Oleh pada 06 Dec 2019 kategori

Di hujung bahagian barat pesisir pantai Belgium, kira-kira 20 km dari timur Dunkirk, Perancis, terdapat tempat yang dinamakan Oostduinkerke yang bermaksud "Dunkirk Timur". Di bandar ini, terdapat satu tradisi unik yang digunakan oleh nelayan-nelayannya untuk mendapatkan hasil laut. 

Daripada menggunakan bot, nelayan-nelayan ini akan turun ke laut untuk menangkap udang dengan menunggang kuda. Nelayan di sini memburu sejenis udang khas iaitu Crangon crangon atau lebih dikenali sebagai Udang Kelabu yang merupakan makanan istimewa di Belgium.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tradisi unik Oostduinkerke

Penangkapan udang di sini biasanya dilakukan pada waktu cuaca panas (April hingga Oktober) apabila tiada ais di laut. Apabila air laut mulai surut, para nelayan turun menggunakan kuda mereka selama satu atau dua jam sebelum air surut sepenuhnya.

Nelayan akan melatih kuda dari jenis Branbant yang mempunyai purata berat sekitar 1,000 kg untuk menarik satu bajak khas untuk menangkap udang. Peralatan yang digunakan untuk aktiviti menangkap udang ini telah ditambah baik dari masa ke semasa bagi meningkatkan hasil tangkapan.

lukisan nelayan berkuda

Selain itu, nelayan berkuda pada hari ini juga menggunakan pakaian yang lebih sesuai bagi keselesaan mereka seperti kasut but tinggi dan baju sejuk tebal yang kalis air.

Dari masa ke semasa, nelayan berkuda ini akan naik ke pantai dan berehat seketika. Pada masa yang sama juga, mereka akan memeriksa perangkap dengan membuang ikan dan ketam yang tidak diingini dan menyimpan udang di dalam dua bakul yang diikatkan di sisi kuda.

Aktiviti nelayan ini paling aktif dan produktif pada musim panas. Ini bermakna, ramai pelancong juga berpeluang menyaksikan tradisi pengangkapan udang berkuda ini dilakukan.

Berterusan sejak ratusan tahun

Lebih kurang lima ratus tahun yang lalu pada abad ke-15, penangkapan udang berkuda ini telah diamalkan secara meluas di seluruh pesisir pantai di utara Perancis, Belanda dan juga di selatan England.

nelayan berkuda

Disebabkan permintaan udang yang semakin tinggi dan dikomersialkan, para nelayan pada hari ini akan terus turun ke laut menggunakan bot bagi menangkap udang daripada menunggu ia datang ke pesisir pantai ketika air laut surut.

Kini, ia hanya dilakukan di pantai Oostduinkerke sahaja bagi mengekalkan tradisi nenek moyang mereka. Kesedaran yang kurang juga menyebabkan tradisi unik ini semakin dilupakan.

Sejak Disember 2013, penangkapan udang berkuda di Oostduinkerke ini telah disenaraikan oleh UNESCO sebagai Warisan Budaya Kemanusiaan kerana penghormatannya terhadap persekitaran laut dan nilai kebudayaan kepada masyarakat setempat.

Pada hari ini, hanya 15 orang nelayan sahaja di Oostduinkerke yang masih meneruskan legasi nenek moyang mereka bagi menyelamatkannya daripada pupus sepenuhnya. Mereka hanya melakukan aktiviti ini separuh masa sahaja kerana ada yang bekerja sebagai buruh, petani dan lain-lain lagi.

Menyelamatkan tradisi daripada pupus

nelayan berkuda oostduinkerke

Mereka juga meneruskan tradisi ini kerana minat mereka yang mendalam terhadap kuda, penangkapan udang dan laut. Biasanya, tradisi ini diturunkan dari generasi ke generasi tetapi mereka juga mengalu-alukan penyertaan nelayan berkuda yang baru.

Bagi sesiapa yang ingin menjadi nelayan berkuda, mereka memerlukan kursus teori yang dijalankan di Muzium Perikanan Kebangsaan Oostduinkerke atau dikenali sebagai Navigo. Selain itu, mereka juga perlu menjalani latihan praktikal selama dua tahun sebelum mengambil peperiksaan akhir.

Memandangkan penangkapan udang menggunakan kuda ini aktiviti lasak, ia biasanya dilakukan kaum lelaki. Namun, ia tidak bermakna aktiviti ini tidak mampu dilakukan kaum wanita.

Baru-baru ini, seorang wanita bernama Nele Bekaert telah lulus ujian praktikal dan secara rasminya menjadi nelayan berkuda wanita pertama di Oostduinkerke.

Dari sudut pelancongan, tradisi ini merupakan satu aktiviti yang mampu menghidupkan kawasan itu. Pihak perbandaran juga mempromosikan aktiviti ini kepada masyarakat umum melalui beberapa kegiatan berbeza.

Tarikan pelancong seluruh dunia

tugu nelayan berkuda oostduinkerke

Selain penangkapan udang yang terbuka kepada orang ramai, aktiviti seperti program memasak dan memakan udang juga akan dilakukan oleh chef-chef terkenal di sekitar pantai.

Muzium Perikanan Kebangsaan Oostduinkerke juga menganjurkan pelbagai bengkel dan lawatan untuk kumpulan sekolah bagi menerangkan secara lengkap proses yang dilakukan keluarga nelayan di sini.

Sejak tahun 1950, Festival Udang merupakan acara tahunan di Oostduinkerke yang berlangsung selama dua hari pada akhir bulan Jun. Pelbagai aktiviti yang dianjurkan seperti beberapa konsert, pasar tempatan, kolam renang dan perarakan menarik. Dianggarkan sekitar 10,000 pengunjung dari pelbagai tempat menghadiri acara itu setiap tahun.

Rujukan:

1. Tradisi nelayan berkuda Oostduinkerke

2. Seni unik nelayan yang semakin pupus

3. Menangkap udang menggunakan kuda




Hakcipta iluminasi.com (2017)