Oleh pada 28 Aug 2019 kategori

avengers sebenar perang yahudi

Anda mungkin mengenali nama "The Avengers" melalui filem adiwira terkenal Hollywood yang diinspirasi dari komik Marvel. Kumpulan The Avengers yang dianggotai oleh adiwira seperti Iron Man, Hulk dan Thor mula-mula diperkenalkan dalam komik pada tahun 1963.

Namun, tahukah anda bahawa ada satu kumpulan pembunuh upahan Yahudi yang digelar sebagai 'The Avengers sebenar' ditubuhkan selepas Perang Dunia Kedua untuk memburu tentera Nazi.

the avengers sebenar

Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, apa yang difikirkan oleh kebanyakan orang Yahudi adalah untuk membina semula kehidupan mereka yang hancur. Selain itu, mereka juga ingin untuk membalas dendam terhadap Nazi kerana memusnahkan hidup mereka.

Walau bagaimanapun, niat membalas dendam ini lebih kuat dirasai oleh sekumpulan 50 orang lelaki dan wanita muda yang sebahagian besarnya terdiri daripada kumpulan pemberontak.

Berazam untuk membalas dendam terhadap Nazi

Kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai "The Avengers" ini telah berazam untuk memastikan seramai mungkin ahli Nazi menerima padah terhadap kekejaman yang mereka lakukan ke atas kaum Yahudi.

perbicaraan nuremberg

Perbicaraan Nuremberg

Walaupun Perbicaraan Nuremberg ditubuhkan untuk mendakwa ahli-ahli Nazi yang perpangkat tinggi kerana kejahatan yang dilakukan mereka terhadap kaum Yahudi, sebahagian besar orang Yahudi berasa tidak berpuas hati kerana ramai tentera biasa Nazi yang terlibat dalam penyembelihan kaum mereka terlepas daripada dihukum.

Salah seorang daripada anggota The Avengers iaitu Joseph Harmatz memberitahu bahawa, dia tidak langsung rasa bersalah kerana merancang untuk membunuh anggota-anggota Nazi. Harmatz menggunakan nama samaran 'Julek' dalam Avengers telah meninggal dunia pada 2016 ketika berusia 91 tahun. 

Pelan awal yang dirancang oleh kumpulan The Avengers ialah untuk meracun belakan air di Nuremberg. Pelan ini telah diatur oleh seorang penyair Yahudi, Abba Kovner. Namun, rancangan Kovnet itu tidak dipersetujui banyak pihak.

abba kovner

Abba Kovner

Pihak Yahudi beranggapan sekiranya ramai orang Jerman yang tidak bersalah mati akibat diracun, seluruh dunia pasti akan berasa simpati terhadap kejadian itu dan mengganggap perbuatan The Avengers itu sebagai tidak bermoral.

Malah, rancangan Kovner itu juga telah menarik perhatian pihak berkuasa British dan dia terpaksa membuang racun itu ke dalam laut sebelum ditangkap.

Rancangan meracun 12,000 askar SS

The Avengers kemudian mengalihkan tumpuan mereka kepada tahanan perang di Kem Stalag 13 di Langwasser yang terletak tidak jauh dari Nuremberg. Di kem itu, tentera Amerika menahan beribu-ribu askar SS (Schutzstaffel).

kem stalag 13

Kem Stalag 13

Anggota The Avengers berjaya mendapatkan pekerjaan di kedai roti yang membekalkan makanan ke kem itu. Mereka merancang untuk meracun bekalan roti dengan mencampurkan arsenik di dalamnya.

Abba Kovner menyediakan racun arsenik itu manakala Harmatz pula menyelia rancangan itu dari luar kedai roti. Tiga orang ahli Avengers mencampurkan arsenik itu dengan gam dan air. Mereka kemudian mencampurkannya dengan bahan untuk membuat 3,000 buku roti.

Roti yang dicampurkan racun itu kemudian dihantar sebagai bekalan makanan kepada 12,000 anggota SS. Namun, kumpulan Avengers berasa kesal kerana kebanyakan tahanan yang memakan roti itu hanya mengalami sakit yang teruk tetapi tiada yang mati akibat keracunan.

joseph harmatz

Joseph Harmatz

Selepas kegagalan itu, Harmatz dan anggota Avengers yang lain terpaksa melarikan diri ke sempadan Czechoslovakia. Di sana, mereka menemui seorang lagi tahanan Yahudi yang terselamat iaitu Yehuda Maimon.

Maimon telah merasuah pengawal sempadan untuk membolehkan kumpulan itu menyeberang sempadan tanpa diperiksa. Mereka kemudian melarikan diri ke Itali sebelum menetap di Palestin.

Dokumen rasmi telah menunjukkan jumlah arsenik yang digunakan The Avengers di Langwasser sepatutnya boleh menyebabkan kematian sehingga 60,000 orang tetapi sehingga hari ini tiada siapa yang pasti mengapa ia tidak berhasil.

kedai roti yang digunakan the avengers untuk meracun askar nazi

Kedai roti yang digunakan The Avengers untuk meracun askar Nazi

Ujian makmal mendapati bahawa roti yang diracun itu mengandungi 0.2 gram arsenik di bahagian bawah, atas dan sisi roti. Sepatutnya, jumlah racun itu sudah cukup untuk membunuh sesiapa sahaja yang memakan roti itu.

Doktor yang merawat tahanan tentera SS di kem Stalag 13 pula melaporkan bahawa pesakit hanya menunjukkan tanda-tanda keracunan seperti taun, muntah-muntah, cirit-birit dan ruam kulit.

Bangga menjadi ahli The Avengers

Pada tahun 1999, Harmatz dan seorang lagi anggota The Avengers, Leipke Distal, mengambil bahagian dalam dokumentari televisyen mengenai pergerakan kumpulan mereka.

the avengers yahudi

Melalui pendedahan itu, pendakwa raya di Nuremberg telah menyiasat ahli kumpulan The Avengers yang masih hidup kerana cubaan mereka untuk meracun tentera Nazi. Akhirnya, tiada sebarang pendakwaan yang dibuat ke atas kumpulan itu.

Menurut ketua sejarawan memorial Yad Vashem, Dina Porat, apa yang dilakukan oleh kumpulan The Avengers ini adalah satu amaran kepada dunia bahawa anda tidak boleh sewenang-wenangnya membunuh Yahudi dengan sekejam itu tanpa menerima akibat daripada perbuatan itu.

Marmatz tidak pernah menyesal kerana melakukan serangan itu dan merasakannya sebagai satu kewajipan. Dia berasa bangga kerana menjadi ahli The Avengers. Dia berasa tidak akan diterima 'syurga' sekiranya tidak membalas dendam kepada mereka yang melakukan kekejaman terhadap keluarga dan bangsanya.

tentera israel menindas penduduk palestin

Walau apa pun motif The Avengers atau bangsa Yahudi yang lain membalas dendam terhadap Nazi kerana melakukan pembunuhan kaum mereka, ia tidak menghalalkan kekejaman yang mereka lakukan terhadap penduduk Palestin pada hari ini.

Rujukan:

1. 'The Avengers sebenar' adalah kumpulan Yahudi yang memburu Nazi

2. The Avengers Yahudi cuba meracun 12,000 tentera Nazi

3. Kumpulan penentang Yahudi yang membalas dendam terhadap Nazi



Hakcipta iluminasi.com (2017)