Oleh pada 16 Oct 2018 kategori

Kredit foto: Instagram @paskal_themovie

Filem yang dihasilkan berdasarkan kisah benar, PASKAL The Movie, terus mendapat penerimaan di luar jangkaan di mana kutipan paling terkini sudahpun mencapai RM22 juta dalam 18 hari tayangan sahaja!

Berita gembira itu dikongsi di laman sosial Instagram produksi filem berkenaan pada Isnin.

terus melonjak 18 hari tayangan ini kutipan terkini paskal the movie 2

Kredit foto: Instagram @paskal_themovie

"Terima kasih. PASKAL The Movie telah meraih kutipan sebanyak RM22 juta dalam tempoh 18 hari tayangan!

"Kami seluruh warga kerja PASKAL The Movie mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan padu daripada anda semua!

"Ayuh! Sama-sama kita semua ke pawagam untuk menyemarakkan semangat #PASKALTheMovie," tulisan kapsyen yang turut disertakan dengan tanda pagar #PASKALTheMovie, #SentiasaYangTerbaik, #SayangiMalaysiaku dan #atfproduction.

Filem arahan Adrian Teh itu yang menemui penonton sejak tayangan perdananya pada 27 September lalu, dihujani respon positif daripada netizen di laman sosial.

Ia dikatakan telah mengangkat taraf filem aksi negara kerana bukan sahaja menyajikan penceritaan dan garapan yang bagus, malah meningkatkan kepercayaan penonton terhadap karya tempatan yang mempunyai unsur ketenteraan. Ia dibuktikan menerusi sambutan memberangsangkan yang diterima.

Filem terbitan secara bersama oleh Asian Tropical Films, GSC, Multimedia Entertainment, Granatum Ventures dan Astro Shaw ini mengangkat kisah kejayaan anggota elit Pasukan Khas Laut (PASKAL), Tentera Laut Diraja Malaysia dalam Misi Pengaman PBB di Angola pada 1998 serta misi merampas kapal dagang daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.

Lakonan mantap Hairul Azreen, Ammar Alfian, Hafizul Kamal, Gambit Saifullah, Taufiq Hanafi, Theeban G, Henley Hii, Jasmine Suraya Chin dan ramai lagi.

Apa tunggu lagi, jom ramai-ramai dapatkan tiket dan menonton. Teruskan beri sokongan kepada PASKAL The Movie di pawagam!




Hakcipta iluminasi.com (2017)