Kredit foto: Instagram Fasha Sandha & Instagram Fazura
Pelakon Fasha Sandha menganggap pemberian baju raya oleh rakan baiknya, Fazura setiap kali menjelangnya syawal menjadi punca selebriti itu sentiasa dimurahkan rezeki dan dilimpahkan kebahagiaan.
Katanya, Fazura yang dikenali sejak usia 18 tahun itu seorang yang pemurah dan tidak pernah berubah sikap.
"Inilah di antara sebab-sebab sahabatku seorang ni sentiasa dimurahkan rezeki dan bahagia selalu.
"Beliau yang ku kenali sejak zaman modelling masa umur 18 tahun, seorang yang pemurah hati. Dulu sampai sekarang sama saja," katanya.
Kredit foto: Instagram Fasha Sandha
Kenyataan itu dibuat Fasha menerusi akaun Instagram miliknya disertakan paparan skrin perbualan mereka menerusi aplikasi WhatsApp.
Dedah Fasha, sejak dirinya bergelar ibu tunggal, aktres cantik itu tidak pernah lupa mengirimkan baju raya sebagai tanda ingatan.
Dramatis ini mengucapkan penghargaan, di samping mendoakan semoga Fazura dan suami, Fattah Amin segera beroleh cahaya mata.
"Sejak saya jadi ibu tunggal ni, Faz tak pernah lupa nak hantar baju raya setiap tahun.
"Syukur Alhamdulillah, ramai insan yang berhati mulia seperti beliau. Terima kasih Faz. Terima kasih juga pada Fattah.
"Semoga dimurahkan rezeki selalu dan cepat dapat baby. Amin," tulis Fasha.
Kiriman itu merekodkan lebih 46,000 tanda suka selain meraih pujian netizen yang rata-ratanya tersentuh dengan hubungan baik yang terjalin antara mereka.