sumpahan keilmuan curse of knowledge

Pernah tak anda membaca perdebatan di internet, khasnya di media sosial dan anda merasakan 'teruknya dia ni, apa bodoh sangat dia sampai benda ni pun tak tahu?'

Mesti banyak kali kita merasakan sedemikian rupa apabila berhadapan dengan individu-individu dalam media sosial. Rasa kecewa yang kita rasakan terhadap seseorang yang seolah-olah 'bodoh sangat' tidak memahami atau mengetahui sesuatu isu seperti mana kita, boleh membawa kepada pergaduhan.

Fenomena di mana kita akan berasa kecewa apabila kita mendapati orang lain tidak mengetahui atau menyedari apa yang kita tahu, mempunyai istilahnya sendiri dalam kajian saintifik. Inilah fenomena yang dinamakan 'the curse of knowledge' atau 'sumpahan pengetahuan.'

"Takkanlah benda mudah ni pun kau tak faham?"

periksa otak

'Sumpahan pengetahuan' merupakan situasi di mana kita tahu sesuatu dan kita berhadapan dengan individu yang tidak tahu perkara tersebut. Dalam masa yang sama kita tidak menyedari dan memahami bagaimana rasanya apabila kita tidak tahu apa-apa tentang topik atau isu tersebut.

Ini akan membuatkan kita menghadapi kesukaran mengenalpasti langkah terbaik untuk menjelaskan atau menerangkan kepada individu tersebut perkara tersebut dengan cara yang baik. Itulah sebabnya kadang-kadang kita mudah berasa kecewa dengan orang lain, kerana kita tidak menyedari mereka sebenarnya tidak tahu.

Apa yang merumitkan keadaan, setelah kita mempelajari sesuatu topik - sebagai contoh 'sejarah kemerdekaan negara kita' misalnya; secara automatik kita akan menganggap orang lain pun turut sama mempunyai pengetahuan berkenaan topik tersebut - sedangkan tahap pemahaman dan kemahiran kita sudah pastilah berbeza.

Dalam erti kata lain, dengan melalui proses pembelajaran sehinggalah kita mempunyai pengetahuan yang mendalam terhadap sesuatu perkara, secara semulajadi kita membuang kemampuan kita untuk memahami kondisi atau keadaan sebelum kita mengetahui perkara tersebut.

Itulah sumpahan pengetahuan.

Keburukan 'sumpahan pengetahuan'

berdebat di media sosial

Hasil daripada pengetahuan ini, setiap perkara dalam minda kita menjadi jelas. Sesuatu yang kita tahu dan sedang bincangkan dapat kita fahami dengan mudah kerana semuanya sudah ada dalam kepala kita.

Kita membuat tanggapan sendiri bahawa cara kita berkomunikasi tentang sesuatu topik kepada orang lain merupakan cara yang terbaik, padat dan mudah difahami kerana dalam kepala kita semuanya sudah tersusun. Namun tanggapan itulah sebenarnya yang menyebabkan saranan, arahan atau panduan daripada kita tidak dapat difahami oleh penerima. Kita anggap mereka faham sama seperti kita faham.

Apabila dalam minda kita sudah meletakkan tanggapan bahawa orang lain sudah berada pada tahap yang serupa dengan kita, ini akan menyebabkan wujudnya ketidak seimbangan daripada aspek perbincangan dan hujah.

'Sumpahan pengetahuan' ini bukan saja wujud daripada aspek perbincangan secara oral atau tulisan semata-mata, malahan merangkumi banyak elemen dalam kehidupan kita. Laman web yang direka dengan tanggapan bahawa pengguna tahu bagaimana nak menggunakannya pasti sukar dinavigasi. Sesuatu peranti elektronik yang direka dengan idea bahawa bakal penggunannya sudah memahami tatacara penggunaannya pasti akan dikritik sukar digunakan.

Menghadapi sumpahan

pelajar bersedia ke sekolah

Dalam kehidupan seharian anda, pasti anda akan berhadapan dengan 'sumpahan' ini dalam banyak situasi. Anda melakukan pembentangan yang pada anda dah 'tip-top', semua slaid direka cantik dan penerangan yang terperinci dah disampaikan, tetapi maklumbalas yang diterima mengatakan mereka tak faham apa yang anda cuba sampaikan.

Perkara seperti itu boleh dielakkan dengan memastikan anda senantiasa meletakkan diri anda dalam kasut pengguna atau penonton anda, bagi mengelakkan 'sumpahan' ini memakan diri anda.

Apa yang selalu berlaku, seseorang yang mempunyai pengetahuan akan sentiasa menyampaikan ilmunya dalam bentuk abstrak. Penyampaian ilmu yang dilakukan pula dilakukan dengan menggunakan bentuk kesimpulan ringkas, kerana kita tidak lagi merasakan keperluan untuk mengulas sesuatu topik dengan terperinci.

Dengan mempunyai pengetahuan, seseorang individu akan memandang remeh sesuatu masalah yang dihadapi oleh orang lain kerana bagi dia, perkara itu mudah. Perkara ini seharusnya dielakkan apatah lagi apabila kehidupan kita setiap hari memerlukan kita mempunyai solusi bukan saja untuk perihal diri sendiri malahan untuk membantu pihak ketiga juga.

cikgu mengajar

'Sumpahan pengetahuan' membuatkan kita tidak dapat memahami bagaimana orang lain memahami kita. Inilah penyebab utama yang menjadi penghalang kepada saluran komunikasi yang berkesan.

Komunikasi adalah hubungan di antara dua pihak yang saling bertukar-tukar informasi, jadi pastikan dalam setiap komunikasi yang melibatkan kita selepas ini - letakkan diri kita dalam kasut mereka. Jangan anggap kita pandai sehingga merasa kecewa, apabila orang lain tak berpengetahuan seperti kita.

Ingatkan diri kita satu masa dulu - kita pun pernah tak tahu juga.

Rujukan

Science Direct


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)