Kredit foto: Youtube Liya Dior & Instagram Uqasha

Aktres Uqasha Senrose teruja kerana usahanya untuk merapatkan Fattah Amin dan Nur Fazura Sharifuddin, mencetuskan bibit cinta sebelum pasangan itu melangsungkan pertunangan.

Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Senrose berkata, Fattah dan Fazura kelihatan ego serta banyak membuat hal sendiri sewaktu awal penggambaran drama rantaian Hero Seorang Cinderella (HSC).

Lantaran itu, dia mengambil langkah mendekatkan mereka, namun tidak terfikir akan sampai ke tahap bercinta.

"Ketika awal penggambaran drama itu, mereka agak ego. Jadi, saya cuba usik-usik mereka untuk mendapatkan keserasian. Alhamdulillah, sejak itu saya lihat mereka mula rapat dan menjadi lebih akrab ketika menjalani penggambaran di Pulau Perhentian, Terengganu.

"Ketika itu, saya dapat berasakan bibit cinta antara mereka sedang berputik. Saya sangat gembira kerana akhirnya saya berjaya merapatkan hubungan mereka," katanya memetik portal BH Online.  

Pada sidang media baru-baru ini, Fattah dan Fazura mengumumkan telah mengikat tali pertunangan dalam sebuah majlis di rumah keluarga Fazura pada 13 November lalu.

Dalam pada itu, Uqasha mengakui, dia gembira dengan keputusan yang diambil pasangan itu kerana menganggap mereka sangat secocok dan romantik.

"Saya dan Fazura sudah seperti adik-beradik dan saya gembira melihatnya bahagia. Mereka berdua begitu romantis apabila bersama," katanya.

Uqasha berkata, dia berharap Fattah tidak akan mensia-siakan wanita yang sudah dianggapnya bagai kakak kandung itu.

"Alhamdulillah, Fazura yang saya anggap seperti kakak sendiri dipertemukan dengan lelaki yang boleh menjaganya. Saya harap Fattah akan mencintai dan menyayanginya hingga akhir hayat," katanya.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)