Menjelang pasca keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia(SPM), pasti ramai adik-adik yang berhajat untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Ada juga yang memilih untuk terus bekerja dan tak kurang yang mengambil kursus kemahiran. Apapun pilihan yang dibuat, anda harus tahu potensi diri dan kecenderungan yang ada dalam diri anda. Mungkin ada yang memilih bidang atas kemahuan ibu bapa, ada juga yang memilih atas minat sendiri. Namun, harus diingat supaya anda tahu apa justifikasi tentang bidang yang dipohon. Entri ini akan mengupas mengenai salah satu bidang yang diminati oleh adik-adik lepasan spm, iaitu kejuruteraan.
BESARKAN TEKS A- A+
Kejuruteraan merupakan salah satu bidang yang terbesar dalam profession pekerjaan di Malaysia. Terdapat berpuluh cabang kejuruteraan yang boleh diceburi mengikut spesifikasi yang berbeza. Bagi adik-adik yang ingin bergelar jurutera atau engineer, sudah pasti anda akan memilih semua jenis kejuruteraan yang ada didalam senarai pilihan permohonan anda. Untuk memastikan anda tidak tersalah pilih, ketahui justifikasi setiap bidang kejuruteraan dan skop kerja mereka:
Kejuruteraan Mekanikal (Mechanical Engineering)
Kejuruteraan mekanikal merupakan bidang yang menerapkan pembelajaran secara praktikal dan teori tentang daya,kuasa,mesin,bahan,tenaga dan sesuatu yang melibatkan banyak kerja-kerja praktikal yang mencabar dan memberi pengalaman terbaik.
Jurutera mekanikal menjalankan tugas penyelidikan, memberi nasihat dan mereka bentuk mesin-mesin pengeluaran, jentera, loji, peralatan perindustrian. Membangunkan sistem perindustrian serta memberi nasihat serta mempastikan sistem tersebut berfungsi. Membuat kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan jika perlu. Mengkaji dan memberi nasihat berhubung dengan aspek teknologi bahan, produk, proses serta prosedur penyelenggaraaan yang tertentu.
Terdapat beberapa sub bidang dibawah kejuruteraan mekanikal seperti Kejuruteraan Pembuatan, Kejuruteraan Automotif, Kejuruteraan Loji, dan Kejuruteraan Plastik. Kesemua sub bidang ini berada didalam skop yang sama tetapi dengan pengkhususan yang berbeza. Graduan dalam bidang ini mempunyai permintaan yang tinggi dalam industri seperti:
- Pembantu Kanan Kejuruteraan Mekanikal
- Penyelia Juruteknik / Unit Kejuruteraan Mekanikal
- Pentadbir Penyenggaraan Kejuruteraan Mekanikal
- Pembantu Jurutera Loji
- Plant Maintenance & Operation Technician
- Plant Operator
- General Technician
- Apprentice (Boiler man & Steam Engineer)
Kejuruteraan Awam (Civil Engineering)
Skop kejuruteraan awam meliputi kerja-kerja merancang, mengurus, mereka bentuk, menyelia pembinaan dan penyelenggaraan pelbagai perkhidmatan umum, komersil, binaan serta kemudahan perusahaan. Berkemahiran menyelesaikan masalah seperti pengetahuan tentang kerja-kerja pembinaan. Melibatkan lawatan ke tapak binaan menjalankan tinjauan, memperolehi contoh batu-batan dan tanih untuk dianalisa bagi memastikan sesuatu projek selamat serta mengambil kira penganggaran kos dan menolong menentukan supaya projek tersebut selesai dalam jangkamasa yang ditetapkan.
Dalam eri kata lain, jurutera awam banyak terlibat dalam projek infrastruktur dan apa jua yang melibatkan dengan pembinaan. Berikut adalah prospek kerjaya yang boleh diceburi dalam bidang ini:
- Jurutera awam
- Jurutera awam pembinaan bangunan
- Jurutera awam lebuh raya dan jalan raya
- Jurutera awam geoteknik
- Jurutera awam pembinaan jambatan
- Jurutera awam pengairan
- Jurutera awam hidraulik
- Jurutera awam kumbahan
Kejuruteraan Elektrik (Electrical Engineering)
Kejuruteraan elektrik merangkumi penyelidikan dan memberi nasihat, mereka bentuk, membangunkan dan menyelia pembuatan, pemasangan, operasi dan penyelenggaraan, baik pulih peralatan, mesin dan sistem untuk penjanaan, pengagihan, penggunaan dan pengawalan kuasa elektrik. Mereka juga terlibat dalam perkembangan dan pembuatan berbagai jenis alat elektrik. Menguji dan menyelesaikan masalah operasi dan menganggar masa dan perbelanjaan sesuatu projek kejuruteraan yang akan dilaksanakan.
Jurutera elektrik bertanggungjawab menyelia juruteknik ketika proses rekabentuk, pembinaan, pemasangan, penyelenggaraan dan pembaikan sistem dan peralatan elektrik. Pekerjaan ini terdapat di kilang-kilang terutama sekali di sektor pembuatan, telekomunikasi, kilang dan loji. Antara kerjaya yang boleh diceburi dalam kelas ini termasuk:
- Jurutera Penjanaan Kuasa
- Jurutera Pengagihan
- Jurutera Pusat Janakuasa
- Jurutera Pencahayaan Elektrik
- Jurutera Peralatan Elektromekanik
Kejuruteraan Elektronik (Electronic Engineering)
Kejuruteran elektronik mencakupi proses penyelidikkan dan memberi nasihat dengan menggunakan pengetahuan dan kaedah saintifik dan kejuruteraan untuk mewujud, membangun dan menyelenggarakan barangan, sistem dan komponen elektronik. Merekabentuk, membangun dan menguji barangan dan peralatan elektronik yang digunakan dalam bidang instrumentasi, kenderaan, telekomunikasi, pengemudian, komputer, perubatan dan hiburan.
Oleh yang demikian, harus diingat bahawa kejuruteraan elektronik lebih kepada komponen, manakala kejuruteraan elektrik pula merangkumi sistem seperti jaringan kuasa elektrik bangunan dan yang sewaktu dengannya. Berikut kerjaya yang boleh diceburi antaranya:
- Jurutera Jentera Dan Perkakas Perindustrian
- Jurutera Kuasa Nukleur
- Jurutera Pemanasan,Pengalihanudara, Penyamanan Udara Dan Penyejukan
- Jurutera Kenderaan /Otomotif
- Jurutera Mekanik/Aeronautik
Kejuruteraan Mekatronik (Mechatronics Engineering)
Kejuruteraan mekatronik adalah hasil gabungan kejuruteraan mekanikal, elektrik dan elektronik. Program ini melingkupi bidang-bidang kejuruteraan mekanikal, elektronik, elektrik, kawalan, perisian, komputer dan teknologi maklumat. Jurutera mekatronik menggunakan komputer dan sistem kawalan digit yang lain-lain untuk mengawal proses dalam industri. Mereka menggabungkan bidang sains elektrik, kawalan, mekanikal, robotik dan pembuatan untuk mencipta berbagai jenis produk. Produk-produk ini meliputi barangan kegunaan harian seperti mesin basuh, kamera, mesin pendua dan brek antikunci kereta serta mesin-mesin kawalan komputer yang berteknologi tinggi yang digunakan di industri pembuatan dan pemasangan. Berikut antara profession yang boleh diceburi:
- Jurutera mekanikal
- Jurutera elektrikal
- Penyelia sistem kawalan
- Penyelia automasi dan robotik
- Perekabentuk sistem mekanikal
- Perekabentuk sistem elektrikal
- Controller System Supervisor
- Automation and Robotic Supervisor
- Mechanical and Electrical System Designer.
Kejuruteraan Kimia (Chemical Engineering)
Jurutera Kimia menjalankan penyelidikan dan penyeliaan operasi loji-loji kimia dan kelengkapan untuk perlarutan, penurasan, kesejatan, kekontangan, penurunan, kepekatan, kombinasi, penghabluran dan lain-lain operasi untuk membuat kimia berat atau kimia halus mengikut spesifikasi. Mengkaji proses-proses yang sedia ada atau alat kelengkapan yang digunakan, kecekapan dan tahap pengeluarannya. Menjalankan kajian mengenai prinsip-prinsip kimia, fizik, dan kaji dayagerak haba untuk mencipta proses-proses baru. Memperbaiki rekabentuk alat kelengkapan bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran.
Selain itu, jurutera bertanggungjawab menyelia pemasangan alat kelengkapan untuk pengeluaran berasaskan skala yang besar bagi tujuan komersial. Mengkaji sifat-sifat kimia yang berbagai atau barang-barang kimia seperti asid, rayon, pencelup-pencelup yang dicipta di makmal dan mencipta proses-proses dan alat kelengkapan untuk membuatnya. Menyelia dan meyelaras aktiviti-aktiviti pekerja yang menjalankan mesin-mesin pencanai, penyembur, pencelup, reaktor dan lain-lain alat kelengkapan untuk mempastikan bahan-bahan mentah diperlukan dengan cekap melalui proses-proses kimia, mekanik dan proses-proses lain.
Sub kepada kejuruteraan kimia ialah kejuruteraan minyak dan gas yang lebih tertumpu kepada pemprosesan minyak dan gas mentah yang digali dari perut Bumi. Minyak mentah yang diperolehi perlu diproses, ditapis, dan diagihkan mengikut penggunaan jenis minyak yang diperolehi. Pekerja di bidang ini antaranya:
- Jurutera Kimia Petroleum Dan Gas
- Jentera Kimia Cat Dan Varnis
- Jurutera Kimia Baja
- Jurutera Kimia Produk Farmaseutikal
- Jurutera Kimia Makanan
- Ahli Teknologi Plastik
- Ahli Teknologi Getah
Secara umumnya, masih terdapat berpuluh lagi bidang kejuruteraan yang lebih khusus . Namun kesemuanya duduk dibawah bidang kejuruteraan yang disenaraikan diatas. Semua yang dijelaskan diatas adalah asas untuk pengetahuan adik-adik dan ibu-bapa yang masih tertanya-tanya bidang kejuruteraan yang mana satukah yang harus dipilih. Diharap perkongsian ini akan memberi pendedahan kepada adik-adik lepasan SPM khususnya, dan masyarakat semua.Apa pun bidang yang diceburi, harus ada minat yang mendalam, di samping usaha yang berterusan.
sumber:
1.KERJAYA BIDANG KEJURUTERAAN
https://doktorkerjaya.blogspot.my/2011/03/kerjaya-bidang-kejuruteraan.html
2. JABATAN KEJURUTERAAN MEKANIKAL POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH
https://jkmpolimas.webs.com/sinopsis-program
3. MAKLUMAT PEKERJAAN DI BIDANG KEJURUTERAAN
https://kaunselorsmkst.wordpress.com/kerjaya/