saya seorang wanita yang sangat degil pendedahan fazura bagaimana terima lamaran fattah

Kredit foto: Astro Gempak

Aktres yang sudah bergelar tunangan Fattah Amin, Nur Fazura, akui dia wanita degil yang tidak pernah terfikir untuk mendirikan rumah tangga dalam tempoh terdekat kerana lebih mengutamakan karier.

Selepas bertemu Fattah dan melihat masa depan mereka, beliau akhirnya terbuka hati menerima lamaran itu.

"Saya memang seorang wanita yang sangat degil dan tidak pernah terfikir untuk berkahwin dalam masa terdekat.

"Tapi apabila bertemu dengan Fattah dan mengenali dia, hati saya terbuka. Saya nampak masa depan dengan dia. Dia melamar dan saya menerima," kata Fazura menurut portal Mstar Online.

Fattah dan Fazura membuat kenyataan di sidang media di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur pada Khamis bagi meleraikan spekulasi kononnya mereka bernikah sebelum menunaikan umrah di Makkah pada 15 November lalu.

Merancang untuk melangsungkan pernikahan dalam masa terdekat, pasangan ini bagaimanapun hanya akan mengadakan majlis resepsi untuk keluarga dan media serta peminat pada tahun hadapan.

Fattah berkata, perancangan berkahwin akan diserahkan kepada pihak pengurusan kerana mereka terikat dengan jadual kerja yang padat.

"Dengan jadual kerja kami yang ketat, saya sendiri menyerahkan perancangan kepada pihak syarikat pengurusan saya.

"Ada beberapa perkara yang perlu kami buat. Pergi kursus kahwin dan uruskan dokumen. Insya-Allah kami akan bernikah dalam masa terdekat.

"Dua majlis resepsi untuk keluarga dan media serta peminat akan diadakan pada tahun hadapan," ujarnya.

Selain itu, majlis pertunangan dan merisik pasangan ini telahpun diadakan pada 13 November lalu.

Namun mereka menafikan dakwaan melangsungkan majlis nikah sehari selepas itu.

Sumber berita: Mstar

tags : , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)