Teknologi pada hari ini membolehkan kita untuk meramal dan mengetahui keadaan cuaca yang bakal berlaku. Di negara kita, Jabatan Meteorologi Malaysia berperanan untuk memantau dan mengeluarkan amaran berkaitan cuaca dan bencana alam seperti hujan lebat, ribut dan taufan.

ribut taufan

Ini memudahkan kita untuk merancang sebarang urusan dengan lebih baik seperti mengadakan kenduri, melakukan perjalanan atau sebarang aktiviti di luar.

Namun, bagaimanakah manusia terdahulu meramal cuaca yang bakal berlaku tanpa teknologi moden? Pelbagai cara telah diusahakan untuk menghasilkan alat yang boleh meramal cuaca tetapi hasilnya tidaklah begitu tepat.

Walau bagaimanapun, seorang lelaki pada Era Victoria di England mendapat idea unik bagaimana untuk menghasilkan alat yang dapat meramal cuaca. 

Haiwan mampu meramal cuaca

Sebilangan haiwan mempunyai kemampuan naluri untuk meramal perubahan cuaca. Sebagai contoh, katak berbunyi dan burung terbang pulang ke sarangnya ketika hujan hampir tiba. Manakala haiwan lain seperti lembu, kambing atau semut menjadi gelisah dan tidak tentu arah.

lintah 359

Seorang doktor dan pencipta, George Merryweather, memerhatikan bahawa lintah menunjukkan tingkah laku yang berbeza apabila cuaca bertambah buruk.

Pada abad ke-19, penggunaan lintah begitu meluas dalam dunia perubatan barat sehingga haiwan itu mengalami risiko kepupusan. Pada awal tahun 1800-an, dianggarkan sebanyak 30 juta lintah dieksport dari Jerman ke Amerika setiap tahun.

Apabila bekalan lintah semakin berkurangan pada tahun 1835, hadiah sebanyak USD 500 ditawarkan kepada sesiapa sahaja yang dapat membiak lintah Eropah di Amerika Syarikat.

Dr. Merryweather adalah salah seorang daripada ribuan doktor yang menggunakan lintah dalam perubatannya. Apabila menyedari lintahnya berkelakuan aneh ketika cuaca buruk bakal berlaku, dia mendapat ilham.

Tempest Prognosticator

Dr. Merryweather mula mencipta satu alat yang mampu meramal cuaca menggunakan lintah. Dia menamakan alat ramalan cuacanya itu sebagai “An Atmospheric Electromagnetic Telegraph, conducted by Animal Instinct” tetapi lebih gemar menggunakan singkatannya—Tempest Prognosticator.

tempest prognosticator 2

Berdiri lebih dari tiga kaki tinggi, Tempest Prognosticator adalah alat yang diperbuat daripada kayu mahogani Perancis, kaca, perak dan tembaga yang digilap.

Terdapat dua belas botol kaca yang diisi dengan lintah hidup dalam satu setengah inci air hujan. Bahagian atas botol pula terdapat satu potongan kecil tulang paus yang dihubungkan ke tukul kecil.

Setiap tukul kecil pula diletakkan pada loceng besi yang besar di bahagian atas alat ini. Kesemua botol disusun seperti sebuah permainan karusel (carousel) yang terdapat di taman tema.

Ketika cuaca dalam keadaan baik, lintah itu akan berbaring santai di dasar botol. Namun, beberapa jam sebelum langit mendung dan angin bertiup kencang, haiwan penghisap darah ini akan menunjukkan tanda-tanda kegelisahan.

Jika hujan atau ribut bakal melanda, perubahan tekanan atmosfer akan mendorong lintah keluar dari air dan naik sehingga ke leher botol di mana mereka akan melanggar dan melepaskan tulang paus yang diikat longgar. Tulang paus yang dilepaskan akan membuatkan tukul kecil memukul loceng.

alat tempest prognosticator

Apabila beberapa kali loceng dibunyikan, ini menandakan "amaran" dan ramalan itu benar. Lintah akan melengkung seperti "bola" dan kekal dalam posisi itu sehingga hujan atau ribut reda. Setelah cuaca kembali tenang, barulah lintah-lintah ini turun semula ke dasar botol.

Mampu menyelamatkan nyawa dan harta benda

Dalam sebuah catatannya mengenai alat itu, Dr. Merryweather menyatakan bahawa dia menempatkan lintah-lintahnya di dalam botol jernih dalam susunan berlingkar bagi mencegah mereka terasa diasingkan. 

Dia menghabiskan masa selama setahun pada 1850 bagi menguji alat yang dilihatnya mampu menyelamatkan banyak nyawa dan harta benda itu.

Setiap kali lintah-lintahnya berjaya meramalkan ribut, Dr. Merryweather akan menulis dan menghantar surat ramalan cuaca kepada presiden Persatuan Falsafah Institut Whitby.

Namun, alatnya itu mempunyai batasan. Ia tidak mampu meramalkan pergerakan atau masa yang tepat bilakah ribut akan melanda. Dr. Merryweather hanya memberitahu "akan tiba" sahaja.

tempest prognosticator

Walau bagaimanapun, presiden Persatuan Falsafah Institut Whitby membalas surat Dr. Merryweather yang bertulis "Ramalan anda disahkan, tetapi dengan pengecualian 12 jam". Ini bermakna setiap ramalan yang dikeluarkan Tempest Prognosticator berlaku dalam tempoh itu. 

Pada Oktober 1850, Tempest Prognosticator telah berjaya meramal satu ribut besar. Dr. Merryweather menulis ramalan itu dalam satu surat kepada presiden Persatuan Falsafah Institut Whitby, 51 jam sebelum berlakunya ribut.

Cadangan kepada pihak kerajaan

Dr. Merryweather mencadangkan kerajaan British untuk menilai alat ramalan cuacanya bagi digunakan di sekitar garis pantai Britain.

Dia juga mencadangkan agar Tempest Prognosticator dipasang dan dihubungkan pada Great Paul, loceng terbesar di Katedral St. Paul di London supaya 2.6 juta penduduk bandar itu tahu bilakah ribut akan melanda.

Pihak kerajaan menilai Tempest Prognosticator untuk dipasang di semua stesen amaran tetapi akhirnya menolak kerana menganggap alat itu sebagai tidak praktikal. Ini kerana lintah-lintah itu perlu diberi makan sebulan sekali dan airnya ditukar setiap lima hari.

gelas ribut aka storm glass

Gelas Ribut aka Storm Glass

Kerajaan memilih untuk menggunakan alat ramalan cuaca "Gelas Ribut" ciptaan Robert FitzRoy sebagai ganti. Gelas Ribut adalah botol yang mengandungi sebilangan campuran kapur barus, bahan kimia, air, alkohol dan udara.

Ramalan cuaca Gelas Ribut adalah berpandukan keadaan berkristal dan kekeruhan cecair di dalam botol itu yang dipengaruhi keadaan cuaca di luar. Walaupun kurang efektif berbanding Tempest Prognosticator, alat itu terus digunakan selama beberapa dekad.

Kini, hanya replika Tempest Prognosticator sahaja yang dipamerkan di Muzium Whitby memandangkan alat asli ramalan cuaca itu hilang tanpa kesan. Tempest Prognosticator merupakan alat ramalan cuaca unik yang tidak pernah dihasilkan sebelum atau sesudah itu.



Hakcipta iluminasi.com (2017)