekiranya berlaku sebarang kemalangan.

Beberapa hari selepas berlayar, kapal Mail Steamer itu telah berlanggar dengan sebuah kapal pelayaran sesat yang lain. Disebabkan kabus tebal menghalang penglihatan, mereka hanya menyedari keadaan itu apabila kedua-dua buah kapal itu sudah terlalu dekat antara satu sama lain.

william thomas stead 2

Selepas berlakunya pelanggaran itu, kekecohan mula berlaku apabila penumpang dan anak kapal menyedari kapal yang mereka naiki itu mempunyai bot kecemasan yang tidak mencukupi untuk semua orang.

Daripada semua 916 orang yang berada di atas kapal Mail Steamer itu, hanya 200 orang sahaja yang berjaya menaiki bot kecemasan manakala lebih daripada 700 orang telah terkorban. Thomas berjaya menyelamatkan dirinya dengan terjun ke dalam air dan berenang ke arah salah satu bot kecemasan.

Kisah itu diakhiri dengan komen editorial ringkas daripada penulis yang menyatakan "Inilah apa yang mungkin akan berlaku sekiranya sesebuah kapal itu berlayar tanpa dilengkapi dengan bot kecemasan yang cukup. Walau bagaimanapun, kisah peringatan yang ditulis oleh William Thomas Stead itu tidak begitu mendapat perhatian ketika ia diterbitkan.

Bukan itu sahaja cerita yang diterbitkan oleh Stead. Dia telah menerbitkan sebuah lagi cerita pendek pada tahun 1892, 20 tahun sebelum kejadian Titanic karam.

Cerita keduanya itu dinamakan From the Old World to the New, mengisahkan tentang sekumpulan pekerja sebuah kapal yang membantu penumpang RMS Majestic, sebuah kapal fiksyen yang karam akibat bertembung dengan ketulan ais besar di Utara Atlantic. 

Ramalan dengan ketepatan yang menakutkan

titanic 3

Selepas berlakunya tragedi sebenar yang menimpa Titanic, orang ramai mula melihat kedua-dua cerita pendek yang dihasilkan oleh Stead itu sebagai satu ramalan dengan ketepatan yang menakutkan.

Walau bagaimanapun, kebetulan paling aneh yang menjadi perdebatan pada masa itu adalah fakta bahawa William Thomas Stead telah meninggal dunia dalam tragedi Titanic karam itu sendiri.

Pada pelayaran sulung Titanic itu, Stead telah menaiki kapal itu sebagai penumpang kelas pertama dan dia bertujuan untuk menghadiri persidangan damai di Carnegie Hall di New York. Menurut beberapa orang yang terselamat, Stead dalah seorang penumpang yang ceria dan kagum dengan ketelitian reka bentuk kapal itu.

john jacob astor

John Jacob Astor

Ketika kapal Titanic sedang tenggelam, salah seorang mangsa yang terselamat bernama Philip Mock mendakwa dia melihat Stead berpaut pada serpihan kapal dengan seorang penumpang lain bernama John Jacob Astor. Astor merupakan seorang pegawai tentera, usahawan dan penulis Amerika.

Mayat Stead tidak pernah ditemui. Dia tenggelam di dalam air sejuk di Antlantik bersama-sama dengan ramai lagi mangsa yang gagal mendapatkan tempat duduk dalam bot kecemasan Titanic. Amaran yang pernah ditulisnya hanya dipandang serius apabila kekurangan bot kecemasan terbukti menjadi penyebab utama kepada bencana paling buruk dalam sejarah maritim itu.

Rujukan:

1. Predicting The Tragedy

2. CBC

3. Titanic Memorials




Hakcipta iluminasi.com (2017)